Penulis: Hazlina Nasa Sutrisno
Penyunting: Alyaa Nabihah Zainal Abu
DURIAN TUNGGAL, 1 November - Hujan lebat yang turun tanpa henti selama lebih kurang 2 jam menyebabkan paras air di Durian Tunggal naik dengan mendadak menyebabkan kawasan tersebut dilanda banjir kali kedua dalam tempoh 2 minggu berturut-turut.
Kenaikan paras air di sungai Durian Tunggal turut menyebabkan air sungai melimpah keluar dengan deras sehingga membanjiri kawasan jalan raya dan perumahan penduduk. Sehingga jam 6.40 petang, paras air sungai tertinggi dicatatkan pada ketinggian 1.8 meter dan banjir berlumpur mula mencecah ke paras lutut menjelang jam 6.50 petang.
Mohd Amer, 38 merupakan antara penduduk yang menyuarakan kekecewaan selepas melihat rumahnya digenangi air.
“Durian Tunggal banjir lagi. Baru lepas banjir 2 minggu lepas, perabot banyak rosak, barang-barang musnah.Tapi,kita diuji semula.Harap semua penduduk terkesan tabah dengan ujian ini dan semoga Allah permudahkan urusan mereka yang terjejas”,katanya.
Banjir yang melanda bukan sahaja menjejaskan perumahan penduduk, premis perniagaan bahkan sesetengah jalan dan beberapa sekolah terpaksa ditutup demi menjaga keselamatan warga.Turut dilaporkan bahawa sebuah balai polis di kawasan Durian Tunggal turut ditenggelami air.
Seorang lagi penduduk Masliza, 42 berkata “ Air naik sekelip mata melimpah ke dalam kawasan rumah, hanya barang yang penting sahaja sempat dialihkan ke tempat tinggi.Tak boleh buat apa, kalau hujan lebat tak berhenti memang sekejap saja akan banjir.Balai polis Durian Tunggal pun banjir juga.”
Beliau turut menyuarakan kesedihan atas penutupan sekolah yang baru sahaja dibuka sehari namun terpaksa ditutup akibat banjir.
“Sekolah pun baru buka sehari, kesian sangat dah kena tutup semula”, ujar beliau.
Penduduk yang ditemui rata-rata sedih akan situasi yang berlaku namun mereka redha atas musibah yang melanda. Mereka juga berharap agar kerajaan negeri mengambil inisiatif bagi mengelakkan Durian Tunggal dan beberapa kawasan lain di Melaka daripada dilanda banjir semula.
Muhammad Ali, 32 seorang peniaga berkata, “sebelum penduduk tanggung kerugian yang lebih besar, saya minta agar kerajaan buat sesuatu untuk elak hal ini berlaku lagi. Contoh besarkan lagi laluan sungai Durian Tunggal ni atau membina satu pusat takungan air yang besar supaya paras air sungai tidak akan naik dan melimpah keluar sehingga banjir”.
“Banjir lepas ada penduduk yang rugi besar sebab motor rosak, kereta pun rosak teruk sebab banjir. Kali ini, banjir lagi. Harap pihak berkuasa ambil lah tindakan, kesian pada penduduk,” tambah beliau.
Sebelumnya, penduduk juga telah diberi amaran melalui Jawatankuasa Perumahan dan Ketua Kampung mengenai kemungkinan banjir yang akan melanda dan diminta berjaga-jaga dengan situasi semasa terutama bagi penduduk yang tinggal di kawasan rendah. Pembukaan Pusat Penempatan Sementara (PPS) turut dibuka semula untuk menempatkan mangsa banjir yang terkesan selain sebagai langkah persediaan sekiranya banjir yang lebih teruk melanda dalam masa terdekat.
Comments