Oleh: Farah A’lia Manan
Penyunting: Raihan Rahim
Baru-baru ini terdapat satu kes mengenai seorang kanak-kanak berusia 9 tahun yang mempunyai masalah tingkah laku dan telah mencederakan dirinya apabila sedang menjalani subjek Pendidikan Jasmani kerana tidak dapat memasukkan bola ke dalam jaring ketika bermain bola sepak seperti yang dia inginkan.
Hal ini berpunca daripada kekerapan ibunya yang sering memberikan gajet ketika dia berumur 6 tahun untuk bermain game dan kemudian ibunya berhenti memberikan gajet setelah melihat tingkah lakunya yang semakin teruk.
Telefon pintar tidak ubah seperti satu tarikan magnet yang dasyat. Sebelum tidur juga pasti akan mencapai gajet terlebih dahulu dan apabila waktu makan, sambil makan sambil main telefon.Betul tak? Gajet seperti telefon pintar mempunyai daya tarikan yang sangat kuat sehingga mampu mempengaruhi minda seseorang terutamanya kanak-kanak. Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Pediatric Academic Societies, mereka menyatakan bahawa alasan ibu bapa dalam memberikan gajet kepada anak-anak mereka adalah supaya aktiviti ibu bapa tidak terganggu. Selain itu, 65 peratus ibu bapa mengaku memberikan gajet supaya anak mereka lebih mudah dikawal, manakala 29 peratus ibu bapa menggunakan kemudahan itu untuk memudahkan anak mereka tidur.
Menurut kes tersebut, dapat disimpulkan bahawa pemilihan permainan di dalam gajet boleh mengundang bahaya kerana terdapat sesetengah permainan yang mampu mengelirukan pengguna terutamanya kanak-kanak sama ada mereka berada di dunia realiti ataupun fantasi. Sikap ibu bapa yang memberikan gajet kepada anak mereka terutamanya yang masih kecil walaupun tidak diminta akan lama kelamaan mewujudkan meragam ataupun ‘Temper tantrum’. Temper tantrum merupakan kemarahan yang berlaku secara tiba-tiba,apabila anak-anak tidak dapat apa yang mereka inginkan dan mereka mula menghasilkan emosi secara drastik untuk marah,menjerit dan menangis.
Ketua Kluster Kesihatan Kanak-kanak, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Zabidi Azhar Mohd Hussin, berkata jika didedahkan terlalu awal dan dalam tempoh yang lama terhadap gajet, ia akan menjejaskan perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan, bersesuaian dengan usia dan beliau berkata sikap kanak-kanak apabila berjumpa sesuatu yang menarik dan menyeronokkan seperti gajet, mereka akan alpa dan tidak akan berhenti menggunakan kemudahan itu. Terdapat satu kes yang membabitkan seorang bayi berusia 15 bulan dimana sentiasa buat perangai dan menangis setiap kali berada di rumah atau bangun dari tidur atau ketika makan kerana mahukan gajet. Kanak-kanak tersebut terlalu asyik dengan gajet untuk menonton video dan bermain permainan video. Ibu bapa boleh membendung masalah ini dengan mengisi masa lapang anak-anak mereka dengan pergi berjalan-jalan atau melakukan aktiviti bersama supaya anak dibiasakan dengan keadaan tersebut.
Keadaan sekarang tidak sama seperti zaman dahulu yang mempunyai telefon atau gajet yang biasa sahaja dimana tidak mempunyai aplikasi moden seperti Instagram, Facebook, Twitter, Tik Tok dan sebagainya. Pada zaman dahulu, masa bersama lebih berkualiti daripada zaman sekarang yang kebanyakan melakukan kerja dengan menggunakan gajet. Jasadnya ada, namun roh, emosi semuanya bersama telefon pintar. Orang yang berada dekat dengan kita akan merasakan diri mereka tidak dihargai apabila masing-masing bermain gajet, lama kelamaan bagi individu yang menghargai kualiti masa bersama pun tidak lagi mempedulikan hal orang lain seperti dahulu dan jika hal ini berterusan,ia dapat menjejaskan emosi seseorang.
Seperti yang anda lihat jika kita berada diluar,segelintir sahaja yang tidak memegang telefon pintar mereka. Contohnya, kita dapat lihat senario di kedai makan, dalam sesebuah keluarga sesudah selesai memesan makanan,suasana menjadi senyap kerana masing-masing akan bersama dengan gajet. Keadaan senyap seketika itu tidak bagus kerana tiada komunikasi dalam keluarga iaitu komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak untuk berkongsi cerita ataupun masalah. Jika berlarutan, hal ini akan menjejaskan perkara yang dipanggil kesejahteraan psikologi kerana dalam sesebuah keluarga, aspek nilai yang perlu kita pupuk ialah dengan berkongsi masalah ataupun cerita menarik yang hendak dikongsikan. Namun kurang berlaku pada masa kini kerana setiap orang banyak melakukan hal sendiri bersama gajet masing-masing.
Pensyarah Psikologi Klinikal, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Hilwa Abdullah @ Mohd. Nor berkata, tingkah laku manusia ini yang gemar bermain gajet sehingga sampai ke tahap obses. Obses ialah salah satu penyakit kecelaruan yang dipanggil Obsessive-Compulsive Personality Disorder. Tingkah laku obses seseorang itu yang sentiasa mahu mencari dan melihat perkara yang di muatnaik dilaman sosial walaupun tidak ada perkara penting sekalipun sudah menjadi satu kewajipan dalam diri masing-masing.
Secara ringkasnya,tingkah laku obses ini tiada pengakhirannya dan kompulsif itu terjadi apabila kita kerap-kerap mahu melihat telefon pintar walaupun tiada apa-apa notifikasi untuk kita seperti ianya satu kemestian. Akhirnya, masa-masa berkualiti bersama orang sekeliling pun terbuang begitu sahaja kerana kita melakukan perkara yang tidak penting hanya kerana kesan daripada tingkah laku obses kita sendiri. Oleh itu, gajet dikatakan sebagai satu alat ketagihan bagi setiap individu kerana sering melekat sahaja dengan telefon pintar masing-masing, bagaikan isi dengan kuku lagaknya.
Sgt berinfomasi
teringat zaman zaman dulu 😕