Nadi Bangi
Dapur Markaz Tidak Menang Tangan
Oleh : Nur Liana Afandi
Penyunting : Muhammad Aiman Shaharuddin

BATU PAHAT, 23 Jan. - Seorang pengusaha makanan kecil-kecilan, Puan Mursina Ahmad, 53, tidak menyangka apabila keputusannya menubuhkan Dapur Markaz secara atas talian mendapat sambutan yang menggalakkan apabila kini tidak menang tangan ekoran menerima hampir 20 pesanan makanan daripada pelanggan setiap hari.
Dapur Markaz dulunya dikenali sebagai Markaz Cafe merupakan sebuah restoran milik keluarganya dengan menyediakan pelbagai menu masakan yang menepati cita rasa pelanggan. Namun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 susulan penularan wabak Covid-19 sejak tahun lalu didakwa telah menjejaskan perniagaan sedia ada dan menyebabkan pemiliknya memutuskan untuk menutup premis tersebut.
“Pada mulanya,kami menjangkakan wabak Covid-19 akan cepat berlalu supaya perniagaan ini dapat beroperasi seperti sedia kala. Tetapi, atas nasihat dan sokongan anak-anak, kami memulakan perniagaan di rumah secara atas talian dengan menyediakan khidmat penghantaran makanan. Kami turut menyediakan dan memasak pesanan pelanggan di dapur rumah yang telah diubahsuai untuk keselesaan kami,” kata Mursina Ahmad, pemilik perniagaan Dapur Markaz.
Menurutnya, perniagaan di rumah tidak semudah yang disangka apabila beliau memerlukan beberapa strategi pemasaran untuk memperkenalkan semula jenama restoran mereka. “Kami perlu menggunakan pelbagai kaedah promosi menggunakan aplikasi Whatsapp, Instagram dan Facebook bagi membuka mata pelanggan akan kewujudan perkhidmatan kami. Walaupun berniaga di rumah, saya memanfaatkan peluang dengan mendalami ilmu perniagaan agar dapat mengendalikan Dapur Markaz sebaiknya. Saya juga menghadapi sedikit kesukaran untuk menyeimbangkan urusan perniagaan dan kerja-kerja harian di rumah seperti membasuh, memasak dan mengemas rumah kerana sejujurnya bekerja di rumah adalah lebih memenatkan berbanding bekerja di kedai.”
Tambahnya lagi, “Disebabkan restoran Markaz Cafe terpaksa ditutup, kami memulakan penjenamaan semula iaitu Dapur Markaz sebagai perniagaan makanan yang menggunakan perkhidmatan penghantaran di mana kami mengambil pekerja asal restoran untuk menjadi penghantar makanan. Tetapi, kami masih memerlukan penghantar makanan lain agar proses penghantaran lebih teratur dan sistematik. Namun, ia merupakan satu cabaran yang besar apabila hampir setiap bulan kami perlu berhadapan dengan masalah pertukaran penghantar makanan yang bersilih ganti. Bagi saya, pemilihan penghantar makanan hendaklah dilakukan dengan teliti kerana ia melibatkan kejujuran, amanah dan disiplin.”
Kebanyakan menu Dapur Markaz diilhamkan mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan setia yang menjadikan setiap menu adalah istimewa serta mempunyai penggemarnya yang tersendiri. Kini, Dapur Markaz telah menjalinkan kerjasama dengan perkhidmatan penghantaran makanan Foodpanda dan Halo Food untuk mengembangkan liputan perniagaan dan memudahkan pesanan dibuat melalui aplikasi tersebut. Malahan, mereka juga dalam usaha menuju ke arah perniagaan secara digital melalui laman web rasmi Dapur Markaz.
Nadi Bangi sempat menemubual penghantar makanan Dapur Markaz iaitu Zulfariez Md Harun, 23, yang juga merupakan seorang penuntut di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) telah memanfaatkan peluang dengan melakukan kerja sambilan untuk menambah pendapatan. Beliau menyatakan bahawa perniagaan makanan seperti Dapur Markaz boleh berkembang maju dan mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat terutamanya golongan belia yang berdepan dengan masalah kewangan. Golongan belia yang tiada pengalaman juga berpeluang mempelajari selok-belok bidang perniagaan. Oleh itu, beliau berharap agar masyarakat terus menyokong peniaga-peniaga tempatan demi menjamin kestabilan ekonomi sekaligus membantu golongan yang terjejas akibat PKP.
Bagi pelanggan setia pula, Marlini Yusof, 48, memberi maklum balas yang positif terhadap kualiti dan perkhidmatan penghantaran makanan yang disediakan oleh Dapur Markaz. “Saya kerap membuat pesanan makanan di Dapur Markaz kerana kuantiti makanan yang banyak, sedap dan mempunyai servis penghantaran makanan yang cepat bagi memenuhi permintaan pelanggan.”
Pelbagai cabaran harus ditempuhi oleh peniaga terutamanya apabila kini, sektor perniagaan telah pun memasuki era perindustrian digital yang memerlukan penerokaan teknologi secara meluas agar masyarakat tidak ketinggalan di samping dapat meluaskan perniagaan tanpa sempadan ke arah pasaran yang dominan.