top of page
  • Writer's pictureNurnabila Huda Subandry

Festival Tari UKM 2022 Tarik 40 Penyertaan

Updated: Jan 7, 2023

Penulis: Nurnabila Huda Subandry

Penyunting: Kiranraj Perupathy


Sumber Foto: Instagram @aadyamaatra


BANGI, 29 Okt - Sebanyak 40 penyertaan dari peringkat Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) serta kategori terbuka mempertandingkan seni tarian kebudayaan Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


Festival Tari Universiti Kebangsaan Malaysia (Festa ‘22) 2022 yang dianjurkan oleh Kelab Aadyamaatra Artisukma dengan anjuran bersama Pusat Kebudayaan UKM menawarkan hadiah berbentuk wang ringgit kepada tiga pemenang bagi setiap kategori.


Festival ini mendapat sambutan daripada ramai orang termasuk warga luar UKM kerana penyertaannya yang tidak terhad kepada pelajar UKM sahaja.


Menurut Pengarah Program Festa ‘22, Sofea Diana binti Shamsudin (Sarjana Muda Undang-undang, 3), program ini adalah merupakan platform yang baik dalam menarik minat anak muda dalam pelbagai jenis tarian tradisional sekaligus memberikan semangat kepada setiap peserta dalam memartabatkan seni kebudayaan tarian.


"Festa ‘22 kali ini menekankan konsep dalam memantapkan seni dan kebudayaan tarian kepada seluruh masyarakat terutamanya pelajar di dengan hasrat bahawa program ini dapat melahirkan Siswazah Beraspirasi Kebangsaan, Kompeten, Berdaya Saing dan Inovatif," kata beliau.


Warga UKM yang menghadiri acara tersebut berkongsi perasaan teruja dan meluahkan bahawa inisiatif Kelab Aadyamaatra Artisukma ini dapat mempromosikan seni kebudayaan Melayu kepada orang ramai.


“Saya berasa sangat gembira dapat menonton festival ini kerana ia mempertandingkan penari daripada pelbagai peringkat dari universiti, terbuka sehingga ke sekolah rendah, jadi banyak persaingan yang dipertunjukkan di samping dapat menaikkan semangat masyarakat agar mengekalkan seni Melayu,” kata Muhammad Amir Aiman bin Rosli (Sarjana Muda Komunikasi Media, 2).


“Festival ini merupakan inisiatif yang bagus kerana ia dapat menarik minat pelajar- pelajar berlainan bangsa yang ingin melihat dan mencuba tarian tradisional kaum Melayu,” kata Preti Kaur Gill A/P Jagjit Singh Gill (Sarjana Muda Komunikasi Media, 2) yang telah menghadiri Festival Tarian UKM.


“Festa ‘22 ini menjadi manifestasi lanjutan ke arah pembangunan industri kreatif yang mampu memperkasakan seni budaya negara,” kata Ahmad Farhan Hakim bin Halimi (Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris, 3).


Sekolah Kebangsaan Taman Medan dan Sekolah Seni Malaysia Johor yang merupakan johan bagi kategori sekolah rendah dan sekolah menengah telah memenangi hadiah wang berjumlah RM1000, manakala juara kategori IPTA atau IPTS iaitu Universiti Tenaga Nasional telah membawa pulang RM1500 dan hadiah lumayan berjumlah RM2000 disandang oleh juara kategori terbuka iaitu Limar Tari.


Festa ‘22 ini telah membuktikan bahawa seni kebudayaan melayu masih relevan dengan penyertaan peserta dari pelbagai peringkat.


110 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page