top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Ekonomi Gig Pilihan Rakyat

Oleh : Ain Arifah Zainal

Penyunting : Sarah Marini


Sumber : Google

Era digital dan kemodenan memperlihatkan kemunculan pelbagai platform ekonomi baharu untuk masyarakat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Platform digital ini bukan sahaja menjadi punca penjanaan ekonomi, malah, ia juga membuka peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat Malaysia yang memerlukan pekerjaan terutama sekali kepada golongan yang terjejas dan kehilangan pekerjaan selepas pandemik melanda negara. Platform digital ini membawa kepada kemunculan trend ekonomi gig di Malaysia.


Ramai tidak tahu bahawa pekerjaan bebas dan fleksibel seperti penghantar makanan Foodpanda, Grabfood, pemandu Grab, peniaga atas talian dan sebagainya adalah dikategorikan sebagai salah satu pekerjaan yang termasuk dalam sektor ekonomi gig. Menurut MoneyCompass.com, ekonomi gig adalah satu trend sistem pasaran bebas yang dijalankan tanpa majikan dengan menjual perkhidmatan mereka kepada orang lain. Trend ini dijalankan tidak mengira waktu, masa dan tempat dan semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada era kini.


Selepas diperkenalkan di Malaysia, masyarakat mula mengambil tempat dalam trend ekonomi hari ini. Golongan muda, suri rumah dan juga golongan yang sudah bekerja turut sama menjalankan ekonomi gig ini bagi menambah pendapatan isi rumah mereka. Hal ini kerana, fleksibiliti dalam menjalankan pekerjaan ini memberi peluang kepada semua golongan untuk mencari rezeki. Namun begitu, individu yang menceburkan diri dalam trend ekonomi hari ini harus bijak membahagikan masa kerana pekerjaan ini tidak mempunyai masa yang tetap meskipun fleksibel.


Sumber : Google

Perkembangan sektor ekonomi ini menjadi salah satu faktor pengurangan kadar penggangguran di Malaysia. Hal ini demikian kerana, dalam era modenisasi ini masyarakat lebih cenderung untuk melakukan pekerjaan yang memberikan kepuasan dan fleksibel dengan kehidupan seharian mereka. Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, pertumbuhan peningkatan pasaran pekerjaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menunjukkan peningkatan pekerjaan dalam aktiviti e-dagang, perkhidmatan penghantaran dan aktiviti berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi.


Melihat daripada sudut ekonomi, meskipun ekonomi dunia terjejas disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang melanda, namun platform digital terus membuka peluang kepada masyarakat untuk mencari sumber pendapatan. Sewaktu PKP, rakyat mengambil peluang untuk mencuba nasib dengan membuka perniagaan atas talian bagi mengisi kekosongan sewaktu di rumah dan perkara ini mendorong kepada peningkatan pembelian atas talian dan seterusnya meningkatkan penggunaan perkhidmatan penghantaran makanan atau barangan dan membuka lebih banyak lagi peluang pekerjaan dari segi perkhidmatan penghantaran.


Berdasarkan Survei Tenaga Buruh (STB) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran bulan Jun 2020 berkurangan kepada 4.9 peratus berbanding 5.3 peratus pada bulan sebelumnya. Hal ini jelas menunjukkan penurunan yang positif selepas ekonomi negara terjejas sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan dijalankan di seluruh Malaysia. Perkara ini berlaku kerana trend ekonomi gig ini terus berjalan meskipun negara kita dilanda pandemik.


Rakyat yang terjejas dengan krisis ekonomi menjadikan trend ekonomi gig sebagai pekerjaan sambilan bagi terus mendapatkan sumber pendapatan kerana pada era norma baharu ini, tawaran pekerjaan yang melibatkan ekonomi gig memberikan pulangan yang setimpal dengan usaha yang diberikan. Oleh itu, masyarakat mula memfokuskan perkhidmatan bagi memberi kepuasan kepada diri dan pelanggan.


Kesimpulannya, kemunculan ekonomi gig di Malaysia secara langsung dapat membantu banyak pihak terutama sekali kepada golongan yang terjejas dalam menghadapi norma baharu. Ekonomi gig yang menjadi pasaran terbuka ini jelas menunjukkan bahawa rakyat Malaysia bukanlah golongan masyarakat pemalas, namun, rakyat sentiasa menunggu peluang pekerjaan terbuka kepada mereka tanpa mengira taraf pendidikan dan justifikasi jelas untuk mendapatkan sesuatu pekerjaan.

133 views0 comments

Comments

Rated 0 out of 5 stars.
No ratings yet

Add a rating
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page