Nadi Bangi
Cleopatra:Perjuangan Politik Atau Peribadi?
Penulis: Jesika Berliana Simatupang
Penyunting: Nur Nadzra Natasha

Pada sekitar Oktober lalu, seorang wanita berbaju kebaya yang menghadiri mesyuarat bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan pasukan e-sukan terkemuka negara, Orange Esports menjadi perhatian para netizen. Sebaik sahaja rakaman gambar dan video daripada pertemuan tersebut tersebar, pelbagai spekulasi muncul mengenai wanita tersebut.
Awalnya ura-ura mengatakan bahawa wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai Cleopatra itu merupakan pembantu peribadi baharu Syed Saddiq, namun kenyataan tersebut disangkal menteri muda itu. Menurut Syed Saddiq, Cleopatra atau nama sebenarnya Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, 25, merupakan salah seorang pengarah Cleo International dan perjumpaan mereka adalah atas dasar kerja.
Walau bagaimanapun, kenyataan Syed Saddiq tersebut membangkitkan lebih banyak isu apabila netizen mula mempersoalkan kepentingan pertemuan dengan Cleo International yang baharu sahaja ditubuhkan lebih kurang seminggu sebelum mesyuarat tersebut diadakan. Kemudian muncul pula ura-ura yang menyatakan Nur Fathiah merupakan seorang transgender. Kesal dengan gosip tersebut, bekas suaminya, Datuk Mohd Nasir Yaacob, 46, menegaskan bahawa wanita itu sudah bergelar ibu kepada dua anaknya.
Tidak cukup sampai di situ, kontroversi yang melanda Nur Fathiah seakan-akan tiada henti sejak dirinya mula dikenali. Selain dikatakan bersekedudukan kerana berkongsi alamat yang sama pada kad pengenalan dengan seorang lagi pengarah Cleo International, Mohamad Shahid A. Samad, 42, Nur Fathiah juga mencetuskan kontroversi apabila memuat naik gambar minuman beralkohol ‘Heineken’ di akaun Instagram miliknya.
Isu-isu lain yang menjadi buah mulut netizen adalah cara pemakaiannya yang dikatakan mencolok mata, dan isu rumah tangganya yang seolah- olah ‘membuka pekung di dada’ apabila mendakwa dirinya merupakan bekas mangsa keganasan rumah tangga, namun diselar suaminya yang menyatakan dakwaan tersebut merupakan fitnah semata.
Sebagai seorang pemerhati, saya merasakan segala kontroversi berkaitan Nur Fathiah yang timbul adalah lumrah untuk pendatang baharu sepertinya. Pada saya, netizen perlu belajar untuk menjaga tepi kain sendiri daripada sibuk mempertikaikan gerak-geri individu lain. Namun, apabila Nur Fathiah mula menunjukkan pendirian politiknya dan bangga mengumumkan statusnya sebagai salah seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), maka segala isu yang tercetus berkaitan dirinya perlu diteliti semula.
Ini kerana dengan mendedahkan kedudukan politiknya secara terang-terangan, tindak-tanduknya semestinya akan lebih diperhatikan dan bukan sahaja memberikan impak kepada namanya, tetapi juga nama parti. Akibat pendedahan Nur Fathiah itu juga, netizen pula mempersoalkan sekiranya pertemuan Cleo International dengan Syed Saddiq itu adalah atas faktor ‘kabel’.
Walau bagaimanapun, tidak adil sekiranya segala penilaian diukur daripada perspektif peribadi yang bukanlah sesiapa dalam bidang politik, jauh sekali mempunyai kepakaran. Maka, saya telah merujuk kepada Ketua Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Russli Kamaruddin untuk mendapatkan pandangan beliau yang arif dalam Pemikiran Politik Islam dan Falsafah Politik.
“Pada pandangan saya, Nur Fathiah seorang yang anggun dan penampilan beliau adalah sangat menarik. Walau bagaimanapun, di sisi yang lain, saya berpendapat bahawa pemakaian tersebut adalah tidak sesuai, lebih-lebih lagi untuk digunakan semasa urusan rasmi di kementerian yang sememanganya perlu sangat dititikberatkan. Maka tidak hairanlah jika ia menjadi salah satu isu diperkatakan masyarakat.
“Namun, masyarakat juga perlu menyemak semula setiap isu yang berbangkit mengenai seseorang individu sebelum mempercayai atau mengongsikannya. Ini penting bagi mengelakkan kontroversi yang diuar-uarkan hanyalah fitnah semata-mata seterusnya menjatuhkan nama dan reputasi mana-mana pihak.
“Dalam kes Nur Fathiah, ada kontroversi yang sudahpun dijelaskan oleh Nur Fathiah. Oleh itu, sekiranya penjelasan itu boleh diterima, maka masyarakat perlu bersikap terbuka dan berhenti memperbesarkan sesuatu isu tersebut,” kata Prof Russli semasa ditemubual oleh wartawan Nadi Bangi.
Semasa menyimpulkan pandangannya, Prof Russli tidak menafikan bahawa kontroversi yang menimpa Nur Fathiah adalah sangat banyak dalam masa kurang daripada dua bulan selepas dikenali. Meskipun tidak menolak bahawa menjadi buah mulut masyarakat adalah norma dalam dunia politik, beliau berpendapat kontroversi merupakan perkara yang perlu dielakkan.
“Saya faham ada golongan yang suka melakukan hal-hal provokatif ntuk menarik perhatian seterusnya menjadi buah mulut masyarakat. Namun, terlalu banyak dihimpit dengan kontroversi bukanlah sesuatu perkara yang sihat.
Sekiranya ingin terlibat dalam dunia politik secara serius, seseorang ahli politik perlulah lebih dikenali dengan perjuangannya untuk membela nasib rakyat dan bukannya kontroversi. Jika perkara ini berterusan, maka kelangsungan seseorang itu dalam dunia politik tidak akan bertahan lama.”