Drama Malaysia Tidak Akan Setanding K-drama

Oleh: Amirah Syazwani

Penyunting: Riennapreet Kaurz



Tidak dapat disangkal reputasi dan populariti yang diterima oleh drama dan filem hasil industri filem dan televisyen Korea Selatan atau K-drama dan K-film sehingga mampu mencuri perhatian masyarakat di seluruh dunia. Hal ini bersangkut paut dengan penyebaran budaya popular Korea Selatan yang juga dikenali sebagai Gelombang Korea atau Hallyu Wave yang sudah berlaku sejak tahun 1980 an. Dari sudut lain, populariti yang diterima oleh K-drama bukan hanya berpunca daripada gelombang budaya yang berlaku tetapi paling mustahak ialah kualiti penghasilan, penulisan skrip, pemilihan pelakon dan genre drama yang dihasilkan.


Jika ingin dibandingkan dengan taraf K-drama dan K-film, drama dan filem yang dihasilkan oleh industri filem dan televisyen Malaysia adalah bagaikan langit dan bumi daripada pelbagai aspek termasuk pemilihan barisan pelakon, kualiti penulisan skrip dan kos penghasilan. Aspek yang sering dibangkitkan oleh peminat drama dan konsumer ialah pemilihan barisan pelakon. Sekiranya melihat industri filem dan drama Korea Selatan, pemilihan barisan pelakon adalah sangat penting kerana mereka bukan sahaja melihat paras rupa tetapi kebolehan pelakon tersebut memegang watak dan menyampaikan peribadi watak tersebut sepanjang siri berlangsung malah semua pelakon perlu mempunyai kelayakan dan menjalani latihan-latihan tertentu.


Contoh terbaik yang dapat dilihat adalah pada drama Love Alarm Musim 2 yang baru sahaja ditayangkan pada bulan Mac tahun ini. Drama yang dibintangi oleh Kim So-hyun, Jung Ga-ram and Song Kang ini berkisahkan tentang teknologi yang membolehkan pengguna menemui cinta melalui satu aplikasi. Tambahan daripada itu, aplikasi tersebut memberitahu sama ada seseorang yang berada dalam jarak radius 10 meter mempunyai perasaan romantis terhadap mereka. Produksi yang menghasilkan drama ini iaitu Studio Dragon semasa musim pertama memilih pelakon-pelakon tersebut kerana kelayakan yang mereka ada. Antaranya adalah seperti pelakon lelaki, Song Kang yang mempunyai kelayakan daripada Jabatan Seni Filem di Konkuk University, Korea Selatan dan pelakon wanita Kim So-hyun yang telah melibatkan diri dalam bidang lakonan semenjak berumur 7 tahun lagi.


Berbeza dengan drama dan filem di Malaysia pada masa kini, pihak produksi lebih fokus kepada wajah dan populariti seseorang tanpa melihat kemampuan dan kelayakan individu tersebut untuk memegang watak. Produksi drama pada masa kini hanya mengambil influencers media sosial terkenal yang tidak mempunyai pengetahuan mengenai industri tersebut sebagai ganti pelakon-pelakon yang berpengalaman dan mempunyai pengetahuan dalam bidang lakonan. Hal ini demikian kerana mereka ingin mengurangkan kos penghasilan dan populariti pelakon selain mengendahkan taraf dan kualiti drama dan filem mereka.


Ekoran daripada itu seorang pelakon terkenal tanah air yang telah melibatkan diri dalam bidang lakonan selama 10 tahun dan memiliki ijazah diploma dalam Seni Persembahan di Kolej Universiti Sunway iaitu Izara Aishah telah menyuarakan pendapatnya di Twitter berkenaan dengan isu ini. Ulas beliau, “individu yang menjadi pilihan produksi kini tidak berminat sama sekali untuk mendalami bidang lakonan. Kami dahulu perlu menghadiri uji bakat dan mendalami seni persembahan untuk melayakkan diri ke dalam industri seni. Usaha yang telah kami berikan tidak sama seperti pada masa kini”.


Drama terbaharu TV3 slot Lestary yang bertajuk Kekasih Hati Mr. Bodyguard dibintangi oleh Redza Rosli, dan Sharifah Rose berkisahkan tentang seorang wanita yang menjejaki seorang pengawal peribadi untuk merungkai misi yang diberikan oleh ayahnya dan akhirnya mula jatuh cinta antara satu sama lain. Drama yang baru sahaja ditayangkan di layar televisyen ini memperoleh komen-komen negatif daripada warga net disebabkan oleh pemilihan pelakon yang tidak relevan selain jalan cerita yang klise seperti drama-drama melayu yang lain. Reaksi negatif yang diterima adalah kerana produksi drama ini iaitu Creative Skill Solution memilih untuk menjadikan seseorang yang tidak mempunyai sebarang pengalaman dan kelayakan sebagai watak utama dan hanya memilih individu tersebut atas sebab populariti yang diperoleh. Atas sebab itu, pihak produksi telah menunda tarikh tayangan bagi mengelakkan kontroversi tersebut yang mampu menjatuhkan penilaian atau rating cerita.


Walau bagaimanapun, terdapat juga beberapa drama tanah air yang memiliki jalan cerita yang menarik dan mampu menghidupkan penceritaan dengan sangat baik yang seharusnya dijadikan contoh oleh produksi lain. 7 Hari Mencintaiku yang diarah oleh Jamal Khan merupakan sebuah drama televisyen yang telah mencatatkan jumlah tontonan tertinggi bagi drama tempatan iaitu sebanyak 12 juta tontonan. Drama yang dibintangi oleh Shukri Yahaya dan Siti Saleha ini telah menyayat hati penonton disebabkan oleh jalan ceritanya yang tragik dan agak realistik. Seterusnya, drama Lelaki Kiriman Tuhan lakonan Remy Ishak dan Mira Filzah yang diterbitkan oleh Zeel Production telah diulang tayang beberapa kali atas permintaan penonton. Hal ini berkaitan dengan gabungan pelakon yang sangat menarik dan mempunyai chemistry yang hebat selain jalan cerita yang menarik.


Rakyat Malaysia semestinya akan memberikan sokongan yang padu terhadap industri tempatan sekiranya kualiti drama lokal bermutu tinggi dan patut dibanggakan. Sekiranya mereka menyokong drama yang berkualiti rendah tentu sahaja sangat memalukan kerana dengan teknologi media sosial pada masa kini, masyarakat luar dapat meneliti dan melihat mutu sebenar industri seni di negara Malaysia. Oleh itu, pihak produksi dan badan kerajaan perlu memberikan perhatian sepenuhnya terhadap kaedah-kaedah bagi meningkatkan darjah kecemerlangan hasil seni tempatan dan menyokong sepenuhnya prosen penghasilan tersebut.


141 views0 comments

Related Posts

See All