• Nurfaizatul Huda Ahmad

FINAS Gerak Usaha Ringankan Cukai Hiburan ke atas Penggiat Filem

Updated: Nov 20

Penulis: Nurfaizatul Huda Ahmad

Penyunting: Farzana Nafiz

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof. Md Nasir Ibrahim bersama lima selebriti lain dalam Forum ‘Antara Cantik dan Bakat, Dimanakah Magis Pengukuhan Kredibiliti?’ di UKM hari ini. Sumber Gambar: FINAS


BANGI, 14 Nov - FINAS sedia mengambil tanggungjawab serta membantu meringankan beban penggiat dan penerbit filem di negara ini berhubung isu cukai hiburan yang dikenakan sebanyak 25% kerana berpendapat jumlah tersebut agak tinggi berbanding di negara-negara lain. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof. Dr Md Nasir Ibrahim berkata, FINAS sedang berusaha supaya kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dapat mengurangkan kadar semasa cukai hiburan sebanyak 25% dengan mengutarakan beberapa cadangan penambahbaikan yang boleh menguntungkan kedua-dua belah pihak. “FINAS telah mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pihak kerajaan negeri sebelum ini dan maklum balas mereka adalah cukai-cukai tersebut merupakan hasil pendapatan negeri, justeru kami telah menawarkan beberapa cadangan untuk meringankan beban para penggiat filem kita, namun dalam masa yang sama turut memberikan hasil kepada PBT.” “Pihak FINAS menyarankan kepada kerajaan negeri agar memberikan 15% daripada hasil cukai hiburan yang diperoleh kepada penerbit filem yang melakukan penggambaran di negeri mereka kerana walaupun ia dilihat sebagai satu kerugian, namun keuntungan sampingan (spillover) yang mereka bakal perolehi daripada filem yang ditayangkan di pawagam nanti sangat banyak,” katanya. Inisiatif seperti ini akan membantu dalam menggerakkan ekonomi negeri berkenaan jika lebih ramai produser datang membuat penggambaran di negeri mereka. Selain itu, beliau juga memaklumkan bahawa cukai hiburan di Wilayah Persekutuan dikecualikan buat masa ini di bawah bidang kuasa MOF (Kementerian Kewangan) sehingga hujung tahun 2022 susulan penularan pandemik COVID-19 yang melanda negara kita dan berita ini sangat melegakan para penggiat filem yang terjejas teruk ketika pandemik. “Kini, kami di FINAS akan terus menggiatkan usaha ini sehinggalah pihak kerajaan negeri faham akan inisiatif yang sedang kami laksanakan untuk membantu penggiat filem di negara ini,” tambah beliau. Dalam pada itu, penerbit filem tersohor, Datuk Yusof Haslam turut menyuarakan sokongan terhadap usaha FINAS dalam membantu para penggiat filem menyelesaikan

isu yang berpanjangan ini. “Saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih terhadap usaha yang FINAS lakukan untuk para penggiat filem," “Usaha ini dilaksanakan bukan untuk filem-filem dari negara luar. Kita hanya mahu pihak kerajaan menyokong inisiatif ini untuk merancakkan industri filem tempatan,” ulas beliau. Beliau dan beberapa rakan selebriti lain seperti Seniwati Noorkumalasari, Sharifah Rose, Hariz Hamdan dan Fahrin Ahmad ditemui dalam sebuah forum anjuran Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dengan kerjasama Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) UKM bertajuk ‘Antara Cantik dan Bakat, Dimanakah Magis Pengukuhan Kredibiliti?’ di Dewan Perdana FSSK, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

33 views0 comments