Nadi Bangi
Golongan Antivaksin Cetus Kerisauan?
Oleh : Sharifah Sofeena
Penyunting : Syafiq Haizad

Sumber : Facebook
BANGI, 5 Dis – Malaysia dijangka akan menerima sebanyak 12.8 juta dos vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer dan BioNTech tahun depan, namun kewujudan golongan antivaksin telah mendatangkan kerisauan kerana boleh membantutkan usaha kerajaan untuk menghalang penularan wabak Covid-19.
Nadi Bangi telah membuat tinjauan menerusi laman sosial Facebook dan menjumpai beberapa respon negatif terhadap vaksin yang dihasilkan. “Nah jadilah kamu tikus makmal. Ya Allah, Selamatkanlah rakyat Malaysia” kata salah seorang pengguna laman sosial tersebut.
Salah seorang yang menggelar dirinya antivaksin menyatakan pendapat beliau menerusi laman sosial Facebooknya dan berkata bahawa masih ada yang mengatakan golongan antivaksin menolak vaksin kerana Yahudi. Tetapi sebaliknya, vaksin ini berkemungkinan akan memberikan kesan sampingan seperti sakit, cacat malahan mati. Beliau juga berkata bahawa orang yang membuat vaksin tidak membuat demi kepentingan manusia. Terpulang kepada seseorang itu sendiri sama ada memilih untuk diperbodohkan atau tidak.
Seorang daripada pengguna laman sosial tersebut juga ada meluahkan rasa risau terhadap kandungan dalam vaksin Covid-19. Status halal dan haram menjadi satu pertanyaan kerana bimbang mempunyai kandungan yang haram dan kimia sehingga boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri.
Nadi Bangi juga sempat menemubual orang awam iaitu Siti Hawa, 41, berkenaan pendapat beliau terhadap golongan antivaksin. “Orang yang antivaksin ini mungkin sangat risau terhadap kesan sampingan dan kandungan yang ada dalam vaksin tersebut. Tapi apa yang saya tahu, Kementerian Kesihatan Malaysia akan semak semua kandungan, lebih-lebih lagi soal babi”.
Menurut laman rasmi Twitter Jabatan Penerangan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, penggunaan vaksin Covid-19 akan diperhalusi dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan akan datang dengan mengambil kira semua aspek termasuk soal maqasid syariah selain memastikannya tidak memudaratkan tubuh badan untuk jangka masa panjang.
Maisarah Amni, 22, turut berkongsikan pendapat beliau terhadap golongan antivaksin. Beliau menyatakan bahawa kita semua perlu komited dalam memerangi golongan antivaksin ini kerana khuatir peningkatan golongan antivaksin akan meningkat dari masa ke semasa. Mereka ini akan menyebarkan pemahaman yang salah dan mengelirukan masyarakat Malaysia terhadap isu vaksin ini.
Manakala Nurul Hidayah, 35, pula berkongsikan pendapat beliau terhadap penerimaan vaksin Covid-19. Beliau menyatakan kesyukuran kerana akhirnya vaksin Covid-19 dapat dihasilkan setelah hampir setahun dilanda wabak Covid-19 ini. Beliau juga berharap agar keadaan kembali seperti sediakala meskipun mengambil masa yang agak lama. Isu antivaksin pula, beliau mengulaskan bahawa setakat ini kerajaan tidak memaksa pengambilan vaksin Covid-19. Namun golongan aktivaksin perlu dipantau secara berterusan kerana khuatir akan menimbulkan masalah pasa masa hadapan.