top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

‘Ending’ Hambar Punca Awake 2021 Terima Kritikan Panas

Oleh: Izzati Azali

Penyunting: Aina Safuan


Sumber Foto: Rotten Tomatoes


Awake 2021 dilabel sebagai sebuah filem sampah dan bosan. Itu adalah kebanyakan respon atau komen yang dikeluarkan oleh penonton secara rawak. Filem ini adalah merupakan sebuah filem thriller fiksyen Amerika berdurasi selama 1 jam 36 minit yang ditayangkan oleh Netflix bermula 9 Jun 2021 yang lalu. Filem ini juga melibatkan sebuah karya yang disutradarai oleh Mark Raso dan lakon layar yang ditulisnya bersama Joseph Raso. Filem ini dibintangi oleh pelakon yang hebat seperti Gina Rodriguez, Jennifer Jason Leigh, Barry Pepper, Finn Jones, Shamier Anderson, Ariana Greenblatt, Frances Fisher, Elias Edraki, Lucius Hoyos dan Gil Bellows.


Menurut penilaian yang dipaparkan oleh Rotten Tomatoes, filem yang bertemakan apokalips ini rata-ratanya telah mendapat penilaian yang rendah atas faktor tertentu iaitu sebanyak 30% oleh pihak Rotten Tomatoes dan 27% oleh penonton bermula tarikh tayangan di Netflix beberapa minggu lepas. Selain penilaian yang dilakukan oleh website seperti Rotten Tomatoes ini, terdapat juga website lain seperti IMDB yang turut merekodkan penilaian yang rendah berkaitan dengan filem ini. Hasil penilaian yang rendah diberikan pada filem ini boleh dilihat dari beberapa sudut iaitu melibatkan perkembangan jalan cerita dan lakonan yang dibawa oleh setiap watak dalam filem ini.


‘Ending’ Hambar

Filem ini mendapat kritikan dari sudut pengakhiran cerita yang tidak memberangsangkan atau tidak mencapai jangkaan penonton. Kebanyakan review yang dikeluarkan oleh rata-rata penonton mengatakan bahawa pengakhiran jalan cerita bagi filem ini tidak mencapai sesuatu yang ingin dilihat penonton seperti plot twist yang mungkin perlu disulam dalam jalan cerita pada akhir filem. Malangnya, pengakhiran yang disajikan kepada penonton dalam filem ini amat membosankan dan menjadikan kebanyakan penonton berasa kurang puas hati. Perkara ini dapat dibuktikan melalui penggantungan jalan cerita pada akhir filem dimana Jill yang cuba diselamatkan dengan cara diselam oleh kedua-dua anaknya ke dalam air sungai berdekatan markas yang mereka terperangkap. Kemudian, muncul suara Jill yang tersedar dan hanya berakhir disitu. Situasi ‘ending’ sebegitu dikatakan tergantung serta langsung tidak menarik.


Jalan cerita perlahan

Selain daripada ‘ending’ sampah, perkembangan atau susunan jalan cerita bagi filem ini dikatakan sangat perlahan atau mendatar walaupun mempunyai sebuah idea penceritaan yang sangat segar dan baharu. Komen jalan cerita yang sangat perlahan itu adalah dikatakan dari segi kurang elemen seperti kejutan dan ‘mode’ yang sangat mendatar bagi penonton apabila filem itu ditayangkan. Situasi ini dapat dibuktikan melalui babak dimana watak utama Jill yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu bersama anak-anaknya yang hanya cuba untuk selamatkan diri dengan mudah tanpa halangan yang besar ditempuhi dalam penceritaan itu dimana ketiga-tiga watak utama itu hanya melalui halangan yang biasa dan tidak berjaya membuahkan perasaan penonton menjadi gerun, takut, atau berdebar ketika menonton.


Perkembangan idea yang cliche

Filem yang bertemakan histeria ini juga dikatakan mempunyai perjalanan cerita yang cliché. Jalan cerita filem itu dikatakan mampu dijangka oleh mereka yang menonton. Perkara ini dapat dibuktikan dimana babak hubungan ibu dan anak yang mempunyai persalahfahaman antara satu sama lain iaitu hubungan Noah, anak lelaki dan ibunya, Jill yang tidak begitu baik dan kurang mesra. Begitu juga dengan hubungan antara Jill bersama ibunya yang sudah berumur itu. Dari situ dilihat bahawa filem mempunyai perkembangan jalan cerita yang sangat typical dengan kebanyakan filem keluaran Amerika yang lain. Perkembangan jalan cerita pada hubungan watak ke watak yang lain adalah sesuatu yang tiada perbezaan yang ketara dengan kebanyakan filem yang lain terutamanya filem-filem yang mempunyai tema yang hampir sama seperti Bird Box dan The Silence.


‘Jump too Fast’

Seterusnya, menurut salah seorang pemberi komen tegar filem-filem di Youtube, Zhafvlog, dimana filem yang bertemakan apokalips ini juga dikatakan mempunyai jalan cerita yang jump too fast. Perkara ini dikatakan dapat dilihat melalui babak dimana Jill yang pada mulanya yang berada di Gereja untuk menyelamatkan anaknya, Matilda. Kemudian, babak terus beralih ke babak mereka iaitu Jill bersama kedua-dua anaknya berada di dalam hutan seolah-oleh merentasi sebuah kawasan hutan yang luas dan tiba-tiba berada pada satu lokasi yang lain dengan secepat yang mungkin. Perkara ini dilihat sebagai satu transisi babak yang amat cepat dan dianggap gagal dari segi perkembangan jalan cerita yang logik dan boleh diterima penonton.


Peranan watak sampingan

Selain itu juga, faktor penilaian rendah yang dilemparkan pada filem ini oleh ramai pihak juga melibatkan faktor lakonan oleh sesetengah watak. Perkara ini boleh dilihat dimana watak sampingan yang dilakonkan oleh seorang lelaki yang berpakaian penjara yang cuba turut menyelamatkan ketiga-tiga watak utama itu hanyalah dilihat sebagai penglibatan watak yang tidak begitu sesuai. Hal ini kerana, perkembangan watak tersebut hanya pada tempoh masa yang sangat pendek dan menjadikan penonton berfikir peranan sebenar yang cuba dimainkan oleh watak tersebut sama ada watak yang baik atau antagonis. Dari situ, kebanyakan penonton juga telah menilai bahawa perkembangan watak yang kurang kemas itu dilihat sangat menganggu dan menjejaskan kualiti keseluruhan cerita.


Secara keseluruhannya, filem Awake 2021 ini mendapat pelbagai kritikan dari berbagai-bagai sudut iaitu termasuk jalan cerita yang tidak begitu menarik perhatian rata-rata penonton terutamanya pada awal 30 minit tayangan filem ini yang dikatakan sangat perlahan dan membosankan. Begitu juga dengan pengakhiran filem yang dikatakan tergantung dan tidak mencapai jangkaan dan tanggapan yang sama oleh penonton ketika menonton trailer filem ini. Walaubagaimanapun, turut terdapat sesetengah pihak yang menerima filem ini sebagai sebuah karya yang mempunyai idea penceritaan yang segar dan tidak basi serta mempunyai mesej tertentu yang berjaya disampaikan kepada penonton. Penilaian terhadap sesebuah filem jelas tidak memerlukan pandangan orang lain untuk mendapat penerimaan oleh penonton. Hal ini kerana, setiap individu mempunyai citarasa yang berbeza dan penerimaan yang berbeza.

60 views0 comments

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page