Nadi Bangi
Khairul Aming Buat Comeback dengan 30 Hari 30 Resepi
Updated: Apr 23, 2021
Oleh: Farhan Nasir
Penyunting: Ercy Gracella

Sumber: Khairulaming
BANGI, 16 April – Selebriti masakan media sosial terkenal, Khairulaming kembali lagi dengan perkongsian pelbagai video resepi juadah untuk berbuka puasa dan bersahur menerusi projek 30 Hari 30 Resepi Musim Ke-4 bagi Ramadan kali ini.
Khairulaming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman merupakan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan. Mula menghasilkan video resepi pada tahun 2016, beliau pada asalnya bukanlah seorang yang mempunyai latar belakang dalam bidang masakan tetapi disebabkan minat terhadap bidang masakan sejak kecil dan tabiat suka menonton program-program masakan menyebabkan timbul minat untuk mencuba memasak resepi-resepi yang mudah dan sedap.
Proses penghasilan kesemua videomasakannnya yang merangkumi rakaman, suntingan dan memasak dilakukan oleh dirinya sendiri dan beliau turut mendapat bantuan daripada empat orang rakannya.
Kesemua video tutorial masakannnya kelihatan bagaikan hasil kerja seorang yang profesional dan berkualiti seperti rancangan masakan popular di kaca televisyen. Resepi yang dikongsi oleh Khairul pula dikatakan setaraf dengan resepi chef-chef terkenal yang lain selain ianya mudah, sedap dan menyelerakan.
Projek ’30 Hari 30 Resepi’ pada tahun ini merupakan musim yang keempat setelah ianya mula diperkenalkan Khairul pada tahun 2018.
Pada tahun ini, perkongsian video tutorial resepi minuman Cha Bang Ang, Mangga Susu, Kelapa Gula Melaka dan Sirap Bandung Float pada hari pertama puasa telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dalam kalangan warga netizen.
Pemuda yang terkenal dengan tagline ‘Hey Whats Up Guys’ itu turut berkongsi di laman sosial beliau. “Actually aku still speechless tengok engagement video hari ni. Ni paling tinggi sepanjang 4 tahun. Dalam masa 8 jam video tadi dah dapat 2 juta views di Tiktok, 1.8 juta views di Instagram, 1 juta views di Facebook dan 500 ribu views kat Twitter. IG story also approaching 800k views. Tq guyss”, ujar beliau menerusi ciapan di laman Twitter persendirian beliau.
Tinjauan wartawan Nadi Bangi mendapati akaun Instagram milik Khairul kini mempunyai seramai 2.9 juta followers manakala laman Twitter beliau pula mempunyai seramai 656 ribu followers.
Bagi peminat makanan dan yang suka memasak, rata-rata menunggu projek yang dijalankan Khairul ini dan menyokong sepenuhnya projek tersebut.
“Fuhh betapa satu Malaysia tunggu khairulaming post video 30 hari 30 resepinyaa, baru 28 minit post dah nak dkat 1.7k commentsss fuhh keep it up @khairulaming !! kami mnyokongmu.” – Instagram @nr.btyzz
Ramai juga selebriti-selebriti tanah air yang turut menyokong usaha yang dilakukan oleh pemuda yang berumur 28 tahun ini dengan meninggalkan komen-komen yang positif di media sosial beliau. Antaranya ialah pelakon dan penyanyi senior Adibah Noor dalam ciapan balasnya terhadap video Khairul. “Ramai cuba copy, but yours will always be the one people look forward to. The touch, the uniqueness, the honesty. Tu yang buat best tu. Congratulations.” ujar Adibah Noor. Selain itu, ramai lagi selebriti yang menyokong beliau seperti Hatta Dolmat, Azfar Heri, Harris Annuar, Rhys William dan Wanns Ahmad.
Selain membuat video resepi masakan di media sosial, Khairul juga kini telah mengeluarkan produk makanannya sendiri iaitu Sambal Nyet Berapi yang dihasilkan sendiri oleh beliau dengan menggunakan resepinya yang tersendiri. Produk tersebut sold out hanya dalam masa beberapa jam sahaja pada hari pertama ianya dikeluarkan di platform jualan online Shopee.