Nadi Bangi
COVID-19 Punca Isteri Dalam Pantang Terpisah Dengan Suami
Oleh: Rafaeil Bahri
Penyunting: Harith Ashyraf

KUALA KANGSAR 5 Jan – Sepasang suami isteri yang baru sahaja menimang cahaya mata yang berusia 10 hari telah terpisah selepas si suami ditugaskan ke luar kota selama sebulan sebelum disahkan sebagai salah seorang suspek COVID-19 ketika bertugas kerana salah seorang daripada rakan sekerjanya positif COVID-19.
Amin Shahbudin, 32 yang merupakan suami dan bapa kepada Putera Ellisa, telah menjadi salah seorang suspek COVID-19 ketika bertugas di ibukota negara. Beliau berkata, punca bermula daripada rakan sekerja yang turut bertugas ke luar kota bersamanya telah menerima panggilan daripada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengesahkannya positif COVID-19 setelah menjalani ujian saringan sebelum bergerak ke ibu kota tersebut.
Raja Syafinaz Raja Husni, 27 yang merupakan isteri dan juga ibu kepada bayi Puteri Ellisa, meluahkan rasa sedih kerana terpaksa terpisah dengan suaminya ketika beliau sedang dalam berpantang. “Hidup saya seperti serba kekurangan kerana tiada suami disisi untuk membantu saya mengharungi hari-hari berpantang saya seperti pasangan yang lain”.
Amin Shahbudin, akur selepas perlu menjalani kuarantin di pusat yang disediakan oleh syarikatnya selama 14 hari dan ditambah lagi 14 hari selepas seorang lagi rakan sekerja disahkan positif COVID-19 menjadikan keseluruhan 28 hari.
Selepas berpisah selama hampir sebulan, pasangan ini akhirnya dapat bersama kembali setelah suaminya, Amin Shahbudin disahkan negatif selepas melakukan ujian saringan sebanyak dua kali.
Raja Syafinaz Raja Husni, berkata bahawa sepanjang ketiadaan suaminya, dia bersyukur kerana mempunyai jiran-jiran yang sangat prihatin terhadapnya. “Setiap hari, ada saja jiran saya yang datang untuk memberikan makanan dan menanyakan khabar saya dan anak sepanjang saya berpantang.” ujarnya.
Perasaan gembira yang tidak terhingga diucapkan oleh Amin Shahbudin selepas dapat bersama kembali ke pangkuan keluarga tersayang. “Saya berasa sangat bersyukur dan gembira apabila dapat pulang ke rumah bersama dengan keluarga saya, melihat anak saya yang saya fikir tiada peluang untuk berjumpa lagi, tapi Alhamdulillah berkat doa dan sabar, saya dapat bersama kembali.”
Meskipun terpisah dengan anak dan isterinya sementara, dia turut meluahkan rasa syukur apabila anak dan isterinya berada dalam keadaan baik sepanjang ketiadaannya.