top of page
  • Writer's pictureSiti Kamariah Sujeno

Dari Hobi ke Lubuk Rezeki

Penulis: Siti Kamariah Binti Sujeno

Penyunting: Sharifah Nurhanni Fasihah Binti Wan Narudin

Koleksi barangan lama, antik dan vintag. Sumber Gambar: Nadi Bangi


‘Alah membeli, menang memakai’ merupakan peribahasa yang tepat dalam menggambarkan nilai sentimental yang ada pada barangan antik hingga ada pengumpul barangan tersebut yang sanggup menghabiskan ribuan ringgit demi memburu pelbagai jenis khazanah itu untuk dijadikan koleksi peribadi.

Barangan antik, vintaj dan klasik mempunyai satu nilai estetika tersendiri yang bersifat subjektif iaitu sukar untuk ditafsirkan oleh peminat dan penjual barangan tersebut.

Bagi Kamarudin Abdullah, 52, yang merupakan seorang pengumpul dan penjual barangan antik mengakui bahawa beliau sanggup menghabiskan banyak masa dan wang ringgit untuk mencari barangan tersebut yang dapat memberinya keuntungan tinggi pada masa hadapan.

Beliau yang merupakan anak jati Johor yang berasal dari Pekan Nenas Pontian itu telah berkecimpung dalam dunia memburu barangan antik sejak 14 tahun lalu dimana pada mulanya hanya sekadar hobi sebelum menukar angin menjadi perniagaan apabila mendapat permintaan yang tinggi daripada peminat barangan antik.


Kamarudin bersama salah seorang pelanggan tetapnya. Sumber Gambar: Nadi Bangi.

“Harga barangan antik ini menjadi lebih mahal sehingga boleh mencecah ratusan ribu ringgit bergantung kepada pembuatan dan keluaran barangan itu yang berusia puluhan atau ratusan tahun,” katanya.

Guru sebagai pencetus meminati barangan lama

Kamarudin berkata, guru sekolah rendahnya iaitu Faridah Abdullah merupakan pencetus kepada hobi mengumpul setem semasa berumur 8 tahun.

“Pada masa itu saya berumur 8 tahun dan bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pekan Nanas, cikgu saya memperkenalkan konsep ‘satu murid, satu hobi’ dimana setiap murid kena ada satu hobi untuk diceritakan.

“Saya bertanya kepada cikgu saya, barang apa yang mudah dan murah untuk dikumpul memandangkan pada masa itu saya baru darjah dua.

“Lalu, beliau pun mencadangkan saya untuk mengumpul setem kerana tidak perlu mengeluarkan modal yang tinggi,” ujarnya.

Pelbagai barangan antik yang dimiliki dari dalam dan luar negara

Pemilik Galeri KD Antique itu berkata, minat yang dipupuk sejak tahun 1980 telah mendorong dirinya mengumpul lebih 30,000 koleksi antik,vintaj dan klasik yang dianggarkan bernilai lebih ratusan ribu ringgit yang tidak hanya terdapat di kedai malahan turut disimpan di rumahnya yang diperoleh dari dalam dan luar negara.

“Ada barangan yang saya beli dari luar negara seperti Indonesia, Vietnam, Burma, German dan Cina,” ujarnya.

Kata Kamarudin, dia memiliki sebuah katil anak maharaja dari Dinasti Qing yang telah berusia lebih ratusan dekad dan disimpan dirumahnya kerana katil tersebut merupakan barangan yang paling berharga buat dirinya.

Tambahnya lagi, struktur katil tersebut masih kukuh serta mempunyai seni ukiran yang sangat halus dan berseni menyebabkan dia tidak mahu menjualnya walaupun ada yang menawarkan dengan harga tinggi kerana katil itu mempunyai sejarahnya yang tersendiri iaitu tempat belajar anak maharaja Dinasti Qing.

Almari peranakan baba nyonya yang berkaki singa. Sumber Gambar: Nadi Bangi

Menurut Kamarudin, dia turut mempunyai set almari peranakan baba nyonya dari sekitar tahun 20-an yang menjadi kegilaan peminat perabot vintaj dan klasik.

“Almari peranakan mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan peminatnya adalah disebabkan oleh ketahanan almari tersebut yang masih kukuh walaupun dah berusia 60 tahun dan tidak dimakan oleh anai-anai.

“Buktinya, ada seorang pelanggan saya yang menetap di Kajang memberitahu bahawa semua perabot rumahnya yang dibeli di IKEA musnah dihanyut banjir dan hanya perabot kaki pengsel yang dibeli di kedai saya sahaja yang masih kukuh serta tidak rosak,” katanya.

Dia turut menjelaskan bahawa harga perabot tersebut adalah berbeza mengikut jenis kayu jati yang digunakan iaitu kayu jati dari Burma lebih mahal harganya berbanding kayu jati Vietnam.

Pedang kerabat diraja yang disimpan di ruang penyimpanan khas. Sumber Gambar: Nadi Bangi.

Bapa kepada tiga orang anak itu berkata, dia juga memiliki sebilah pedang kerabat diraja suku Melayu Mandailing yang berasal dari Sumatera, Indonesia.

“Pedang ni sangat unik kerana ulunya diperbuat daripada tanduk kerbau dan julat harga pasarannya antara RM2600 sehingga RM3000 bergantung kepada bakal jodohnya nanti,” jelasnya.

Kamarudin berkata bahawa minatnya kini turut diwarisi oleh ketiga-tiga orang anaknya, yang akan turut membantunya mencari barangan antik, vintaj mahupun klasik.

“Saya berharap sekiranya saya telah tiada, isteri dan anak-anak saya akan meneruskan minat saya kerana barangan ini adalah khazanah warisan yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang mengenali sejarah barangan tersebut,” katanya.

37 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page