Nurul Izzah Aisa
Duit Lebihan PTPTN Jadi Modal Perniagaan
Updated: Dec 24, 2022
Penulis: Nurul Izzah Aisa
Penyunting: Wong Yee Tian

Sumber Foto: Hazriq Haris
BANGI, 19 Dis - Berbekalkan duit lebihan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), seorang pelajar jurusan Keusahawanan dan Inovasi dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Hazriq Danial Abdul Haris, 22 telah berjaya menjadi usahawan bakeri dalam usia yang masih muda.
Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu, beliau hanya menghasilkan barangan sulaman seperti beg bersulam, bekas pensel bersulam dan bantal bersulam dengan menggunakan duit lebihan PTPTN sebagai modal permulaan. Namun sewaktu PKP tamat, beliau telah mula menceburi bidang usahawan bakeri dengan menjual pencuci mulut seperti kek batik dan roti bawang putih.
“Ketika PKP yang lalu, saya mempunyai lebihan wang dan saya gunakan wang itu sebagai modal perniagaan saya untuk menghasilkan dan menjual barangan yang berasaskan sulaman seperti beg bersulam, bekas pensel bersulam dan juga bantal bersulam.
“Selepas PKP tamat, saya telah menyambung pengajian dan saya cuba untuk menceburkan diri dalam bidang usahawan ke arah makanan dengan menjual kek batik, roti bawang putih dan sebagainya,” katanya.
Beliau juga merupakan seorang pembina konten di media sosial seperti TikTok dan Instagram dengan berkongsikan tentang kehidupannya namun apabila videonya mendapat sambutan, ia secara tidak langsung telah mempromosikan makanan-makanan yang dijualnya.
“Saya suka menghasilkan video di akaun media sosial tentang kehidupan saya termasuk juga video membuat kek batik dan roti bawang putih dan itu hanyalah sekadar suka-suka.
“Apabila video yang saya hasilkan ini keluar For Your Page (FYP) di TikTok, ia secara tidak langsung telah mempromosikan makanan yang saya jual dan di situ wujudnya permintaan oleh pelanggan dalam media sosial saya kerana ramai yang menonton video tersebut sehingga permintaan kek batik mencanak naik,” tambahnya lagi.
Beliau telah mempromosikan perniagaan beliau menerusi tiga media sosialnya iaitu Facebook, TikTok dan Instagram melalui penjenamaan diri bagi menarik lebih ramai pelanggan.
Cabaran yang dikongsikan oleh beliau sepanjang menjalankan perniagaan ini adalah kekangan masa memandangkan beliau perlu membahagikan masa dari segi akademik dan perniagaan sehingga kadangkala terpaksa mengurangkan strategi promosi di media sosial bagi mengelakkan permintaan menjadi semakin tinggi.
Permintaan yang tinggi daripada pelanggan telah mendorong beliau untuk meneruskan perniagaannya di kampus dengan berkolaborasi bersama kakaknya, pengasas kepada Ariana Cakes dan jenama beliau sendiri ‘Hazriq Haris’ supaya perniagaannya tidak akan terhenti setakat itu sahaja.
Kini, beliau telah mengembangkan lagi perniagaan ini bersama kafe-kafe di sekitar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) seperti Dunia Dessert dan Bumi Cafe dan pendapatan beliau setiap bulan dianggarkan sebanyak RM2000.
Beliau juga berharap agar makanan yang dijual dapat diterima baik oleh pelanggan dan beliau mampu mengembangkan dan meluaskan lagi perniagaan ini walaupun perlu menghadapi pelbagai cabaran sebagai seorang pelajar.