Oleh: Nur Sahira binti Omar
Penyunting: Mazidatul Husna binti Amir
PUTRAJAYA, 7 Oktober- Filem dari negara seberang arahan Gina S.Noer ini telah mendapat sambutan hangat di Indonesia dengan mencatat lebih 2.5 juta penonton dan kini telah mula ditayangkan di Malaysia bermula 3 Oktober lalu.
Filem ini mendapat kritikan hangat daripada penonton kerana filem ini berunsurkan ‘Sex Education’ yang melibatkan remaja bawah umur dan penonton mempertikaikan adakah filem ini untuk menggalakkan remaja untuk melakukan perkara tersebut.
Namun, filem ini mula menjadi bualan ramai serta mendapat komen-komen yang positif kerana mengangkat nilai positif yang dapat diteladani oleh penonton dan telah mengutip lebih satu juta penonton selepas enam hari ditayangkan di Indonesia.
Filem ini mengisahkan tentang dua orang pelajar sekolah yang berumur 17 tahun yang dilakonkan oleh Zara JKT48 sebagai Dara dan Angga Yunanda sebagai Bima yang menjalinkan hubungan cinta dan akhirnya mereka terlanjur.
Syazwan Zakariah dan Hazeman Huzir, kakitangan Thinker Studios, memberi ulasan mereka dalam rancangan Life At Thinker di Youtube berkenaan dengan filem ini.
“Dalam cerita ini semua orang bertanggungjawab dan bukan sahaja mereka berdua sahaja, sekolah dan ibu bapa juga,” kata Hazeman Huzir.
Menurut Hazeman Huzir juga, filem ini adalah bukan untuk memberi galakan kepada remaja diluar sana untuk melakukan perkara tersebut malah untuk memberi mereka pengajaran dan juga memberi mereka jalan penyelesaian jika masalah tersebut berlaku.
Menurut Syazwan Zakariah pula, “kita tidak boleh mengabaikan kerana benda itu sudah terjadi dan kita boleh marah, kesal dan boleh menghukum tetapi selepas itu apa yang boleh kita bantu mereka.”
Sementara itu, menurut penonton yang ditemubual selepas menonton filem ini Emieza Saleh, 21 tahun, “Saya berasa filem ini mempunyai konten yang menarik dan membuka minda remaja bagaimana untuk mengatasi masalah ini dengan jalan yang terbaik”.
“Produksi filem Malaysia harus memperbanyakkan filem-filem seperti ini, yang mana mengisahkan kehidupan yang realiti dan dekat dengan masyarakat sekali gus dapat memberi contoh teladan kepada remaja juga”, kata Nurul Syahirah Zuhaimi.
Filem ini ditayangkan di seluruh negara bermula Oktober ini dan mungkin akan mengundang lebih banyak kontroversi lagi tetapi banyak nilai moral yang boleh penonton teladani dan jadikan satu nilai pengajaran.
Commenti