Nadi Bangi
Gangguan Seksual Dorong Perjuangan Gerakan Feminisme
Updated: Jan 10, 2022
Penulis: Shafa Alvia Rizka
Penyunting: Elida Najwa Mohd Subri

Sumber: Google
Gangguan seksual bukan masalah baru yang wujud di persekitaran kehidupan masyarakat kini dan ia telah membawa kepada perjuangan gerakan feminisme.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), 1 daripada 3 wanita, kira-kira 736 juta wanita berdepan dengan keganasan fizikal mahupun seksual yang dilakukan oleh pasangan atau bukan pasangan kepada mangsa dan jumlahnya tidak berkurang sepanjang sedekad yang lalu.
Oleh kerana wujudnya gangguan seksual yang masih menghantui wanita di seluruh dunia, ramai kelompok wanita yang bertindak untuk memperjuangkan hak asasi wanita dengan cara bersama-sama menyebarkan kesedaran feminis.
Namun begitu, apakah makna sebenar feminisme? Feminisme adalah gerakan sosial dan ideologi yang memperjuangkan hak perempuan di segala bidang sama ada politik, ekonomi, sosial, dan lainnya.
Feminis bermaksud sekumpulan individu yang menyokong gerakan feminisme percaya bahawa lelaki dan perempuan itu sama. Perempuan berhak mendapatkan hak yang sama dengan lelaki dalam lingkungan masyarakat.
Rangkuman pergerakan feminisme ini boleh dilihat pada perhimpunan Hari Wanita Sedunia yang diadakan pada 10 Mac tahun lalu yang melihat pelbagai lapisan wanita berhimpun menyuarakan isu tentang wanita.
Pelbagai faktor boleh dikaitkan dengan gerakan ini dan salah satunya apabila jenayah gangguan seksual kepada wanita semakin meningkat.
Pada Desember 2021 yang lalu, masyarakat di Indonesia dikejutkan dengan perbuatan keji Herry Wirawan, seorang guru dan pemilik sekolah pondok di Indonesia yang dilaporkan telah mencabuli lebih daripada 20 orang pelajar perempuan sehingga 8 diantaranya mengandung di sekolah tempatnya mengajar.
Hal ini telah menerima kecaman daripada semua pihak terutamanya di Indonesia apabila berita tersebut tersebar dan ramai berpendapat bahawa kekerasan seksual ini masih lagi berlaku kerana ketidakadilan undang-undang untuk melindungi wanita.
“Bertahun-tahun pemangsa kekerasan seksual dibiarkan melakukan hal-hal yang traumatic and horrific kepada mangsa dan hal ini berlaku kerana undang-undang sekarang tidak melindungi kami sebagai wanita daripada keganasan” kata Hannah Al-Rashid seorang pelakon, model dan juga aktivis feminis di Indonesia.
Lanjutan daripada itu, masyarakat ada beranggapan bahawa perempuan sahaja yang dapat berada di dalam kelompok gerakan feminis ini. Hal itu adalah tidak benar sama sekali malah gerakan ini memerlukan peranan lelaki. Gerakan feminisme juga membantu masyarakat untuk mengatasi masalah seperti gangguan seksual, rogol, dan sebagainya.
Pada pendapat penulis, feminisme adalah hal yang penting untuk diperjuangkan kerana ia menyangkut kepada kehidupan individu. Isu ketidakadilan kepada wanita sering kali dilihat dilakukan di kaca televisyen mahupun media sosial dan salah satunya adalah kes gangguan seksual. Gangguan seksual memberikan kesan yang mendalam dan menakutkan serta traumatik kepada mangsa.
Namun begitu, pada era ini kita dapat lihat dimana wanita lebih berani kehadapan dan melaporkan kes terbabit kepada pihak berwajib. Walaubagaimanapun, masih ada aduan mangsa gangguan seksual kerap kali dibiarkan dan ini merupakan tindakan yang tidak adil kepada mangsa.
Selari dengan itu, jumlah mangsa yang bertindak untuk mendiamkan diri juga tidak sedikit. Melihat mangsa yang mempunyai trauma dan kesedihan mendalam, ramai wanita bergerak untuk membantu menyuarakan isu melawan gangguan seksual di media sosial. Tindakan membantu ini salah satu contoh gerakan feminisme. Malangnya, ramai individu yang masih salah faham tentang makna gerakan feminisme.
Salah satu salah faham persepsi tentang feminisme adalah gerakan ini dilihat sebagai usaha perempuan untuk menjadi lebih baik dan hebat berbanding dengan lelaki sehingga lelaki kerap merasa terintimidasi. Khalayak masyarakat yang tidak terlalu mempunyai kesedaran tentang isu ini akan mengangap bahawa feminisme adalah sebuah gerakan untuk membenci kaum lelaki.
Sebaliknya, feminisme adalah sebuah gerakan yang berusaha memperjuangkan persamaan gender dalam berbagai aspek dan bidang. Bukan itu sahaja, malah tiada langsung ideologi feminisme yang mengarahkan kebencian terhadap lelaki.
Sehubungan dengan itu, kepercayaan yang membawa kepada salah faham masyarakat kepada golongan feminis adalah mereka berpendapat bahawa feminis tidak percaya dengan perkahwinan. Ramai masyarakat yang beranggapan bahawa feminis tidak percaya dengan perkahwinan dan tidak ingin mendirikan rumah tangga.
Tanggapan ini juga merupakan sebuah tanggapan yang terpesong daripada tujuan asal gerakan ini. Gerakan ini hanya tidak mahu perkahwinan itu dilihat sebagai sebuah cara untuk mengawal golongan wanita.
Lanjutan daripada itu, keputusan seseorang individu untuk menyokong gerakan feminisme ialah kerana mereka melihat ketidakadilan gender di berbagai bidang kehidupan sosial.
Sebagai kesimpulan, penulis berpendapat bahawa pihak berwajib seharusnya lebih responsif dan menyokong gerakan feminisme di sesebuah negara agar dapat menyebarkan kesedaran tentang ketidakadilan sosial kepada wanita, terutama sekali dalam aspek gangguan seksual. Tambahan lagi, feminisme berdiri untuk semua gender dalam memiliki kesempatan dan hak yang sama. Tujuan feminisme bukan untuk melemahkan lelaki atau hanya membantu wanita sahaja bahkah juga membantu masyarakat baik lelaki mahupun wanita untuk mengatasi ketidakadilan di dalam kehidupan sosial bermasyarakat.