top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Gangguan Bekalan Air di Lembah Klang Selama Tiga Hari

Oleh: Mariam Zamri

Penyunting: Ziera Adurah



KUALA LUMPUR, 10 April - Sebanyak 12 kawasan di Gombak dan 46 kawasan di Kuala Lumpur mengalami gangguan bekalan air selama tiga hari bermula 6 April, ekoran kerja-kerja penggantian injap pada jajaran paip air mentah di Empangan Klang Gates.


Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), memaklumkan bahawa kerja-kerja penggantian injap pada jajaran paip air mentah di Empangan Klang Gates yang menyebabkan henti tugas sementara Loji Rawatan Air Bukit Nanas dan Wangsa Maju telah dimulakan pada am 9:00 pagi hari Selasa seperti yang dijadualkan.


Seperti yang telah dimaklumkan, bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 5:00 pagi, 9 April 2021. Menurut Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri, kerja-kerja penggantian injap ini dijangka akan siap pada jam 9 malam hari Selasa.


“Selepas kerja-kerja berjadual ini siap dilaksanakan, loji dan sistem agihan akan distabilkan sebelum bekalan air mula disalurkan kepada pengguna.


“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah secara berperingkat dan berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” katanya lagi dalam satu kenyataannya menurut Malay Mail.


Walaupun gangguan bekalan air bukan lagi suatu perkara yang baru bagi penduduk Lembah

Klang, namun ia tetap meresahkan pengguna di kawasan-kawasan yang terjejas dan memaksa mereka untuk membuat persiapan awal termasuk membeli tong air serta menadah air supaya dapat digunakan selama tiga hari tersebut.


Seorang penduduk di kawasan Taman Dato’ Ahmad Razali, Ampang, Nur Athirah, berkata situasi terputus bekalan air bukanlah pertama kali berlaku di Selangor, cuma kali ini Pihak Air Selangor telah membuat pengumuman lebih awal supaya para penduduk dapat melakukan persiapan lebih awal.


“Setakat ini, air masih ada lagi walaupun sedikit. Oleh itu, saya mesti sentiasa berada dalam keadaan standby tidak kira kawasan terjejas atau tidak terjejas kerana perkara ini saya tidak boleh jangkau. Kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada,” katanya lagi.


Nicholas Tan, seorang penduduk di kawasan Petaling Jaya, berkata meskipun situasi bekalan air yang terjejas ini bukanlah perkara yang baru, namun beliau sering terpaksa pergi ke rumah rakannya untuk menumpang mandi.


“Saya terkejut apabila mendapati tiada bekalan air seperti biasa ketika ingin mandi dan bersiap sedia untuk bekerja dan bernasib baik kerana ada tangki simpanan air". “Mujur rumah saya ada tangki simpanan air, walaupun kadang-kadang masih tidak memadai,” tambahnya lagi.


Dalam pada itu, seorang lagi penduduk di kawasan Damansara, Mikhail Ibrahim, berkata bahawa sebagai seorang penduduk di sebuah kondominium, mereka sebagai satu komuniti haruslah melakukan catuan bekalan air apabila terdapat gangguan bekalan air supaya setiap orang mempunyai bekalan air yang mencukupi untuk kegunaan harian mereka.


“Walaupun setiap unit diberi tangki air untuk digunakan semasa gangguan bekalan air, namun kenyataan rasmi telah menyatakan bahawa kami perlu menggunakan air secara berkadar".


Pihak Air Selangor memaklumkan bahawa semua 58 kawasan yang terjejas oleh gangguan bekalan air yang dijadualkan di wilayah Kuala Lumpur dan Gombak kerana penggantian injap berfungsi di saluran paip air mentah dari Empangan Klang Gates, yang telah menyebabkan penutupan sementara di loji rawatan air Bukit Nanas dan Wangsa Maju telah menerima bekalan air sepenuhnya pada pukul 8.15 malam pada 8 April.


Pihak Nadi Bangi telah mendapatkan sumber rasmi daripada laman web Air Selangor.

222 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page