top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

‘Comfort Food’ Bantu Kurangkan Stres Ketika Pandemik

Oleh: Hazwani Syairah

Penyunting: Ain Natasha


Sumber: Internet


Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan satu statistik di mana sebanyak 145,173 panggilan dan 50 peratus daripadanya adalah berkaitan keperluan sokongan emosi dan kaunseling yang kebanyakannya disebabkan kerisauan kerana terkesan dengan wabak ini seperti hilang pekerjaan, keruntuhan rumah tangga dan sebagainya. Dunia telah berhadapan dengan pandemik Covid-19 hampir 2 tahun di mana ia bukan sahaja memudaratkan kesihatan fizikal malah mampu mendatangkan impak kepada ekonomi, sosial dan sebagainya sehingga memberikan tekanan kepada seluruh masyarakat tanpa mengira lapisan umur. Masalah tekanan ini boleh menjurus ke arah pengambilan comfort food atau makanan yang memberikan keselesaan di dalam kalangan masyarakat.


“Kebiasaannya comfort food dikaitkan dengan emosi dan perasaan terutamanya ketika stres atau sedih dan biasanya ia juga dikaitkan dengan makanan yang tinggi kalori, karbohidrat atau lemak. Kita tidak perlu ketepikan pengambilannya tetapi pastikan ia diambil dengan kadar yang betul supaya tidak menjadi tabiat yang mampu mendatangkan masalah lain seperti obesiti,” ujar Prof Madya Dr Roslee Rajikan yang merupakan Pensyarah dan Ketua Program Dietetik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika ditanya mengenai pengambilan comfort food dalam diet seseorang.


Menurut satu laman sesawang moslemlifestyle.com, terdapat empat kategori comfort food seperti makanan yang berkaitan emosi atau membangkitkan nostalgia di mana ia juga berhubungan dengan aroma atau rasa yang sulit digantikan seperti masakan orang tersayang. Kedua, indulgence food ialah makanan yang mampu mendatangkan kepuasan diri seperti burger, coklat, aiskrim dan banyak lagi tetapi perlu diingatkan kategori makanan ini mampu mengundang kepada masalah kesihatan jika diambil dalam kuantiti yang tidak terkawal. Seterusnya, convenience food di mana kategori ini lebih berkaitan dengan makanan segera yang mudah disajikan di mana sebahagian besar orang yang menyukai jenis makanan ini mungkin terinspirasi daripada iklan di media massa seperti mi segera. Physical food merupakan makanan yang dapat mempengaruhi keadaan tubuh sebagai contoh, kita ingin minum teh manis panas agar tubuh lebih selesa. Namun begitu, pemilihan comfort food adalah bergantung kepada individu di mana ia boleh diubah untuk menjadi makanan sihat seperti meletakkan lebih banyak sayur-sayuran atau mengurangkan penggunaan minyak dan sebagainya.


Pengambilan ‘Comfort Food’ Sebagai Meditasi Diri


Sejak kebelakangan ini, amalan meditasi menjadi kegemaran ramai dalam kalangan masyarakat di mana ia berkesan untuk mengurangkan tekanan seperti yang disokong oleh banyak kajian yang dilakukan di luar negara mahupun tempatan. Selain itu, ia juga boleh bertindak sebagai penghargaan atau ganjaran kepada diri sendiri setelah penat bekerja keras, membuat sesuatu pencapaian, stres, sedih, terlalu gembira dan sebagainya.

Lebih-lebih lagi, apabila kerajaan Malaysia mengumumkan tempoh pelaksanaan Lockdown 3.0 bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021 dan meminta masyarakat untuk kekal di rumah jika tiada keperluan untuk keluar. Hal demikian mampu mendorong masyarakat untuk mengambil makanan selesa lebih daripada kebiasaan kerana mereka mungkin stres ketika berada di rumah. Jika dilihat dari perspektif positif, pengambilan makanan seperti ini sememangnya dapat memberikan kegembiraan dan kepuasan kepada individu tersebut. Namun begitu, ia juga mampu memberikan kesan negatif di mana ia mampu menjadi penyumbang kepada masalah kesihatan dan sebagainya.

‘Comfort Food’ Kembalikan Nostalgia


Semasa tempoh pandemik, larangan merentas negeri turut dikuatkuasakan dan ramai anak perantauan yang rindukan kampung halaman atau masakan ibu di kampung. Hal demikian juga mampu mendorong kepada pengambilan comfort food untuk mengubati kerinduan. Sebagai contohnya, masak lemak cili padi yang terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu, sememangnya kita sedia maklum mempunyai kalori yang sangat tinggi di dalam penyediaannya. Selain itu, pengambilan makanan ini juga mungkin disebabkan sudah terbiasa dengan makanan tersebut kerana ia merupakan masakan turun-temurun bagi sekumpulan masyarakat.


Melalui hubungan antara makanan dengan momen yang pernah dilewati oleh seseorang, ia mampu membawa seseorang itu kepada kenangan yang lalu atau dalam erti kata lain membangkitkan nostalgia yang lalu sama ada dengan keluarga, pasangan, kawan-kawan atau pengalaman tertentu. Tambahan pula, orang terdahulu pernah berpesan, jika rindukan tempat atau seseorang, makananlah yang mengingatkan kita pada mereka sebagai contohnya, apabila seorang anak merindukan masakan ibunya yang telah meninggal dunia, melalui comfort food dapat mengubati rindu yang ditanggung. Jadi, pengambilan comfort food bukan sahaja mampu mengurangkan tekanan, malah ia juga mampu menjadikan individu itu lebih positif dengan kestabilan emosi yang terkawal.


Bersederhana dalam Pengambilan ‘Comfort Food’


“Pemilihan comfort food yang berkhasiat adalah sangat digalakkan atau mungkin boleh mengambil buah-buahan bagi menggantikan makanan manis. Selain itu, comfort food yang sihat juga boleh diambil sebagai makanan harian atau diet berbanding mengamalkan pengambilan snek yang tidak berkhasiat ketika stres. Bagi yang mempunyai masalah kesihatan, anda digalakkan untuk mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu dalam mengambil makanan ini agar ia tidak menambahkan kemudaratan,” ujar Prof Madya Dr Roslee Rajikan ketika ditanyakan mengenai tips yang boleh diamalkan dalam mengambil makanan selesa ini. Beliau juga mengingatkan semua pihak untuk sentiasa bersederhana bagi mendapatkan gaya pemakanan yang seimbang.


Secara kesimpulannya, pengambilan comfort food adalah sangat membantu dalam mengurangkan tekanan terutamanya di dalam tempoh pandemik ini. Namun begitu, perlu ditanam di dalam diri setiap individu supaya mementingkan kesihatan lebih dari segalanya dan selalu beringat di dalam memilih makanan. Tambahan lagi, kemudahan teknologi banyak memudahkan kehidupan seharian seperti dengan hanya satu klik butang penghantaran di aplikasi GrabFood atau FoodPanda, penghantar makanan tersebut akan menghantar makanan di pintu rumah anda dan ia mampu menjana ekonomi ramai pihak. Walaupun begitu, pesanlah secara berhemah agar tidak berlaku pembaziran atau mendatangkan mudarat kepada badan sendiri. Akhir sekali, amalkan gaya hidup yang sihat untuk kesejahteraan bersama walaupun terpaksa melakukan aktiviti di dalam rumah sahaja.


112 views1 comment
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page