• Nadi Bangi

Datuk Maut, Cucu Cedera Parah Kereta Dirempuh Lori

Penulis: Azril Izzat Ramlan

Penyunting: Farah Natasya Ramani

Foto: Rosli Ilham

MARANG, 13 Nov - Seorang datuk maut manakala cucunya cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya yang membabitkan sebuah kereta dan lori di Kilometer 58, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Rhu Kubur, di sini, semalam.


Dalam kejadian pada 11:30 pagi itu, mangsa Azman Awang, 56, memandu kenderaan jenis SUV iaitu Mazda CX5 maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa bahagian badan lain manakala Aisy Mateen Mohd Amin, satu tahun lapan bulan difahamkan mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.


Ketika kejadian, Azman yang bekerja sebagai seorang juruteknik di Sekolah Menengah Imtiaz Dungun dikatakan dalam perjalanan menuju ke sebuah pasar raya mini di kawasan Jambu Bongkok di sini yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah mereka iaitu di Rantau Abang, Dungun untuk membeli barangan keperluan harian bersama-sama cucunya.


Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu oleh Azman dilaporkan telah hilang kawalan ketika dalam perjalanan lalu terbabas ke bahagian kanan jalan iaitu laluan bertentangan serta melepasi pembahagi jalan sebelum bertembung dengan sebuah lori.


Hamidi Ismail, 41, yang merupakan pemandu lori tersebut berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke depoh simpanan lori di Kampung Batu 7, Dungun sebaik sahaja selesai melakukan kerja menambun tanah di kawasan Jambu Bongkok.


Hamidi turut menerangkan keadaan kereta serta mangsa ketika kemalangan itu berlaku.


“Pertembungan kuat itu menyebabkan kereta terbabit mengundur dengan laju sehingga masuk semula laluan asal mereka dan akhirnya berhenti dan tersadai di kawasan semak di situ.


Tanpa berlengah masa saya terus bergegas keluar dari lori dan cuba membantu mereka. Setibanya di kawasan nahas itu, saya mendapati pemandu kereta tersebut sudah tidak bernyawa manakala seorang budak lelaki sedang menangis teresak-esak berlumuran darah di kepala pada tempat duduk bersebelahan pemandu.”, katanya.


Wartawan Nadi Bangi yang berada di tempat kejadian melaporkan bahawa orang ramai yang melalui kawasan nahas tersebut turut menghentikan kenderaan mereka di bahu jalan bagi menghulurkan bantuan.


Dari kaca mata wartawan memperlihatkan pengguna jalan raya yang lain turut cuba membantu mengeluarkan mangsa kemalangan dan mereka berjaya mengeluarkan kanak-kanak lelaki tersebut sementara menunggu ketibaan ambulan.


Namun yang demikian, keadaan kereta yang remuk teruk di bahagian hadapan telah merumitkan usaha bagi menyelamatkan Azman yang tersepit di tempat duduk pemandu.


Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marang, Imran Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12:30 tengah hari.


Tambah beliau lagi, seramai 19 anggota termasuk dari BBP Dungun mengambil masa selama 15 minit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit itu.


Mayat Azman kemudiannya telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk dibedah siasat manakala cucunya yang cedera parah pula telah dikejarkan ke unit kecemasan di hospital yang sama bagi mendapatkan rawatan lanjut.





829 views0 comments

Related Posts

See All