• Nadi Bangi

MAHASISWA UKM RAWAT DUKA GELANDANGAN

Penulis : Sofia Skymmar

Penyunting : Hellin Nurshazwena Baharudin



Sumber foto: Unit Media IOJ

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Kesunyian yang dirasai golongan gelandangan di sekitar ibu negara telah diubati dengan kedatangan seramai 35 mahasiswa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mengedarkan juadah sahur buat mereka.


Di bawah program Jom Sahur, juadah telah diedarkan kepada lebih 150 gelandangan di Pusat Transit Gelandangan dan KL Krash Pad seawal jam 12 tengah malam.


Jom Sahur merupakan program yang telah dianjurkan buat kali ketiga dengan kerjasama di antara mahasiswa universiti dan Institut Onn Jaafar bagi meringankan beban yang dipikul oleh golongan gelandangan.


Menurut Ketua Pengarah Program, Khew Chung Yuen (Sarjana Muda Genetik), usaha seperti ini dapat memberi kesedaran kepada mahasiswa untuk sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diperoleh pada hari ini.


"Pendedahan ini dapat menyedarkan mahasiswa bahawa masih ramai masyarakat yang hidup dalam keadaan daif dan memerlukan bantuan daripada kita," katanya.


Faiq Ishamuddin (Sarjana Muda Pengajian Perniagaan) yang merupakan antara mahasiswa terlibat berkata, ini merupakan kali kedua beliau melibatkan diri dalam Program Jom Sahur dan akan terus menyokong program seperti ini kerana gemar melihat senyuman di wajah gelandangan apabila menerima bantuan.


Kumutha Valli (Sarjana Muda Komunikasi Media), melahirkan rasa teruja kerana dapat menjadi sebahagian daripada sukarelawan yang ikut serta memandangkan ia merupakan pengalaman baharu buatnya.


“Program ini telah membuka mata saya bahawa masih ramai gelandangan di luar sana yang memerlukan makanan untuk meneruskan hidup terutamanya golongan kanak-kanak yang memerlukan makanan berkhasiat,” tambahnya.


Selain makanan, pihak penganjur turut mengedarkan bantuan pakaian kepada para gelandangan sempena menyambut perayaan Aidilfitri yang bakal berkunjung tiba.


19 views0 comments

Related Posts

See All