• Nadi Bangi

Filem Tom & Jerry Versi Realiti Bakal Menemui Penonton 2021

Oleh : Aqilah Azanil

Penyunting : Marllisa Anttonnysamy

Sumber : Warner Bros

NEW YORK, 9 Dis – Produksi filem animasi, Warner Bros. telah melancarkan tayangan dua minit pertama filem yang membawakan duo ikonik animasi terkenal New York iaitu Tom & Jerry yang dikatakan bakal berada di pawagam seluruh dunia pada tahun 2021.


Seekor kucing dan seekor tikus yang sangat dikenali dengan watak antagonisnya akan membintangi filem Tom & Jerry, sebuah filem live-action dan animasi hibrid yang bakal beraksi dalam adegan yang bermula di sebuah hotel mewah di New York.


Tom and Jerry menghidupkan kembali persaingan selama puluhan tahun setelah Tom diminta untuk membantu menyingkirkan Jerry dari tempat persembunyiannya sebelum tarikh perkahwinan yang bakal diadakan di hotel itu tiba. Keganasan kartun tersebut bermula apabila Tom membuat pelbagai rancangan untuk menyelinap dan menangkap Jerry, namun semuanya tidak berhasil kerana kelicikan tikus itu.


Dalam filem arahan Tim Story ini, dua watak saling bermusuh tersebut perlu belajar dan bijak berkolaborasi dengan watak Chloe Grace Moretz, kerana mereka menyedari terdapat seorang kakitangan hotel yang sangat tegar untuk menentang mereka. Dalam filem ini juga turut memaparkan adegan-adegan lucu dan mencuit hati duo ikonik ini bersama watak manusia.


Namun, bagi penggemar kartun yang mengikuti siri Tom & Jerry ini, umumnya mengetahui bahawa kucing iaitu Tom jarang menang dalam pertempuran mereka. Berdasarkan treler ini juga, penonton bakal menyaksikan adegan di mana Jerry berjaya menyeksa lawannya, Tom dengan pelbagai helah dan tipu daya yang licik.


Filem ini bakal menyatukan barisan pelakon seperti Michael Pena, Colin Jost dan Ken Jeong bekerjasama dengan watak Hanna-Barbera. Filem ini dijadualkan bakal menemui penonton pada Mac 2021 dengan melihat dan meneliti keadaan wabak Covid-19 pada ketika itu bagi memastikan orang ramai boleh ke pawagam untuk merasai sendiri keterujaan dalam filem Tom & Jerry yang sudah pun mencecah hampir tiga dekad berada dalam dunia animasi.


Orang ramai boleh menyaksikan terlebih dahulu treler filem Tom & Jerry di saluran Youtube rasmi Warner Bros. Pictures untuk melihat kemunculan baharu watak duo ikonik ini beraksi di dunia nyata.

74 views0 comments

Related Posts

See All