• Nadi Bangi

Dulu Penerima Zakat, Kini Usahawan Berjaya

Oleh: Nazrin Zulkafli

Penyunting: Jessika Berliana

BANGI, 25 Okt - “Saya masih ingat lagi detik-detik saya merayu untuk mendapatkan bantuan zakat kerana saya tiada wang untuk makan. Saya pernah bergantung pada RM5 sahaja untuk survive selama seminggu,” demikian kata pelajar tahun dua Media dan Komunikasi UKM, Mohamad Fazlan Kamaruzaman, 23.


Meskipun masih terikat dengan komitmen sebagai pelajar, Fazlan membuktikan bahawa ia bukanlah penghalang untuknya bergelar seorang usahawan apabila berjaya meraih pendapatan sehingga RM 27 000 sebulan.


Fazlan yang merupakan usahawan kosmetik jenama Boom Lipmatte mengakui berasa sangat bersyukur dengan pencapaiannya sekarang yang disifatkannya sebagai peralihan besar daripada kehidupannya sebelum ini.


“Saya bukan berasal dari keluarga yang senang. Dulu saya bukan sahaja tidak mampu untuk membayar yuran pengajian, bahkan saya terpaksa berhutang dengan pensyarah.”


“Pada waktu itu hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan saya macam. Masa itu juga saya bertekad dalam hati untuk berusaha meningkatkan taraf hidup dan menyediakan kehidupan yang lebih selesa untuk ibu dan bapa saya,” kata Fazlan.


Beliau yang kini sudah memiliki rumah dan kereta sendiri di usia 23 tahun walau bagaimanapun mengaku bahawa perjalanan beliau dalam perniagaan tidaklah semudah yang dibayangkan.


“Saya sebelum ini pernah menjual jubah, foundation dan skrub muka namun ketiga-tiganya gagal. Saya bukan saja dibandingkan dengan usahawan-usahawan kosmetik yang lain, tetapi juga dicerca hanya kerana saya seorang usahawan lelaki yang menjual produk untuk wanita.”


“Namun, saya bernasib baik kerana saya mempunyai keluarga dan kawan-kawan yang sentiasa menyokong saya. Tanpa mereka saya mungkin tidak mampu pergi sejauh ini,” tambahnya lagi.


Semasa ditemubual wartawan Nadi Bangi, Fazlan turut meninggalkan pesan kepada para pelajar yang mengalami kesusahan untuk tidak segan berjumpa dengan pensyarah sekiranya menghadapi masalah.


“Jangan malu untuk buat kerja-kerja part time. Manfaatkan ruang dan peluang yang ada untuk cari rezeki,” kata Fazlan sebagai pesanan kepada para pelajar.

221 views0 comments

Related Posts

See All