Chai Matthew
Derma Darah Sempena Perayaan Hari Raya Aidilfitri
Penulis: Chai Matthew
Penyunting: Chin Ee May

Sukarelawan C360° (baju putih) dan penderma darah.
Sumber: Community360°
PETALING JAYA, 30 MEI – Sebuah pertubuhan bukan kerajaan Community360° (C360°) telah mengadakan kempen derma darah di pusat beli-belah 3 Damansara baru-baru ini.
Kempen tersebut yang berlangsung selama dua hari sejak 29 April diadakan oleh para sukarelawan C360° dengan kerjasama Pusat Darah Negara Malaysia, 3 Damansara, dan Agile Integrated Kaison Sdn Bhd.
Menurut salah seorang pemudah cara C360°, Jodie Chai, kempen tersebut diadakan beberapa hari sebelum cuti Hari Raya Aidilfitri atas jangkaan risiko kemalangan jalan raya yang akan meningkat sejajar dengan bilangan orang yang akan pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya dengan saudara mara.
“Objektif kami adalah untuk mengumpul sebanyak 80 pek darah. Semalam, kami telah mendapat 28 pek darah. Oleh itu, hari ini kami berharap untuk mendapat 50 lebih pek darah yang tinggal untuk mencapai sasaran kami,” kata beliau. “Setiap pek darah mampu menyelamatkan nyawa tiga orang.”
Puan Lee, 37 tahun, seorang penderma darah yang telah menderma sebanyak 11 kali, “Saya menderma darah kerana saya ingin membantu orang dan juga kerana Pusat Darah Negara mempunyai bekalan darah yang tidak cukup.”
“Kawan saya ajak saya untuk cuba menderma darah bersama, jadi saya pun datang. Saya juga akan mengajak kawan saya untuk menderma darah pada masa hadapan,” kata Encik Lim, 32 tahun, penderma kali pertama.
Encik Tan, 53 tahun, 7 kali menderma darah, “Saya sudah lama ingin menderma darah tetapi oleh kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) semasa pandemik, aktiviti begini tidak diadakan dan saya tidak mampu menderma darah. Kini, kerajaan beri kebebasan. Saya pun mengajak kawan-kawan saya ke sini.”
Sepanjang kempen tersebut, Encik Tan telah membawa lebih daripada 20 kawan-kawannya untuk menderma darah.
Community360° merupakan sebuah pertubuhan bukan untung yang terdiri daripada sukarelawan (digelar Community Scout) sekitar kawasan Petaling Jaya dan Kuala Lumpur. Sejak penubuhannya pada 7 Julai 2021, C360° telah terlibat dengan pelbagai aktiviti amal sepanjang pandemik melalui PeKa B40 untuk membantu keluarga golongan B40.
“Kami berharap supaya orang ramai akan datang menderma darah kerana bekalan darah telah berkurangan sepanjang bulan Ramadan. Hal ini kerana terdapat ramai orang yang berpuasa.”