top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

COVID-19: PKPB Dilanjut Hingga 9 Jun

Oleh : Zulaikha Hisham

Penyunting : Yusliana Yusoff

Sumber: Google

KUALA LUMPUR, 12 Mei - Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilanjutkan selama empat minggu lagi sehingga 9 Jun ini.


Jelasnya, keputusan melanjutkan PKPB selama empat minggu lagi itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai langkah membendung wabak COVID-19.

“Usaha kita masih belum berjaya sepenuhnya. Langkah-langkah masih perlu diambil untuk memerangi wabak ini.”


“Dari segi pandangan umum juga saya dapati rata-rata rakyat mahukan supaya kerajaan terus mengambil langkah-langkah yang wajar untuk memerangi wabak ini,” katanya dalam perutusan khas yang disiarkan di stesen-stesen televisyen tempatan baru-baru ini.


Kerajaan sebelum ini mengumumkan PKPB bermula 4 hingga 12 Mei bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka secara terkawal dan berhati-hati. Susulan penurunan kes Covid-19 baru-baru ini, kerajaan kemudian menguatkuasakan PKPB pada 4 Mei lalu, yang membenarkan hampir semua sektor ekonomi dibuka semula.


Tambah Muhyiddin, semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan sepanjang tempoh PKPB pada masa ini akan kekal berkuat kuasa sehingga 9 Jun.

Dalam ucapannya itu, beliau juga berkongsi tentang kajian yang dilakukan oleh sebuah agensi penyelidikan yang berpangkalan di Singapura.


Kata Muhyiddin, berdasarkan kajian agensi itu, Malaysia berada di tangga ke empat daripada 105 buah negara dari segi tahap kepuasan hati rakyat terhadap usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.


"Jadi, sekali lagi saya nak mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua petugas barisan hadapan kita yang telah banyak berkorban sepanjang tempoh dua tiga bulan ini untuk memastikan semua rakyat Malaysia terselamat daripada wabak Covid-19.


"Saya juga nak merakamkan ucapan terima kasih kepada saudara-saudari sekalian seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah yang sentiasa berdisiplin mematuhi arahan PKP dan PKPB sehingga memudahkan para petugas barisan hadapan kita menangani krisis ini," katanya.

27 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page