top of page
  • Writer's pictureSyakir Sazali

Festival Bon Odori Syirik? Apa Pendapat Pelajar UKM

Penulis: Muhammad Syakir Ahmad Sazali

Penyunting: Muhamad Nazeem Mohd Nazri


Sumber: freemalaysiatoday


KUALA LUMPUR, 8 Jun - Selepas dua tahun tertunda akibat pendemik covid-19, festival Bon Odori akan dianjurkan kembali di Shah Alam pada 16 Julai dan Pulau Pinang pada 30 Julai 2022.


Festival Bon Odori diadakan di beberapa negeri di Malaysia dengan tujuan untuk mempromosi dan mengukuhkan ikatan kebudayaan antara Malaysia dan Jepun.


Kebiasaanya festival ini diraikan dengan tarian dan nyanyian diiringi paluan gendang yang rancak, gong dan seruling dan melibatkan penyertaan hampir 30,000 orang yang terdiri dari bukan sahaja warga Jepun tetapi juga rakyat negara ini.


Namun, dalam satu kenyataan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan agar umat islam untuk tidak menyertai Festival Bon Odori tersebut kerana ada unsur keagamaan dan boleh membawa kepada syirik.


Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd berkata, tarian yang berbentuk pujaan atau dengan tujuan memperingati roh nenek moyang adalah bercanggah dengan ajaran islam dan dibimbangi ia jatuh dalam dosa mempersekutukan Allah.


“Oleh kerana festival ini ada kaitan dengan memperingati semangat atau roh nenek moyang, maka dibimbangi ia boleh membawa kepada syirik.


“Saya ingin menasihatkan umat Islam agar sentiasa memelihara kemurnian akidah Islamiah masing-masing dengan mengelak daripada terlibat dalam festival seperti ini,” katanya.


Nadi Bangi berjaya menemu bual salah seorang pelajar UKM yang merupakan antara peserta yang turut hadir memeriahkan Festival Bon Odori tersebut.


Menurut Muhammad Asyraf, 22, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, sepanjang festival ini berlangsung ia hanya mempunyai persembahan tarian dan alat muzik dan tiada unsur pemujaan berlaku.


“Festival Bon Odori ni dah jadi festival tahunan bagi saya sebelum Covid-19 lagi dan apa yang saya lihat ia hanya festival yang menunjukkan kekayaan budaya jepun dalam seni tarian, muzik dan tiada unsur yang menunjukkan syirik.” katanya.


Dalam satu temu bual lain, Muhammad Badrul, 23, Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia menyatakan pendapatnya mengenai Festival Bon Odori.


“walaupun saya tak pernah pergi festival ini, tapi saya dah baca banyak info mengenai ini dan mendapat info dari sumber yang berautoriti, festival ini hanya memperagakan budaya orang Jepun sahaja.


“Dan pada pendapat saya, ia tidak menjadi satu kesalahan untuk turut menyertai festival ini kerana tiada masalah mengenai syirik atau perkara-perkara yang membawa kepada keraguan akidah.” ujarnya.


Dalam satu kenyataan lain, Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer berkata Festival Bon Odori merupakan festival tahunan yang dijalankan di Malaysia lebih dari 30 tahun lalu dan tidak mempunyai apa-apa unsur ritual agama lain yang boleh menyesatkan umat islam.


Festival Bon Odori merupakan di antara festival yang paling penting bagi masyarakat Jepun dan disambut pada bulan Julai setiap tahun.


Pada bulan lalu berlangsungnya satu festival lain yang berkaitan budaya Jepun iaitu Anime Fest yang berlangsung selamaempat hari bermula 12 Mei sehingga 16 Mei di Paradigm Mall, Petaling Jaya yang mendapat sambutan hangat oleh peminat-peminat anime di Malaysia.



53 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page