Oleh: Siti Hadibah Aqila
Penyunting : Adita
BANGI, 6 Mei: Bantuan makanan percuma dari badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Food for Mahasiswa (FFM) diteruskan lagi pada setiap hari selama sebulan bagi membantu mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sempena menghadapi bulan Ramadan.
Bagi mengangkat keperluan sifat sukarelawan mahasiswa, program FFM merupakan inisiatif sepenuhnya oleh mahasiswa UKM bagi membantu para pelajar yang mempunyai masalah kewangan dengan memberikan bantuan secara fizikal iaitu dengan menyediakan makan malam secara percuma.
Diperkasakan pada tahun lepas, FFM mengagihkan bantuan yang disalurkan melalui sumbangan daripada kakitangan UKM seperti pensyarah, kakitangan sokongan dan profesional dan para alumni serta mahasiswa sendiri.
Menurut penolong pengarah program FFM, Ryanalysa Lai (Sarjanamuda Pentadbiran Perniagaan) berkata kelainanan FFM pada semester ini adalah program ini mula mendapat perhatian umum sehingga mendapat sumbangan penuh oleh Yayasan Taqwa untuk sepanjang bulan Ramadan ini beserta beberapa bantuan dan kolaborasi dengan pihak luar.
“Dimaklumkan bahawa pihak berkuasa pentadbiran UKM juga mula memberi sokongan dan melihat program kami ini sebagai platform yang terbaik dalam dalam membantu pelajar terutama dari keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
“Kebiasaannya, sebanyak 200-500 bungkusan diagihkan kepada mahasiswa pada setiap hari di kawasan tumpuan seperti di Pusanika UKM aras 6,” jelasnya.
Exco FFM, Hariz Tasnim (Sarjanamuda Ekonomi) berkata program yang komited dengan usaha kemasyarakatan ini banyak melahirkan barisan sukarelawan sosial yang mampu memberi manfaat kepada pelajar yang mempunyai masalah kewangan.
“Sedia maklum untuk masa kini FFM hanya peruntukkan untuk mahasiswa UKM, namun rancangan kami untuk jangka masa panjang adalah dengan memperkukuhkan komitmennya untuk mendekati masyarakat luar,” katanya yang merupakan salah seorang Majlis Perwakilan Pelajar.
Menurutnya lagi, FFM akan sentiasa cakna terhadap menangani masalah dan isu pelajar berlapar dan akan sentiasa mengambil inisiatif baru untuk membantu pelajar.
Pelajar Emieza Saleh (Sarjanamuda Komunikasi Media), berkata melihat kepada sokongan dan penerimaan dari mahasiswa, sangat jelas program ini banyak meringankan beban pelajar dengan menyediakan juadah untuk berbuka puasa.
“Walaupun dapat biasiswa mahupun pinjaman, belum tentu mencukupi untuk menampung kehidupan di dalam kampus, apatah lagi mereka yang tinggal di luar kampus, segalanya memerlukan perbelanjaan, jadi sedikit sebanyak FFM dapat bantu ringankan beban mereka” jelas Aida Salehah, siswi Sarjanamuda Sains Biologi Marin.
Selain daripada bantuan makanan percuma, FFM juga mempunyai beberapa projek seperti Laptop For The Needy dan Back To School, bertujuan untuk memberi khidmat kepada mahasiswa dan masyarakat.
Comments