Nadi Bangi
Disko Senyap Perkenal Konsep Headphone Tanpa Wayar Di HGK
Oleh: Hazwani Syairah
Penyunting: Ain Natasha

Kredit: Instagram @afdlizan
KUALA LUMPUR, 12 April- Industri muzik alternatif telah dimeriahkan oleh sambutan Hari Gig Kebangsaan (HGK) dengan penganjuran 25 persembahan gig secara serentak di seluruh negara malah lebih menarik apabila salah sebuah penganjur iaitu Alam Bunyian telah memperkenalkan konsep penggunaan headphone tanpa wayar bagi pengunjung yang hadir dalam gig Disko Senyap pada 10 dan 11 April yang lalu.
Menurut penganjur kepada Alam Bunyian iaitu Dr Ahmad Mujahid Husni Salim atau mesra disapa sebagai Moja, konsep yang diperkenalkan pada gig kali ini adalah sangat menarik dan diterima baik oleh ramai pihak dalam usaha menyesuaikan diri dengan keadaan norma baharu. Tambahan lagi, Alam Bunyian sememangnya telah menjalankan persiapan bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti menyediakan imbasan QR kod MySejahtera, mewajibkan pemakaian topeng muka, sanitasi tangan, menandakan kotak khas untuk setiap pengunjung yang hadir dan sebagainya.
Melalui siaran langsung di Facebook Utusan Online, penganjur TAPAUasia, Ahmad Faris menyatakan bahawa idea untuk menganjurkan HGK tercetus kurang dari 3 minggu selepas kerajaan membenarkan acara langsung, industri kreatif dan muzik dengan jumlah kawalan penonton di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Pergerakan Pemulihan (PKPP). Menurut beliau, perkara ini merupakan satu kebanggaan kerana ia telah mencatat sejarah sebagai negara pertama yang mengisytiharkan Hari Gig Kebangsaan di mana melalui sambutan ini juga ia mampu memberikan ruang kepada komuniti indie untuk terus meraikan kebersamaan.
“Kesemua 60 orang pembeli tiket Disko Senyap akan diberikan headphone tanpa wayar dan menikmati 4 persembahan secara langsung menerusi headphone tersebut sambil diiringi visual yang mengkhayalkan jiwa,” mengulas perkara itu ketika ditemubual, beliau sendiri tidak menyangka sambutan yang diterima adalah sangat memuaskan.
Menurut salah seorang krew di Alam Bunyian, Zulaikha Nurputri berkata keadaan ketika persembahan berlangsung adalah sangat terkawal dari setiap sudut apabila penganjur mengambil inisiatif untuk meletakkan kedudukan pentas bagi band yang membuat persembahan di tengah di mana ia membolehkan pengunjung mengelilingi mereka untuk mendapatkan keghairahan muzik yang diingini. Menurut beliau, penggunaan headphone tanpa wayar bagi pengunjung bukan sahaja mampu memberikan kesan audio yang terbaik malah ia juga mampu memberikan kepuasan maksima kepada mereka yang hadir.
Tambahan lagi pemilihan lagu yang dipilih oleh penganjur juga sangat bersesuaian dengan konsep baharu yang diperkenalkan di mana ia bertujuan untuk mengangkat pemuzik dari arena hip hop dan independent. Hasilnya pada HGK yang lepas, Alam Bunyian telah mempersembahkan band dari Gard Wuzgut yang berkonsepkan hip hop serta R&B, Late Night Frequency yang berkonsepkan synth pop dan juga Mafidz yang berkonsepkan folk-pop supaya pendengar dari scene yang berbeza dapat didedahkan kepada genre muzik yang berlainan.
Mengulas mengenai harapan kepada industri muzik indie, penganjur kepada Alam Bunyian ini berharap supaya sifat apresiasi masyarakat Malaysia terhadap muzik alternatif akan meningkat di samping kita dapat melihat pemuzik indie yang berkualiti mempunyai peluang untuk berkongsi pentas setanding dengan pemuzik arus perdana yang lain. Di samping itu, pemuzik-pemuzik indie yang berkualiti seharusnya diberi peluang dan bantuan kewangan tanpa memerlukan mereka mengorbankan hak semasa berkarya agar membolehkan mereka terus fokus kepada penghasilan karya yang bermutu tinggi.