Nadi Bangi
Contohi Korea Promosi Makanan Tempatan
Oleh : Sharifah Sofeena
Penyunting : Shafiq Haizad

Sumber : Google
Korea mempunyai banyak faktor kejayaan dalam mempromosikan makanan serta budaya mereka. Negara yang terkenal dengan K-pop itu bukan sahaja terkenal dengan makanannya malah terkenal dari segi fesyen, skincare, drama dan macam-macam lagi. Fenomena makanan Korea turut dapat dirasai oleh Malaysia kerana terdapat banyak kedai makanan Korea yang dibuka seperti MyeonDong Topokki, Mr. Dakgalbi, dan Kyochon.
Salah satu faktor kejayaan Korea dalam mempromosikan makanan tempatan ialah melalui filem atau drama. Drama atau filem tempatan Malaysia kurang mempromosikan makanan tempatan malah terkenal dengan adegan orang kaya yang minum jus oren ketika sarapan pagi. Kebanyakan Drama Korea meskipun mempunyai watak orang kaya mereka masih mempromosikan makanan tempatan tetapi makanan tersebut mempunyai sentuhan menggunakan teknik yang moden atau mengandungi bahan-bahan yang unik dan jarang dijumpai seperti ginseng dan sebagainya. Drama korea bukan sahaja mempunyai jalan cerita yang unik dan menarik malah turut mempromosikan gaya hidup orang Korea yang mementingkan gaya hidup yang sihat melalui pemakanan. Dengan menonton drama Korea sahaja, penonton dapat mengetahui pelbagai jenis makanan Korea seperti Bibimbap, Kimchi, Bulgogi, Kimbab dan Topokki. Antara drama Korea yang banyak menunjukkan banyak adegan makanan ialah Weightlifting Fairy Kim Bok Joo, Jewel In The Palace, Oh My Ghostess serta Mr Queen yang baru sahaja ditayangkan di aplikasi VIU. Malaysia perlu mengambil inisiatif untuk mempromosikan makanan tempatan dalam pelbagai jenis rancangan televisyen seperti rancangan realiti atau hiburan. Mempromosikan makanan tempatan secara besar-besaran bukan sahaja dapat menarik pengunjung dari seluruh negeri di Malaysia, malah tidak mustahil dapat menarik pelancong dari luar negara.
Korea juga terkenal dengan konsep mukbang yang bermaksud muok-da (makan) dan bang-song (siaran). Mukbang juga turut terkenal dalam kalangan rakyat Malaysia kerana banyak Youtuber tempatan yang membuat mukbang dengan memakan pelbagai jenis makanan seperti makanan tempatan dalam kuantiti yang banyak seperti Isaac Osman dan Syed Dot. Mereka juga memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan makanan tempatan kerana ramai yang menonton channel Youtube mereka sama ada dalam atau luar negara. Dengan adanya penambahbaikan seperti menambah subtitle bahasa Inggeris pasti dapat mengundang lebih banyak lagi penonton dari luar negara.
Perlantikan duta pelancongan makanan seperti Siti Nurhaliza atau Henry Golding yang terkenal dan mempunyai banyak pencapaian. Membuat iklan duta mempromosikan makanan Malaysia turut dapat menarik perhatian peminat untuk mencuba makanan serta mengenali Malaysia. Di Korea, duta pelancongan makanan seperti kumpulan Wonder Girl telah membuat lagu bagi kempen “K-Food Party. Manakala di Malaysia, pada tahun 2010 Chef wan merupakan tokoh yang pertama dilantik menjadi duta pelancongan makanan dan mempromosikan masakan Malaysia dalam rancangan Asean Heritage Food Trail with Chef Wan di Astro Prima. Beliau terkenal kerana terlibat dalam banyak rancangan masakan serta pernah diperkenalkan oleh Anthony Bourdain kepada penonton Amerika dalam rancangan No Reservation. Melantik duta makanan merupakan usaha yang perlu dilakukan secara berterusan agar makanan tempatan Malaysia terus dikenali di dalam dan luar negara.
Syarikat penerbangan domestik dan antarabangsa juga perlu menawarkan pakej percutian yang turut mempromosikan makanan tempatan untuk menarik ramai pelancong dalam dan luar negara. Menurut jabatan perangkaan Malaysia, pada tahun 2019 prestasi industri pelancongan Malaysia meningkat lebih baik dengan sumbangan 15.9 peratus kepada ekonomi Malaysia. Perdagangan runcit menjadi penyumbang utama industri pelancongan dengan sebanyak 46.2 peratus diikuti makanan dan minuman sebanyak 18.0 peratus meningkat dari tahun sebelumnya. Manakala menurut Statista, pada tahun 2019 sahaja, sebanyak 33.4% pelancong memilih Korea sebagai destinasi bercuti kerana makanannya.
Rakyat Korea juga dilihat memainkan peranan yang penting dalam mempromosikan makanan tempatan. Terdapat juga rancangan televisyen realiti melibatkan rakyat biasa di Korea yang teruja jika bercakap tentang makanan. Rancangan tersebut juga banyak memaparkan sikap komuniti di Korea yang suka berkumpul untuk membuat dan bercakap tentang makanan. Budaya seperti ini menarik minat orang luar untuk memcuba makanan yang dibuat serta mengikuti resipi. Rakyat Malaysia juga boleh memainkan peranan dalam menjadi duta pelancongan makanan. Masyarakat tempatan turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan makanan kepada pelancong dalam dan luar negara. Makanan tempatan yang perlu dipromosikan bukan sahaja seperti Nasi Lemak dan Sate malahan makanan dari pelbagai kaum atau etnik seperti Manuk Pansuh, Nasi Linopot, Ikan Pekasam dan banyak lagi. Malahan ada juga rakyat tempatan khususnya di semenanjung tidak pernah mencuba makanan di Sabah dan Sarawak. Rakyat boleh menggunakan media sosial untuk mempromosikan makanan tempatan seperti Instagram, Youtube, Tiktok dan Twitter. Fenomena makanan Korea menyebabkan negara tersebut mempunyai permintaan yang tinggi dalam pengeluaran produk makanan. Nilai pengeluaran bagi industri makanan korea pada 2019 sahaja adalah sebanyak 53.51 trilion South Korean Won. Tidak mustahil untuk Malaysia mengikuti jejak langkah Korea dalam mempromosikan makanan tempatan.
Malaysia mempunyai kelebihan dari segi kepelbagaian kaum. Makanan di Malaysia mempunyai banyak variasi kerana terdapat banyak kaum seperti melayu, cina, india, iban, kadazandusun dan sebagainya. Mempromosikan budaya serta makanan juga merupakan satu perkara yang baik kerana dapat mempamerkan keunikan Malaysia di mata dunia. Hasil daripada mempromosikan makanan tempatan Malaysia juga turut dapat membantu ekonomi Malaysia terutamanya peniaga-peniaga kecil yang menjual makanan. Meskipun agak sukar untuk mengikuti kesemua langkah yang dibuat oleh Korea dalam mempromosikan makanan tempatan, Malaysia perlu membaiki apa yang kurang serta menambah usaha dalam mempromosikan makanan tempatan sama ada di dalam atau luar negara.