Oleh: Nur Sahira Omar
Penyunting: Liaw Jia Ying
PETALING JAYA, 11 Nov - CARAT (peminat Seventeen) mula beratur di Atria Shopping Gallery 5 hari awal iaitu setelah sahaja iMe MY selaku penganjur konsert tersebut mengumumkan tarikh pelancaran penjualan tiket konsert yang bermula jam 11pagi pada 2 November yang lalu.
Carat menyerbu Atria Shopping Gallery untuk mengambil tempat menjadi antara orang yang terawal membeli tiket konsert kumpulan tersebut.
Kumpulan Seventeen akan membawakan siri jelajah mereka yang dinamakan ‘Ode To You’ In Kuala Lumpur yang akan diadakan di Axiata Arena pada 22 Februari tahun hadapan dan merupakan kali ketiga kumpulan ini mengadakan konsert mereka di Malaysia.
Penganjur memberi peringatan kepada peminat dengan memuat naik di laman sesawang mereka iaitu menyatakan “Sebagai langkah keselamatan, pihak penganjur tidak menggalakkan peminat untuk bermalam dilokasi penjualan tiket”.
Namun, oleh kerana semangat para peminat yang ingin merebut untuk membeli tiket yang paling hadapan, maka mereka menanggung semua risiko tersebut dengan bermalam di luar pintu utama dengan diawasi oleh beberapa pegawai keselamatan Atria Shopping Mall tersebut.
Para peminat hanya dibenarkan bermalam di dalam Atria Shopping Gallery hanya malam sebelum hari pelancaran tiket konsert itu sahaja dan mereka disediakan tempat untuk berkumpul dan bermalam di kawasan tersebut juga dengan diawasi oleh pegawai keselamatan.
Menurut Wahyuni, 25, yang merupakan salah seorang peminat dari Indonesia yang juga turut beratur untuk membeli tiket konsert ini berkata, “Saya sanggup datang dari Indonesia untuk mendapatkan tiket konsert Seventeen ini kerana saya sangat menggemari mereka dan saya lebih suka datang menonton konsert artis Kpop di Malaysia berbanding di Indonesia kerana saya juga mempunyai ramai kenalan di Malaysia”.
“Saya agak rasa penat kerana ini sudah hari kedua saya bermalam di sini namun saya tetap berasa gembira dapat berkumpul dengan Carat yang lain, maka rasa penat itu mula hilang dan sangat bersemangat untuk mendapatkan tiket tempat duduk yang paling hadapan untuk melihat ‘oppa’ dengan lebih dekat”, ujar Hidayah Zulkifli, 21 yang sempat ditemu bual pada hari pelancaran tiket baru-baru ini.
Seawal jam 5pagi kelihatan lebih ramai para peminat datang untuk mengambil tempat dalam barisan dan nombor giliran diagihkan bermula jam 10:30 pagi dan didapati hampir seribu peminat yang datang pada hari pelancaran tiket untuk membeli tiket konsert tersebut.
Pelancaran tiket konsert Seventeen itu dimeriahkan lagi dengan persembahan ‘cover dance’ oleh kumpulan Unknownz yang merupakan kumpulan yang membuat ‘cover dance’ lagu-lagu Kpop.
Comentarios