top of page
Writer's pictureNadi Bangi

Disebalik Kisah Eday Si Pemungut Sampah

Oleh: Muhammad Aiman Shaharudin/ Shahrul Nazmi Sannusi

Penyunting: Nur Liana Afandi

Sumber: Harian Metro


Rentetan kisah seorang anak muda yang juga seorang alumni Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), menjadi pengutip sampah di negara jiran Singapura yang tular baru-baru ini mendapat perhatian meluas dalam saluran media kedua-dua negara.

Masakan tidak, sifatnya yang jujur dan merendah diri dengan memulangkan semula IPad Pro milik wanita negara itu, Michelle Lee yang didakwa telah dicuri setahun lalu dan dibuang ke dalam tong sampah telah mendapat pujian kalangan warga netizen.


Peristiwa yang berlaku ke atas Muhammad Khidir bin Samsudin atau lebih mesra dengan sapaan Eday, 25 berasal dari Batu Pahat ini telah menyaksikan beliau kini menjadi idola kalangan anak muda seusia dengannya yang bakal mencari peluang pekerjaan dimasa akan datang. Selain itu, keberaniannya mengambil risiko mencari kerja diluar negara walaupun hanya sekadar pemungut sampah telah membuka mata banyak pihak tentang kemampuan anak tempatan.


Menjadi penyokong tegar Manchaster United (MU) dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan pada tahun 2019, beliau mengakui memiliki strategi serampang dua mata dalam melakar masa depannya. Kini beliau berkhidmat di SembWaste Pte.Ltd, salah sebuah anak syarikat yang dimiliki agensi pelaburan gergasi negara itu yang memiliki aset sekitar RM1.7 trilion, Temasek Holdings. Selain meneroka pengalaman bekerja di firma tersohor dan bertaraf antarabangsa ini, faktor pendapatan yang besar dek kerana faktor tukaran asing telah menjadi daya penarik untuknya menceburi bidang pekerjaan di republik itu.


“Apa yang saya dapat di sini setiap hujung bulan melebihi gaji eksekutif muda di Malaysia. Lagipun, untuk menjadi eksekutif di Malaysia, ia memerlukan pengalaman kerja sekurang-kurangnya 3 tahun. Purata gaji bagi lulusan ijazah untuk kebanyakan jenis pekerjaan dalam negara ini adalah dalam lingkungan SGD2500 atau sekitar RM7600 sebulan termasuk kerja lebih masa.”


“Sekiranya saya kembali ke Malaysia satu hari nanti, saya boleh menceritakan saya mempunyai pengalaman bekerja dalam syarikat asing yang berprestij di Singapura,” katanya yang merujuk kepada syarikat SembWaste yang terlibat dalam industri pengurusan sisa pepejal terbesar negara itu.


Kesanggupan Eday dalam menceburi sektor pekerjaan yang tidak menjadi tumpuan kalangan rakyat negara ini telah membuka mata ramai pihak khususnya potensi menceburi sektor pekerjaan berkonsepkan 3D iaitu Dirty, Dangerous dan Difficult dalam kalangan warga negara ini. Lantas membangkitkan persoalan tentang sejauhmana ketersediaan kemahiran insaniah atau softskill mereka ini untuk menempuh dunia pekerjaan mencabar, selain hanya memfokus kepada pembelajaran dalam kelas dan mendapat segulung ijazah dalam bidang masing-masing?


Insan Budiman

Apa yang dilalui Eday ini adalah salah satu dari ribuan kisah insan budiman dan wira tidak didendang yang menyumbang jasa di peringkat antarabangsa. Semangat yang dimiliki beliau ini adalah cerminan kepada keperibadian budimannya yang berani mencuba, amanah, profesional serta sentiasa tidak jemu mencari peluang.

Sejak dari tahun pertama universiti lagi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) sememangnya telah menerapkan semua pelajarnya dengan sifat dan kemahiran insaniah yang diperlukan sebelum mereka menceburi dunia pekerjaan kelak. Banyak kajian juga telah dilakukan dan membuktikan bahawa para majikan kini mengutamakan ciri softskill atau kemahiran insaniah dalam diri bakal pekerja mereka.


Program Insan Budiman yang telah diperkenalkan sejak tahun 2017 lalu banyak melahirkan insan cemerlang yang diperdidik dengan komponen seperti keterampilan kendiri, profesional, kecekapan bahasa, kesukarelawan, tanggungjawab sosial korporat serta keusahawanan. Sebagai alumni FSSK, Eday juga mengakui beliau juga telah mempelajari dan mendapat banyak manfaat menyertai program ini sepanjang beliau di UKM.


Semua komponen ini mampu menjadi pelengkap kepada bakal graduan FSSK yang akan dilahirkan setiap tahun sama ada bekerja sendiri atau makan gaji. Dalam suasana semakin mencabar ketika ini, para majikan juga ketika ini juga tidak lagi hanya bergantung kepada sejauhmana hebatnya seseorang pelajar itu memperolehi CGPA tinggi sahaja, tetapi kemahiran softskill juga menjadi pilihan yang dititikberatkan.


Pekerjaan 3D

Bagi anak muda yang pernah memenangi Pelakon Teater Terbaik di Festival Kesenian Antara Kolej tahun 2017 ini, beliau mengakui minatnya dalam pekerjaan memungut sisa pepejal dan kerja-kerja pertukangan ini mula dipelajari sejak di universiti lagi. Beliau memperoleh kemahiran ini melalui pengalamannya melakukan kerja-kerja sambilan seperti pertukangan, pembersihan dan pencucian di kolej penginapannya, Keris Mas.


“Masa di Kolej Keris Mas lagi saya banyak menjalankan kerja-kerja pertukangan. Saya pernah tolong kakitangan kolej untuk membersihkan sampah, perbaiki perabot dan elektrik dan macam-macam lagi. Ada yang dibayar dan ada juga yang dilakukan sebab saya minat nak belajar. Dari situ menimbulkan minat saya untuk menceburi pekerjaan ini dan ia membuatkan saya kenal ramai staf bawahan yang membantu kesejahteraan warga kolej Keris Mas.”


“Setiap kali ternampak lori sampah datang ke kolej atau rumah saya tertanya tanya apa perasaan mereka. Macam mana rasanya dipandang orang. Saya memang seorang yang sensitif terhadap hal hal macam ni. Saya terlampau peka terhadap perasaan orang lain termasuklah tukang pembersih di sekolah atau kolej hal ini membuatkan saya ingin tahu kisah dan perasaan mereka.”


Melihat masa depan, Eday menyasarkan untuk berkhidmat selama 5 hingga 7 tahun di Singapura ini untuk mendapatkan sebanyak mungkin pengalaman. Beliau mengakui negara ini mempunyai kemahiran dan teknologi yang tinggi dalam menguruskan sisa pepejal. Justeru, pengalaman kerjayanya ini ingin dikongsikan apabila beliau pulang ke Malaysia kelak. Antara syarikat sasarannya adalah seperti syarikat pengurusan sisa pepejal seperti Alam Flora, SWCorp dan sebagainya.


Eday mengakui masyarakat di Singapura sangat berdisiplin. Mereka tidak suka membuang sampah merata-rata. Kalau mereka disabitkan kesalahan sebab buang sampah, mereka boleh dikompaun atau diheret ke mahkamah. Mereka juga sering melakukan aktiviti kitar semula supaya kapasiti sampah dapat dikurangkan, sekaligus mengurangkan pelepasan sisa pepejal di setiap loji pengurusan sampah ini.


Lamaran Kerja Baharu

Susulan ceritanya yang viral dalam media kedua-dua negara itu, Eday tidak menafikan telah mendapat lamaran dari beberapa syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan yang lebih baik dan lumayan. Namun beliau tetap istiqamah dalam menerima sebarang pelawaan kerana baginya, minat dalam pekerjaan sekarang masih menebal dalam jiwanya.

“Memang ada tawaran kerja baru. Petang ini pun saya akan ada pertemuan dengan seorang wakil dari syarikat yang berminat nak tawarkan saya kerja. InsyaAllah doakan saya untuk mendapatkan peluang yang terbaik,”ujarnya yang pernah menjadi guru sambilan dan menjadi pembawa maskot untuk syarikat Maybank sebelum ini.


Muliakan Pekerja Bawahan

Doa dan sokongandaripada ibu bapa sangat penting dalam meneruskan kelangsungan hidup beliau. Selain itu, peluang mengenali dan bermesra dengan kalangan pekerja bawahan sepanjang di UKM dulu banyak memberi pengajaran dan pengalaman untuk capai ke tahap sekarang.

“Setiap kali berjumpa mereka, saya akan tegur dan bertanya khabar. Apabila mereka gembira, itu doa yang baik untuk saya. Doa-doa dari mak, ayah dan staf bawahan ini jugalah yang membuatkan dimana saya berada sekarang. Harapan saya supaya satu hari nanti saya ingin meraikan mereka-mereka ini dengan mengadakan majlis penghargaan,” ujarnya mengakhiri perbualan.




48 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page