Oleh: Nurul Farhana binti Abdullah
Penyunting: Amni Amirah Izzati Binti Mohd Afandi
BANGI, 13 Oktober – Pertandingan Futsal Kelab Persatuan Melayu (KPM) yang diadakan pada hari Ahad lalu di Gelanggang Futsal Kolej Pendeta Zaaba menyaksikan sebanyak 13 pasukan bagi kategori lelaki dan wanita bersaing merebut gelaran juara.
Kelab Pengajian Melayu yang terdiri daripada mahasiswa kursus Persuratan Melayu dan Pengajian Bahasa Melayu telah mengambil inisiatif menganjurkan Pertandingan Futsal Kelab Persatuan Melayu (KPM). Objektif pertandingan futsal ini diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan ukhuwah antara pelajar dan pensyarah serta kakitangan di jabatan tersebut.
Pertandingan yang diadakan secara kalah mati ini menyaksikan Duck Ft yang terdiri daripada mahasiswa kursus Persuratan Melayu Tahun 3 muncul sebagai juara bagi kategori lelaki dengan meraih mata kemenangan 2-1 selepas mengalahkan Posmen FC.
Bagi kategori wanita pula, Minah Ft berjaya menumpaskan KKM FC dengan meraih gol kemenangan 2-1 sekaligus melayakkan mereka bergelar juara pada pertandingan KPM kali ini.
Menurut wakil Duck Ft, saudara Muhammad Alif Abdul Rasipt berkata,“Kami melakukan persediaan selama dua minggu sebelum berlangsungnya pertandingan ini. Alhamdulillah usaha kami berbaloi apabila dinobatkan sebagai juara.” Malah mereka juga turut bermain futsal sebanyak dua hari sekali bagi persiapan diri untuk pertandingan ini.
Bagi wakil Minah Ft pula, saudari Norhafinazifa Ariffin berkata “Kejayaan ini diperoleh dengan adanya semangat kerjasama ahli kumpulan yang saling menyokong dan membantu antara satu sama lain. Walaupun pada peringkat awal perlawanan kami kalah kepada kumpulan KKM FC.” Berbekalkan keazaman dan semangat yang kuat untuk menang, ini telah melayakkan mereka bergelar juara bagi kategori wanita pada perlawanan akhir.
Sementara itu, pertandingan KPM kali ini sememangnya mendapat sambutan yang baik terutamanya dari segi penglibatan mahasiswa itu sendiri.
“Saya berbangga dan bersyukur program kali ini mendapat sambutan yang baik walaupun mempunyai sedikit kekangan. Saya juga berharap dengan adanya program sebegini mahasiswa dapat menyemai semangat kesukanan serta mengeratkan silaturahim sesama kita” kata Ketua Program Pertandingan Futsal KPM, Muhammad Amin Bahrum.
Turut hadir, Ybhg. Che Abdullah bin Che Ya Penolong Dekan (Siswa & Alumni) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia merangkap sebagai penasihat KPM.
Comments