top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Filem Komedi La Luna Menjentik Sensitiviti Melayu

Penulis: Intan Sabrina Hanapi

Penyunting: Aleeya Alisha Farish


Sumber Foto: Google


Filem La Luna yang dibarisi pelakon filem ternama tanah air seperti Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Nadiya Nisaa, Nam Ron, Farah Ahmad, Iedil Dzuhrie dan ramai lagi mula ditayangkan di pawagam pada 9 November 2023 di Malaysia, 16 November 2023 di Singapura dan 9 Disember 2023 di Indonesia. Filem percintaan komedi arahan M. Raihan Halim ini mengisahkan tentang seorang wanita bernama Hanie Abdullah yang membuka sebuah kedai celana dalam wanita iaitu La Luna di sebuah Kampong Bras Basah. Namun, perniagaan beliau telah ditentang hebat oleh ketua kampung di Kampong Bras Basah itu iaitu Tok Hassan yang dikenali sebagai seorang yang konservatif. La Luna ternyata lain daripada kebiasaan filem tempatan apabila berani menampilkan isu sensitif seperti feminisme, menyembah “Tuhan”, seks, kekerasan dalam rumah tangga dan banyak lagi sambil memasukkan elemen komedi yang menyegarkan.


Menyembah “Tuhan”


Sumber Foto: Google


Kampong Bras Basah dipenuhi dengan pamflet “Allah Maha Melihat” di sekeliling kampung. Seperti yang diketahui, berdasarkan ajaran agama Islam Allah mempunyai kuasa untuk memantau dan melihat setiap perbuatan hambanya. Walaubagaimanapun, di kampong Bras Basah pamflet “Allah Maha Melihat” ini dipaparkan di sekeliling kampung kerana Tok Hassan dianggap sebagai “Tuhan” yang sentiasa melihat dan memantau setiap perbuatan penduduk kampungnya. Sekiranya mereka tertangkap membuat kesalahan, mereka akan dihukum contohnya, memungut sampah di tepi jalan dengan memakai rompi oranye. Tok Hassan menggunakan kuasanya untuk membuat semua penduduk kampung tunduk kepadanya dan mengikut setiap arahannya. Bagi saya, Raihan Halim berjaya mengangkat isu berkaitan bahayanya apabila seseorang menggunakan ilmu agama sebagai alat untuk berkuasa dan kepentingan diri sendiri dengan penuh gelak tawa. Babak-babak ini juga menekankan bahawa Islam itu mudah dan boleh sahaja dilakukan dengan cara yang menyenangkan. Namun, dalam filem tersebut, Raihan Halim memaparkan sisi buruk sesetengah orang yang dianggap berilmu agama tinggi namun sebenarnya bertalam dua muka dengan berlindung di sebalik agama untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan.


Sumber Foto: Google


Feminisme Dan Kekerasan Rumah Tangga


Filem La Luna mengangkat isu penindasan terhadap kaum wanita ataupun Feminisme dengan cara yang sangat menghiburkan dan penuh jenaka. Kampong Bras Basah dikenali dengan kehidupan yang sangat konservatif dan pengaruh agama yang sangat ketat sehingga wujudnya jurang antara kaum lelaki dan wanita. Namun, sejak kedatangan Hanie Abdullah ke Kampong Bras Basah kehidupan wanita di kampung tersebut mula berubah. Hanie mengubah budaya kampung tersebut dengan menjual celana dalam wanita di kampung tersebut dengan meletakkan tanda “Laki-Laki Tidak Boleh Masuk” di hadapan kedainya. Tindakannya membuka kedai celana dalam wanita di kampung tersebut telah ditentang hebat oleh Tok Hassan. Tok Hassan cuba untuk memusnahkan perniagaan Hanie dengan pelbagai cara antaranya dengan membakar kedainya kerana beliau tidak suka akan budaya baharu yang wujud sejak kedatangan Hanie. Bagi saya, mungkin karakter Tok Hassan dilihat agak cliche namun isu yang dibawa menerusi karakter beliau adalah sangat berat. Hal ini kerana, wujudnya isu seperti partriarki dan toksisiti dalam kalangan masyarakat akibat menindas kaum wanita namun ianya tidak diketengahkan malah semakin dinormalisasikan.


Tambahan lagi, filem ini juga memberi tamparan yang hebat kepada para penonton dengan mengangkat isu kekerasan rumah tangga dengan sangat baik dan kemas. Dalam pada gelak tawa yang disajikan oleh filem ini, isu ini merupakan sub-plot yang sangat penting untuk memberi pesanan tentang betapa beratnya isu penindasan wanita dan kekerasan rumah tangga ini kepada masyarakat di luar. Seperti yang digambarkan dalam filem tersebut, terdapat babak di mana Hanie terpaksa memasuk campur dalam pertengkaran antara pasangan yang sedang bertengkar kerana isterinya telah dipukul dengan sangat teruk sehingga tidak bermaya oleh suaminya. Namun, Tok Hassan yang merupakan ketua kampong Bras Basah menyelesaikan masalah tersebut dengan menasihatkan suaminya untuk “mengontrol” isterinya supaya tidak berlaku histeria. Hal ini telah membuatkan semua penonton berasa merinding kerana Tok Hassan tidak mencuba untuk melindungi si isteri tersebut tetapi beliau memanjakan ego si suami itu lagi dengan menyuruhnya untuk menjadi lebih berkeras dengan isterinya.


Secara keseluruhan, Raihan Halim berjaya menyajikan filem yang unik dengan bertemakan percintaan komedi sambil menyelitkan isu-isu yang menjadi sensitiviti kaum melayu pada zaman kini. Tambahan lagi, saya sangat yakin bahawa filem ini mampu menjadi filem yang tidak lekang oleh waktu kerana elemen komedi yang penuh isi sambil menekankan tentang dinamik kehidupan itu dapat membuka minda dan mata masyarakat di luar untuk belajar dan faham tentang isu sosial yang sedang berlaku tanpa kita sedari. Ianya akan sentiasa menjadi sebuah filem yang penonton akan tonton kembali untuk menikmati sinematografi yang indah bersama satira yang sangat genius.

24 views1 comment

Related Posts

See All
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page