Oleh: Fazlan Kamaruzaman
Penyunting: Syahzanani Sajidah
Sumber: Majalah Pepatung
BANGI, 26 Jun- Siapa sangka dahulunya seorang suri rumah yang hanya cuba membantu suami untuk menjana pendapatan sampingan dengan memuat naik tutorial masakan di Youtube kini mampu menjadi gadis muka hadapan majalah Pepatung baru-baru ini.
Pada April lalu, wanita yang mesra disapa Pavithra ini pernah menjadi buah mulut rakyat Malaysia apabila saluran Youtube yang diberi nama Sugu Pavithra miliknya telah mendapat perhatian Perdana Menteri Malaysia iaitu Tan Sri Dato’ Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin apabila namanya telah dijadikan contoh sebagai rakyat yang pandai mencari pendapatan sampingan sepanjang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumah.
Selepas sahaja namanya disebut ketika ucapan rasmi yang dibuat oleh Perdana Menteri secara langsung di kaca televisyen, popularitinya melonjak dengan sekelip mata apabila pengikutnya meningkat secara mendadak dari 100,000 orang dan kini mencecah hampir 800,000 orang.
Kejayaan yang dimiliki wanita bernama Pavithra ini telah menarik minat portal gaya hidup dan fesyen Pepatung untuk mengambil beliau sebagai model muka hadapan portal tersebut serta mentransformasikan Pavithra dari suri rumah kepada wajah model bertaraf antarabangsa.
Namun, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pavithra, beliau tidak akan sesekali menjadikan model sebagai kerjayanya dan beliau akan meneruskan minatnya sebagai Youtuber untuk berkongsi lebih banyak resepi masakan.
Wajah Pavithra atau nama sebenarnya S. Pavithra yang menjadi model muka hadapan majalah ini telah mendapat perhatian pengguna Twitter apabila muat naik gambarnya di aplikasi itu telah memperolehi hampir 10,000 ulang kicau dan menjadi bualan hangat warga Twitter.
Melalui tinjauan Nadi Bangi di Twitter, kebanyakan dari mereka meninggalkan komen ucapan tahniah dan ada juga yang tidak menyangka bahawa suri rumah yang selama ini hanya memasak di dapur mampu menjadi secantik itu setelah disolek, dan salah seorang darinya ialah Amirul atau @amirulazraii di laman Twitter. Amirul berpendapat bahawa Pavithra tampak sungguh yakin di depan kamera seolah-olah pernah menjadi model professional.
Wartawan Nadi Bangi sempat menemu bual Fadillah Kamaruzaman, 34, suri rumah yang bekerja sebagai tukang masak di Pekan, Pahang . Beliau berpendapat bahawa Pavithra telah menjadi sumber inspirasi kepadanya agar berusaha dengan lebih gigih untuk menjadi sepertinya kelak.
“Saya sangat meminati saluran Youtube SuguPavithra dan melihat beliau mampu melangkah sejauh ini membuatkan saya teruja untuk mengikuti jejak langkahnya dan tidak akan berputus asa.” Kata beliau kepada wartawan Nadi Bangi.
Menurut Pavithra lagi, ramai yang salah sangka dan menganggap bahawa namanya adalah Sugu Pavithra, sedangkan ramai yang tidak tahu bahawa Sugu itu adalah suaminya, manakala nama penuhnya pula ialah S. Pavithra.
Comments