top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

UKM FC Muncul Naib Juara Piala Cabaran 2019

Oleh: Siti Nurhazira Binti Abu Bakar

Penyunting: Nur Nadzra Natasha Binti Zulkifli


Kredit Foto: Ahmad Fadali

KUALA LUMPUR, 20 Okt - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) sekali lagi muncul naib juara Piala Cabaran apabila ditewaskan oleh pasukan lawan, JDT II dengan 6-5 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.


Berdasarkan rekod, ini merupakan pentas akhir kedua buat UKM FC di mana dalam perlawanan akhir musim lepas, The Varsity Boys dihimpit kekecewaan apabila ditewaskan oleh pasukan Terengganu FC (TFC) II dengan kekalahan 4-2 secara agregat.


JDT II membawa bekalan satu gol dari perlawanan akhir pertama tempoh hari dilihat menguasai permainan dalam separuh masa pertama namun kedua-dua pasukan gagal menjaringkan sebarang gol pada separuh masa pertama.


Dalam separuh masa kedua, penggempur utama The Varsity Boys, Matteo Roskam berjaya menjaringkan gol pertama hasil hantaran Milad Zanidpour pada minit ke-82 sekali gus mengikat kedudukan 1-1 secara agregat sebelum ditewaskan dalam penentuan sepakan penalti.


Sementara itu, Penolong Jurulatih UKM FC, Juzaili Samion, 38, berkata, dia menerima dengan hati terbuka meskipun gagal menjulang Piala Cabaran 2019. Menurutnya, “UKM FC hampir merebut gelaran juara namun menang kalah merupakan adat permainan. Tambahan pula, kita cuma tewas pada penentuan sepakan penalti sahaja. Ia bergantung kepada nasib dan rezeki dalam menentukan pasukan menang.


Tambahnya lagi, “Para pemain UKM FC masing-masing menunjukkan prestasi yang baik sepanjang perlawanan berlangsung. Mereka telah memberikan 120% dan ia amat mengagumkan saya. Saya berharap dengan bakat dan kehebatan para pemain, UKM FC akan terus kekal berada dalam kancah bola sepak Malaysia.


Manakala kapten pasukan UKM FC, Asnan Ahmad, 26, berkata, “Punca kekalahan kami adalah kerana kurang latihan sepakan penalti. Ini kerana cuaca pada hari sebelum perlawanan menghalang kami untuk menjalankan latihan dengan baik. Kami juga lambat untuk mengenal pasti permainan JDT II,”


Penjaga gol UKM FC Khatul Anuar Md Jalil telah dianugerahkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan. Khatul turut muncul sebagai penjaga gol paling banyak tidak dibolosi sepanjang kejohanan.


Turut hadir, Naib Canselor UKM, YBhg. Profesor. Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Dato’ Ir. Dr. Othman A. Karim dan bekas Naib Canselor, YBhg. Profesor Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali.

61 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page