top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Ebit Lew Buka 10 cawangan Pasar Raya Elews Mart

Oleh: Fatihah Roslan

Penyunting: Farahin Fadzil


Sumber: Laman web FMT News


BANGI , 26 Jun - Penceramah terkenal Ebit Lew bercadang untuk membuka 10 cawangan pasar raya yang dinamakan ElewsMart pada pertengahan bulan Julai ini dengan tujuan untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan bagi memiliki barangan runcit serta menyediakan peluang pekerjaan bagi golongan tersebut.


Ebit Lew di dalam media sosial Instagram miliknya mengatakan bahawa beliau sangat bahagia dapat membantu orang susah dan sentiasa berfikir tentang cara bagi bantu mereka walau sedikit tetapi berterusan. Beliau berkeinginan untuk membantu semua masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.


“Saya nak buat food bank di setiap Elews Mart dan teringin nak bantu jual barangan dengan harga paling murah. Begitu juga menyediakan peluang pekerjaan,” katanya.


Tambahan lagi, beliau memahami nasib orang yang tidak berkemampuan kerana beliau juga pernah hidup di dalam keadaan yang susah sehingga alas tidur dan juga yuran pengajian beliau dibayar serta ditanggung orang lain.


“Dari kecil saya bercita-cita nak jadi asbab kebaikan buat semua manusia. Nak Allah sayang. Saya fikir nak bantu lebih ramai orang. Saya juga ada ambil tanggungjawab untuk membayar sewa dan yuran anak sekolah ramai orang. Saya bahagia buat kerja ini.


Elews Mart juga menawarkan peluang pekerjaan buat 100 orang untuk jawatan Pengurus Cawangan, Penolong Pengurus, Pegawai Pemasaran, Penyelia dan Kakitangan Runcit,” tambah beliau .


Pembukaan pasar raya ElewsMart ini juga mendapat sambutan yang hangat daripada rakyat Malaysia. Nadi Bangi memetik sumber dari laman sesawang Twitter milik @NasirPasir yang memuatnaik satu tweet berbunyi , “Semoga dimurahkan rezeki Ustaz Ebit Lew agar pasar raya ustaz dibuka lebih banyak lagi cawangan di seluruh Malaysia in future, lebih banyak lagi peluang pekerjaan .”


Manakala, pengguna laman sesawang Twitter @ierfan_danish juga berkata, “If Ustaz Ebit Lew buat pasar raya area Kajang sakali pun, aku dari Shah Alam inshaAlah sanggup pergi beli barang dapur dari pasar raya dia.”


@puteraakram_ pula di laman sesawang Twitternya memuji Ebit Lew atas strategi perniagaan beliau, “Kalau tengok lokasi kedai ElewsMart ni, semua lokasi tu mempunyai ketumpatan penduduk melayu yang tinggi sebab dia kenal dia punya customer.”


Cawangan ElewsMart yang dijangka buka pada Julai hadapan adalah di kawasan Bandar Baru Bangi, Kajang, Cyberjaya, Sungai Buloh, Balakong Cheras, Shah Alam, Damansara, Prima Gombak, Gombak Traders dan Subang Perdana.

4,617 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page