top of page
  • Writer's pictureSharifah Nurhanni Fasihah Wan Narudin

Gabungan Lima Fakulti Memeriahkan Siri Terakhir Open Mic Day 1.0

Updated: Jan 1, 2023

Penulis: Sharifah Nurhanni Fasihah Wan Narudin

Penyunting: Siti Kamariah Sujeno


Sumber Foto: Izzaty Syazwani


BANGI, 28 DisGabungan peserta dari lima fakulti di UKM memeriahkan Kompleks Akademik Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) sempena sesi terakhir Open Mic Day 1.0 anjuran Persatuan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (PEMATRA).


Open Mic Day 1.0 pada awalnya merupakan satu platform bagi mencungkil bakat-bakat pelajar FKAB dalam pengucapan awam dan persembahan kreatif di samping meningkatkan keyakinan serta mengasah kemahiran insaniah pelajar sebelum ianya dikembangkan menjadi platform bagi pelajar fakulti-fakulti lain menyerlahkan bakat mereka.


Menurut Ketua Program, Nurul Aiman Abdur Rahman, 22, pelajar tahun 2 Jabatan Kejuruteraan Awam, program sesi terakhir ini berjaya mengumpulkan 20 orang peserta yang merupakan jumlah penyertaan tertinggi setakat penganjurannya.


"Hari ini sebanyak 11 slot persembahan yang telah disertai oleh 20 orang peserta dari FKAB, FST, FTSM,FSSK dan FPI sebagai usaha menjalinkan hubungan yang lebih kukuh di antara persatuan pelajar di UKM disamping mempromosikan fakulti mereka di FKAB," katanya yang juga merangkap Exco Program dan Protokol PEMATRA.


Mohd Faris Zaharipin, 21, pelajar tahun 2 Kejuruteraan Elektronik FKAB turut tidak melepaskan peluang mewakili Exco Pematra dengan membuat persembahan pengucapan awam dan nyanyian.


"Penyertaan program pada hari ini memberi peluang kepada saya menonjolkan bakat serta tampil lebih kehadapan dan saya berharap pelajar lain yang ingin menunjukkan bakat turut menyertai program ini pada masa akan datang," katanya.


Nur Aisya Fatiha Mohd Azlan, 19, pelajar tahun 1 Bioinformatik FST turut membuat persembahan sajak serta nyanyian bersama rakannya kerana dorongan minatnya dalam nyanyian serta program ini boleh membantu mengurangkan rasa gemuruh apabila berhadapan dengan orang ramai.


Pelajar FPI juga tidak melepaskan peluang apabila turut membuat persembahan nasyid bagi mempromosikan fakulti mereka dalam usaha menggalakkan perkongsian dan pertukaran ilmu dalam bidang yang berbeza seiring dengan penganjuran program ini.


"Kami berasa bangga kerana kebiasaannya nasyid diketengahkan di FPI namun kali ini kami datang ke fakulti lain untuk membuat persembahan dan pelbagai mesej berjaya disampaikan melalui lirik lagu yang kami bawa," kata Muhammad Nazmi Mohamad Yusri, 23, pelajar tahun 2 Pengajian Arab dan Tamadun Islam.


Berbeza pula dengan Muhaimin Afiq Helmi Azaruddin, 20, pelajar tahun 1 Teknologi Maklumat FTSM yang ingin mencuba perkara baru apabila membuat persembahan muzik instrumental buat pertama kalinya.


Dr Iskandar Yahya, Penolong Dekan Hal Ehwal Pelajar FKAB, turut berpuas hati dengan kualiti penganjuran program ini kerana penglibatan dari fakulti-fakulti luar yang cukup meriah serta mengharapkan program ini disambung lagi pada semester akan datang dengan memberi fokus kepada kesenian dan kebudayaan.


Seramai 5 peserta telah menyertai Open Mic Day 1.0 sesi satu pada 23 November 2022 dan seramai 7 peserta pada sesi kedua yang telah berlangsung pada 14 Disember 2022.


Open Mic Day 2.0 dijangka akan disambung lagi pada semester akan datang untuk memastikan objektif penganjuran pada sesi kali ini diteruskan.


89 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page