top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Easywheel menaja 50 buah basikal elektrik dalam Program Jelajah UKM

Penulis: Ong Wei Chin

Penyunting: Teoh Chia Qi



BANGI, 29 MEI - Syarikat pengendali basikal elektrik berjenama Easywheel, Proven Mobility (Malaysia) Sdn. Bhd menaja 50 buah basikal elektrik dalam Program Jelajah UKM di Kolej Ungku Omar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 28 Mei 2023 (Ahad).


UKM Kayuh Santai merupakan salah satu aktiviti daripada Program Jelajah UKM yang dianjurkan oleh Kelab Xtreme-C untuk menyambut Ulang Tahun Kelab Xtreme-C yang ke-20. Antara aktivit-aktiviti lain yang telah dijalankan adalah Zumba, pertandingan Futsal dan perkongsian daripada alumni.


Program ini telah dirasmikan oleh Encik Aleey Badrulhisam, Pengurus Pembangunan Perniagaan daripada Proven Mobility (Malaysia) Sdn Bhd selaku wakil penaja.


Objektif Program Jelajah UKM adalah untuk menerapkan gaya hidup sihat dan kecergasan dalam kalangan pelajar terutamanya melalui penglibatan dalam aktiviti sukan. Selain itu, penglibatan pelajar yang semakin meningkat dalam aspek kepimpinan dalam berorganisasi juga mampu melahirkan pelajar yang kompeten secara tidak langsung. Seterusnya, kebersamaan dalam organisasi dapat diwujudkan antara barisan kepimpinan dan ahli baru kelab. Tambahan pula, hubungan antara alumni Kelab Xtreme-C dan ahli kelab juga dapat dirapatkan melalui aktiviti perkongsian dan juga membara semangat dan mengukuhkan kelab tersebut.


Dalam aktiviti Kayuh Santai Basikal ini, pihak Proven Mobility (Malaysia) Sdn Bhd telah menaja 50 buah basikal elektrik. Menurut Ketua Program Jelajah UKM, Amir Taufiq Bin Zul Afendi, Easywheels menjadi pilihan untuk penajaan kerana Easywheels telah bertapak di UKM dalam jangka masa yang panjang. Oleh itu, pelajar-pelajar sudah menguasai cara operasi basikal elektrik Easywheels dan ini telah memudahkan kolaborasi ini.


Menurut Pengurus Besar Proven Mobility (Malaysia) Sdn Bhd, Amin bin Bakar menyatakan bahawa tujuan pihaknya menaja program ini adalah untuk menerapkan budaya berbasikal dalam kalangan warga UKM di samping menyihatkan badan pelajar. Tambahan pula, berbasikal juga dapat mengurangkan kadar emisi karbon ke udara sekaligus mengurangkan pencemaran udara.


“Selain daripada tujuan menerapkan budaya hidup sihat dan budaya penjagaan alam sekitar, Proven Mobility juga sedikit sebanyak ingin mempromosikan basikal Easywheels yang mudah diguna pakai dan mesra alam kepada para pelajar,” katanya apabila ditemu ramah oleh Nadi Bangi.


Menurut salah seorang peserta Program Jelajah UKM, Arif Danial Zaidin, pelajar UKM (Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, 3), menyatakan bahawa aktiviti ini adalah menarik disebabkan dirinya suka aktivti lasak dan aktiviti ini dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan pelajar UKM.


“Saya pernah menggunakan basikal Easywheels. Ia memudahkan pergerakan dan sangat mudah digunakan setelah aplikasinya ditambahbaik. Basikal ini boleh dikatakan teknologi yang baharu dan selari dengan era kini. Harganya boleh dikatakan berpatutan kerana basikal yang adalah direka sendiri dengan berteknologi maju. Namun begitu, untuk pelajar lain yang mungkin kurang pendapatan untuk menggunakannya secara kerap adalah agak mustahil,” katanya.

Program ini telah berjaya menarik perhatian 50 orang penggemar basikal dan setiap peserta telah dihadiahkan dengan seketul pingat.


Tambahan pula, Proven Mobility (Malaysia) Sdn Bhd juga menyatakan bahawa pihaknya juga telah mendapat kelulusan untuk membekalkan basikal Easywheels di dalam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) Gombak selain daripada UKM. Basikal Easywheels akan dilancarkan di UIA Gombak bermula 9 Jun 2023 sekiranya semua proses berjalan lancar.


Pada masa yang sama, Proven Mobility (Malaysia) Sdn Bhd juga berada dalam proses perbincangan dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dan juga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk membekalkan basikal Easywheels bermula semester hadapan dengan memulakan program “Proof of Concept” pada peringkat awal dengan pembekalan basikal elektrik Easywheels selama 6 bulan.









101 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page