top of page
  • Writer's pictureWong Yee Tian

Dulu Dibenci, Kini Menjadi Inspirasi

Penulis: Wong Yee Tian

Penyunting: Nurul Izzah Aisa

Sumber Gambar: Unsplash Creative Common


BANGI, 23 Nov - Seorang bekas penagih dadah kini telah menjadi inspirasi kepada masyarakat setelah berjaya keluar dan pulih dari dunia penagihan dadah.

Bekas penagih dadah selaku Pembimbing Rakan Sebaya, Mohd Fauzi Mohd Ali, 45 telah berkongsikan kejayaan beliau dalam perjuangan pemulihan dadah bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan berharap perkongsian tersebut dapat dijadikan pedoman kepada generasi muda khususnya.

Semasa berkongsi tentang proses pemulihan tersebut, beliau mendedahkan bahawa pemulihan dadah adalah seumur hidup dan ia bukanlah mudah dari segi mental dan fizikal.


“Pada awalnya, memang ada rasa untuk berputus asa apabila melalui fasa pemulihan tetapi dengan sokongan daripada pegawai-pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), tercetuslah hasrat untuk meneruskan perjuangan ini.


“Selain daripada jiwa yang kuat, proses pemulihan ini juga memerlukan action disebabkan keputusan terletak pada tangan kita dan ia dapat dikatakan sebagai satu ujian kepada kekuatan mental dan fizikal.


“Bukan itu sahaja, kita perlulah menerima rawatan pemulihan dadah dan melengkapi diri dengan ilmu sebelum melangkah keluar dari dunia dadah kerana ia akan membantu kita untuk bersosial dengan masyarakat,” katanya.


Walaupun setelah 10 tahun bebas daripada dadah tetapi persepsi masyarakat sekeliling masih tidak berubah terhadap seorang penagih dadah yang kini berjaya memberi sumbangan kepada komuniti.


“Ia agak sukar untuk mengubah persepsi masyarakat tetapi apa yang perlu dilakukan adalah menerima persepsi masyarakat dengan hati terbuka.


“Namun begitu, sekiranya kita berjaya bebas daripada dadah ia telah membuktikan kita telah mencapai kejayaan,” katanya.


Beliau kini bekerjasama secara aktif dengan pihak kerajaan dan NGO untuk melancarkan kempen-kempen atau seminar pembanterasan dadah dan berhasrat untuk membantu penagih dadah keluar dari dunia dadah selain memberi kesedaran kepada generasi muda.


Ketua Pengarah Program GEG, Muhammad Amirul Aziq, 22, berkata bahawa idea program GEG adalah untuk menyahut seruan bekas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Tuan Khairy Jamaluddin mengenai kesihatan fizikal dan mental pelajar universiti awam dan swasta.


“Program GEG bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pelajar UKM tentang penagihan dadah sekaligus memberi pendedahan tentang kejayaan proses pemulihan daripada bekas penagih dadah iaitu, Encik Fauzi,” katanya.


Menurut Ketua Pengarah Program GEG, dianggarkan sebanyak 200 hingga 300 orang pelajar UKM telah menyertai program GEG setakat ini dan ia telah memberi impak yang positif selain meningkatkan kesedaran pelajar mengenai pembanterasan dadah.


Program GEG dilancarkan atas kerjasama Hal Ehwal Pelajar UKM, Unit Kaunseling UKM, AADK dan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat.


40 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page