Nadi Bangi
Gangguan Seksual Tiada Penghujung
Penulis: Moganapriya Loganathan
Penyunting: Syafiqah Jafri

Sumber: Google
Gangguan seksual merupakan satu masalah yang sering dibicarakan di ruangan media sosial dan telah melibatkan golongan wanita masih belum sampai ke penghujungnya.
Menurut rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sejak 2018 sebanyak 11,914 kes gangguan seksual telah berlaku di negara kita manakala menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual,Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman,ACP Puan Siti Kamsiah Hassan, sebanyak 3060 kes telah dilaporkan pada tahun 2018,seramai 3487 kejadian telah direkodkan pada tahun 2019 dan diikuti dengan 2020 sehingga Ogos yang lalu jumlah kes yang direkodkan ialah 2191. Beliau juga memperincikan dimana kes rogol mencatatkan kesalahan seksual tertinggi sebanyak 5,030 kes direkodkan diikuti cabul 3,364 kes, aib 320 kes, luar tabii 964 kes, sumbang mahram 984 kes, rogol berkumpulan 244 kes dan sebar bahan lucah 209 kes.
Isu gangguan seksual ini masih lagi tidak dapat dihentikan tetapi pada masa yang sama setiap kes yang berlaku di negara kita dapat diselesaikan atau berlakunya siasatan semula.Menurut Harian Metro, siasatan berhubung kes seorang suri rumah yang mendakwa diganggu secara seksual oleh seorang hakim kanan ketika berada di rumah mangsa di sini masih diteruskan. Kes ini telah berlaku setahun yang lepas dan kini disiasat semula bagi mendapatkan informasi tambahan dengan isu ini.Bukan ini sahaja,malah beberapa kes seperti ini telah mendapat jawapan dan juga tidak. Persoalannya, apakah punca berlakunya masalah ini?
Punca Berlakunya Gangguan Seksual
Pada pendapat penulis, punca utama berlakunya gangguan seksual ini adalah disebabkan oleh kurang persefahaman dan pengetahuan tentang isu ini. Hal ini dikatakan demikian kerana pengetahuan tentang isu ini adalah tidak mencukupi kepada seseorang individu dari bangku sekolah dan menyebabkan mereka tidak tahu apa berlaku pada diri sendiri ketika menghadapi masalah ini. Oleh itu,individu yang melakukan kesalahan ini tidak tahu akibatnya yang akan memberi kesan kepada pelbagai pihak yang tertentu
Seterusnya, adalah kebebasan penggunaan internet. Kemudahan ini masih lagi tidak digunakan untuk perkara-perkara yang baik oleh segelintir individu. Mereka telah mengambil peluang ini untuk melihat video atau gambar yang lucah di ruangan internet. Internet pada masa kini lebih mudah diakses oleh setiap peringkat umur tanpa sebarang halangan. Namun begitu, kemudahan yang dimiliki telah disalah guna oleh segelintir individu dengan memuat naik bahan-bahan yang mempunyai unsur-unsur pornografi dan tidak mengehadkan had umur untuk mengakses kepada gambar atau video tersebut. Hal sedikit sebanyak telah menjadi punca kepada peningkatan masalah gangguan seksual yang berlaku.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga boleh dikatakan sebagai punca berlakunya gangguan seksual. Ini kerana, pemilihan rakan yang baik adalah salah satu perkara yang penting dalam setiap peringkat kehidupan bagi tidak terbabit dalam gejala sosial.
Usaha Menangani Isu
Menangani isu yang berkaitan dengan gangguan seksual memerlukan usaha dan kerjasama daripada ramai pihak Setiap pihak perlu berganding bahu untuk turut serta memastikan gangguan seksual terus dapat dihentikan bagi keselamatan semua pihak dalam negara kita. Setiap individu tanpa mengira umur perlu berani melaporkan kesalahan seksual kepada pihak polis untuk mengambil tindakan selanjutnya.
Seterusnya ibu bapa hendaklah memantau anak-anak dari semasa ke semasa serta memberikan didikan moral dan agama supaya tidak terjebak dalam gejala negatif ini. Didikan dari awal ini akan membantu menghentikan isu ini.