Oleh: Auzaee Athallah
Penyunting: Fauzan Ismail
Sumber:mStar
KUALA LUMPUR, 27 Jun - Penyanyi, Fynn Jamal atau nama sebenar beliau Nur Affina Yanti Jamalludin telah mencetuskan kemarahan dan menerima kecaman netizen setelah memuat naik beberapa kenyataan yang sensitif dan menyinggung perasaan berkaitan isu rogol di akaun Instagram beliau pada 26 Jun, semalam.
Isu rogol sentiasa diperdebatkan oleh netizen-netizen dalam menjawab persoalan siapakah yang patut dipersalahkan, samada perogol atau mangsa rogol. Majoriti netizen menyokong bahawa perogol yang patut dipersalahkan sepenuhnya kerana bertindak di luar kawalan dan gagal menahan nafsu. Segelintir netizen berpendapat bahawa mangsa juga patut dipersalahkan kerana tidak berpakaian sopan atau patuh syariah.
Fynn Jamal pada awalnya, menjawab kotak soalan di Instagram yang menyuruhnya untuk mendidik dirinya serta pengikutnya dengan lebih baik terhadap isu rogol dan membalas bahawa mentaliti untuk tidak menyalahkan mangsa ialah pengaruh orang putih kemudian menambah wanita yang menggunakan ‘filter’ comel untuk mencantikkan gambar, mampu menjemput nafsu lelaki dan merumuskan bahawa, orang seperti ini, menyumbang risiko kepada wanita lain untuk dirogol.
“Kamu sunting gambar jadi comel dengan ‘posing’ manja, jangan tidak mengaku bahawa kamu ingin dipandang, jangan fikir perkara itu ‘innocent’, kamu menjemput nafsu lelaki dengan gambar kamu” ujarnya.
Fynn menambah bahawa orang seperti ini yang menyumbang risiko kepada orang lain untuk dirogol.
“Jika kamu meletakkan diri kamu di dalam situasi sebegitu dan menganggap orang mampu mengawal diri setelah kamu kata “tidak”, kamu salah,” ujarnya.
Kenyataannya ini menimbulkan kemarahan netizen Malaysia yang majoriti daripada mereka berpendapat bahawa mangsa rogol tidak patut dipersalahkan dan memperjuangkan bahawa cara wanita berpakaian bukan untuk mengundang diri mereka untuk dirogol. Tangkap layar “Instagram Story” milik Fynn dimuat naik ke laman twitter oleh salah seorang pengguna Twitter di aplikasi tersebut.
“Jadi, secara tidak langsung saya menyumbang kepada wanita dirogol? Mengarut,
“Hanya kerana saya menggunakan swafoto yang mempunyai ‘filter’, Fynn seolah-olah menyalahkan saya membuka peluang untuk orang merogol saya”, Ujar pengguna tersebut di dalam kapsyennya serta di dalam ruangan balasan kepada ciapan tersebut.
Netizen-netizen di laman Twitter menyifatkan bahawa kenyataan Fynn Jamal sebagai tidak masuk akal dan mengarut serta tidak sensitif kepada mangsa-mangsa rogol.
Nadi Bangi memetik komen oleh @RslnFzrn yang menyatakan bahawa Fynn yang tergamak mengaitkan Rasulullah sebagai contoh untuk menutup sifat tidak ingin ambil tahunya setelah mengeluarkan kenyataan yang mengarut, membuatkan dirinya sangat marah.
“Mengapakah orang masih menganggap Fynn Jamal masih relevan? Saya bukan nak menidakkan ajaran islam, tapi sebehagian yang dinyatakan olehnya sangat menyimpang dan dia masih cuba untuk percaya bahawa dirinya benar? Jumlah pengikutnya yang ramai sangat membimbangkan”, Ujar @bloomingsdale yang dipetik oleh Nadi Bangi.
Nadi Bangi turut memetik komen daripada @itsjvst_achik beliau tidak menyangka bahawa terdapat perempuan yang berfikiran seperti Fynn.
“Sedangkan yang berniqab bergambar seperti biasa pun orang ‘target’ masih lagi salah perempuan kah?” Tambahnya di dalam komen tersebut.
Comments