Nadi Bangi
DBKL SITA PREMIS AKTIF MILIK WARGA ASING
Wartawan: Nazrin Sarnin
Penyunting: Vimala Shanmugam

Sumber: Berita Harian
KUALA LUMPUR, 10 Mei- Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyita lima premis perniagaan milik warga asing yang beroperasi tanpa kebenaran di Jalan Berangan dan Jalan Asoka, semalam.
Penyitaan premis-premis tersebut merupakan tindakan susulan hasil operasi pemeriksaan yang dijalankan oleh Jabatan Penguatkuasaan DBKL di kedua-dua lokasi berkenaan.
DBKL, dalam satu perkongsian di laman Facebook rasmi, memaklumkan tiga premis perniagaan di Jalan Berangan itu menjalankan perniagaan kedai runcit dan buah-buahan.
Tindakan warga asing ini adalah bertentangan dengan arahan pihak berkuasa yang memperketatkan peraturan pembukaan premis bagi mengelakkan perhimpunan berskala besar.
Di Jalan Asoka pula, penutupan membabitkan sebuah kedai runcit yang menjual barangan basah dan sebuah restoran.
Menurut post Facebook tersebut, DBKL akan terus mengambil tindakan seumpama itu dari semasa ke semasa dalam memastikan tiada warga asing mengambil kesempatan menjalankan perniagaan tanpa kebenaran di sekitar ibu negara.
Memetik petikan akhbar Berita Harian pada 10 Mei, Datuk Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan, dalam satu kenyataan menyatakan gesaan penguatkuasaan Undang-Undang Kecil (UUK) sedia ada bagi memastikan tiada warga asing terbabit dalam industri perniagaan, khususnya penjajaan seperti yang telah diperuntukkan menerusi peraturan berkenaan.
Beliau turut memaklumkan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM dengan DBKL dalam memperkukuhkan jentera penguatkuasaan UUK
Terdahulu tular sebuah video berdurasi 1.36 saat yang memaparkan sikap tidak puas hati seorang netizen berkenaan premis warga asing yang beroperasi secara haram dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa tindakan daripada pihak berkuasa. Perkongsian itu menerima banyak maklum balas negatif yang dilemparkan netizen.