Nadi Bangi
Drama ‘Layangan Putus’ Didakwa Punca Keruntuhan Rumah Tangga
Penulis: Alyaa Zainal
Penyunting: Hazlina Nasa Sutrisno

Sumber: WeTV
Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Itulah gambaran yang diberikan kepada drama bersiri terbaru Indonesia ‘Layangan Putus’ yang didakwa menjadi punca keruntuhan rumah tangga kerana jalan cerita yang mengisahkan sikap lelaki berlaku curang terhadap isteri.
Menurut Portal Ohbulan.com, seorang lelaki yang menggunakan nama gelaran @Dedemawan17 memuatnaik sebuah video luahan perasan berdurasi 42 saat mengatakan gara-gara lakonan hebat Reza Rahadian sebagai Aris yang licik berlaku curang terhadap isterinya dalam drama tersebut telah membuatkan para isteri di Indonesia mula merasa curiga terhadap suami masing-masing. Video tersebut telah mendapat 287,000 tanda suka dan meraih hampir 5 juta penonton.
Pemilik video berkenaan turut memberi cadangan agar pihak produksi menghentikan tayangan drama tersebut secepat mungkin agar tidak berlaku sebarang keruntuhan rumah tangga. Persoalannya, benarkah drama ini memberi impak sebegitu sekali terhadap penonton?
Drama ‘Layangan Putus’ yang kini sudah memasuki episod ke 7 daripada 10 episod keseluruhannya telah ditayangkan di aplikasi berbayar WeTV pada setiap hari Jumaat dan Sabtu. Drama tersebut boleh ditonton secara percuma di aplikasi berbayar tersebut hingga episod ke 3 namun jika ingin menonton episod seterusnya, penonton harus melanggan aplikasi tersebut secara bulanan. Akan tetapi, ramai penonton yang melanggan aplikasi WeTV memuat naik sedutan drama tersebut di TikTok untuk meraih jumlah tontonan dan pengikut tersendiri.
Kepercayaan yang Dikhianati
Drama arahan pengarah tersohor, Benni Setiawan ini membawa mesej sangat mendalam di hati penonton terutamanya pada yang benar-benar menghayati jalan cerita drama ini mengisahkan tentang seorang wanita merasakan rumah tangganya sempurna dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya pada sang suami dimana akhirnya dikhianati dengan terbongkarnya sedikit demi sedikit rahsia kecurangan si suami yang dicintai.
Babak-babak yang ada didalam drama ini sememangnya begitu realistik dan dirasakan begitu dekat dengan penonton mungkin kerana ianya telah diadaptasi dari sebuah kisah realiti yang pernah menjadi tular sekitar tahun 2019 yang lalu.
Tambahan pula dengan lakonan mantap Putri Marino sebagai Kinan yang menjadi mangsa kecurangan suaminya memberi kesan yang mendalam dihati penonton dimana majoritinya kasihan dengan nasib yang dilalui Kinan. Tidak lupa juga komen berbaur kebencian terhadap watak Aris yang mencurangi isterinya di saat sedang sarat hamil anak kedua.
Sebagai salah seorang penontan drama ini, penulis merasakan babak paling menyakitkan hati adalah apabila Aris masih tidak mahu mengakui kecurangannya meskipun perkara tersebut telah dibongkar sendiri oleh Kinan dan seterusnya menjadi punca kematian anak kedua mereka. Malahan, Aris masih lagi meneruskan kecurangan dengan wanita simpanannya, Lydia tanpa rasa bersalah.
Walaupun drama ini masih berbaki beberapa episod, namun jalan cerita drama ini jelas memberi gambaran bahawa meskipun seseorang lelaki telah mempunyai isteri yang boleh dianggap sempurna kerana memiliki rupa paras yang cantik, berkerjaya, mampu memberikan zuriat namun semua kriteria ini masih belum cukup untuk menjamin kesetiaan lelaki tersebut.
Isteri Mulai Sangsi pada Kaum Suami

Sumber: Portal Ohbulan.com
Terdapat beberapa pandangan netizen ruang komen video @Dedemawan17 yang menyokong pendapat beliau yang meminta pihak produksi menghentikan tayangan drama tersebut segera dengan mengatakan isteri mulai sangsi terhadap setiap perbuatan mereka selepas menonton drama tersebut.
Salah satu komen yang mendapat perhatian penulis adalah milik @denadventure yang memberitahu isterinya tidak lagi mempercayai beliau yang keluar untuk ke masjid dengan menuduh beliau keluar untuk berjumpa dengan wanita lain.
“bener, gue lagi ngaji di mushola dicurigai main sama cewe lain”- @denadventure
Selain itu, terdapat juga komen-komen lain yang mengatakan isteri mereka sering memeriksa telefon bimbit untuk memastikan tiada wanita simpanan disebalik rumah tangga mereka.
Drama Sebagai Hiburan dan Pengajaran
Tidak salah untuk para isteri meletakkan sedikit kecurigaan terhadap suami masing-masing kerana ia menanamkan sikap berwaspada dan lebih berhati-hati sang isteri terhadap si suami bagi mengelakkan sesuatu yang buruk berlaku dalam rumah tangga mereka.
Drama ‘Layangan Putus’ ini selain memberi hiburan kepada penonton, ia sedikit sebanyak memberi pengajaran kepada si suami terhadap kesan berlaku curang kepada pasangan yang boleh memberi keburukan pada masa depan rumah tangga terutamanya mereka yang telah mempunyai zuriat. Drama ini memberikan banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar kepada penonton sama ada yang telah berumah tangga mahu pun yang mempunyai perancangan untuk membina rumah tangga.
Akan tetapi, janganlah terlalu mengambil serius isu kecurangan yang berlaku dalam drama ini sehingga menjadi punca keretakan rumah tangga akibat kecurigaan yang melampau. Kelak akan memakan diri dan membawa kerugian. Perlulah diingatkan bahawa, drama ini hanyalah sekadar lakonan semata-mata untuk memberi hiburan kepada seisi keluarga.
Sebagai masyarakat yang rasional, kita harus bijak dalam membuat pilihan terhadap apa sahaja yang dilakukan termasuklah apa yang ditonton. Seperti pepatah buang yang keruh ambil yang jernih, kita harus bijak memilih apa yang baik untuk diteladani dan apa yang buruk untuk dijadikan iktibar.