Oleh: Yazlin Farina Yahaya
Penyunting: Amy Ting
Sumber: Bernama
BANGI, 20 Mac - Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan kepada seluruh rakyat Malaysia ketika sidang media khas yang berlangsung pada 16 Mac 2020.
Menurut Muhyiddin, kerajaan membuat keputusan untuk menjalankan perintah ini bermula 18 Mac hingga 31 Mac 2020.
Muhyiddin juga memberi kenyataan bahawa tindakan ini bukan bertujuan untuk menyusahkan rakyat tetapi tindakan ini mesti diambil untuk membendung penularan wabak Covid-19.
“Saya sedar bahawa saudara-saudari mungkin berasa tindakan yang diambil oleh kerajaan ini menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk saudara-saudari menjalani kehidupan seharian.
Namun, tindakan ini mesti diambil oleh kerajaan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini”, kata Muhyiddin.
Awang Abdullah, 74 yang merupakan seorang peniaga kedai runcit secara kecil-kecilan, berpendapat bahawa tindakan Perdana Menteri (PM) dan kerajaan melaksanakan perintah ini bagus tetapi menyusahkan ramai peniaga apabila rakyat tidak memahami erti Kawalan Pergerakan itu sendiri.
“Saya sokong tindakan PM dan kerajaan laksanakan perintah itu, tetapi rakyat juga perlu faham apa itu Kawalan Pergerakan dan jangan membuat tindakan dengan menyerbu kedai runcit-kedai runcit serta pasaraya semata-mata untuk membeli stok makanan sehingga menyusahkan semua orang”, katanya.
Menurut pelajar tingkatan 5, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa, Terengganu, Nur Zara Batrisyia, berkata bahawa Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan Perdana Menteri menyusahkannya kerana tidak dapat belajar bersama rakan-rakannya untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.
Zara berkata, “Saya rasa susah untuk belajar dan berjumpa rakan-rakan untuk berbincang tentang mata pelajaran yang akan kami ambil semasa SPM nanti jika Kawalan Pergerakan ini berterusan”.
Zalakiah Awang, 47, seorang suri rumah tangga pula menunjukkan rasa sokongan secara seratus peratus kepada tindakan yang dikeluarkan oleh Tan Sri Muhyiddin itu.
“Kawalan ini memang wajar dilakukan kerajaan kerana kita dapat membendung wabak koronavirus ini dari terus merebak ke kawasan lain,” katanya.
Perintah Kawalan Pergerakan ini dijalankan oleh kerajaan selepas mendapati mangsa yang positif wabak Covid-19 meningkat secara mendadak.
Comentarios