top of page
  • Writer's pictureNadi Bangi

Gedung UNIQLO Malaysia Tutup Pada Hari Pertama Pembukaan

Oleh : Bhavanpreet Kaur

Penyunting : Chan Lyn Yi

Sumber : Says.com

BANGI, 18 Dis: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia terpaksa mengarahkan penutupan gedung baharu UNIQLO, peruncit fesyen Jepun yang baru dibuka untuk beberapa jam pada Jumaat lepas di Damansara Avenue, Petaling Jaya selepas dikunjungi oleh beratus orang pada hari pertama pembukaan.


Gedung tersebut terpaksa ditutup untuk beberapa jam bagi menjalankan proses sanitasi dan menambahbaik prosedur operasi standard (SOP) supaya mengekalkan jarak sosial yang selamat semasa ramai pelanggan beratur di luar bangunan tersebut. Melalui Twitter BFM News, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata bahawa pihak pengurusan telah mematuhi peraturan untuk mencegah penyebaran virus Covid 19 dengan mengehadkan jumlah pelanggan iaitu hanya 50 orang pelanggan boleh masuk ke bangunan dalam satu masa tetapi tiada penyelarasan bagi mereka yang berbaris di luar bangunan. Terdapat lebih daripada seratus orang yang beratur di luar bangunan.


Gedung yang dibuka tersebut membuat promosi hebat iaitu bermula 18 sehingga 20 Disember, bagi 500 orang pelanggan yang pertama melangkah masuk stor akan menerima ‘goodie bag’. Manakala bagi setiap pelanggan yang telah membuat pembelian RM200 atau lebih dalam satu resit akan menerima satu beg tote istimewa UNIQLO. Pembukaan gedung UNIQLO telah berjaya menarik perhatian orang ramai.


Video dan gambar berkaitan pembukaan gedung UNIQLO tersebut membanjiri laman media sosial seperti Twitter dan Facebook. Ramai netizen berkata bahawa besar kemungkinan sebuah kluster baru virus Covid 19 akan wujud daripada pembukaan tersebut.


Nadi Bangi sempat mendapatkan komen pengguna Twitter berkaitan isu ini. Pengguna Twitter @ayg16 berkata bahawa tidak perlu mengadakan “grand opening” secara fizikal tetapi maya kerana kes covid 19 di Selangor yang tidak turun sejak beberapa minggu yang lepas.



Pengguna Twitter @JustZaim juga meluahkan rasa bimbang dengan berkata “Kenapa nak bergegas ke Uniqlo Sri Damansara? Bukan ke ada Uniqlo di merata tempat? Hampir setiap pusat beli-belah. Nak berebut beli baju apa?”


Pengguna Twitter @qarl8787 yang sempat berkunjung ke gedung UNIQLO tersebut yang baru dibuka berkata bahawa gedung tersebut nampak cantik dari luar tetapi dari dalam, tiada perbezaan berbanding dengan kedai UNIQLO yang lain. Ramai orang yang pergi ke sana kerana hendak mengikuti trend sahaja.


Pihak UNIQLO Malaysia masih lagi tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkaitan isu ini.


110 views0 comments
Nadi Bangi Banner Post (3).png
bottom of page