• Nadi Bangi

Golongan Belia Malaysia Diisytihar Muflis?

Oleh : Bhavanpreet Kaur

Penyunting : Chan Lyn Yi

Sumber : Harian Metro

BANGI, 22 Nov - Berdasarkan laporan kajian Pantauan Ekonomi Malaysia yang dijalankan oleh Bank Dunia pada Disember tahun lepas, golongan belia yang berumur dari 25 hingga 44 tahun mencatat 60 peratus daripada jumlah keseluruhan individu muflis di Malaysia.


Faktor utama yang mengakibatkan isu muflis tersebut ialah tabiat berbelanja melebihi pendapatan yang banyak dilakukan oleh golongan belia. Kajian Bank Dunia tersebut turut menyatakan bahawa kadar muflis golongan belia adalah tinggi disebabkan oleh individu yang membuat pinjaman bagi penggunaan peribadi dan bukannya untuk pelaburan dan pengumpulan kekayaan. Ia berlaku dalam kalangan peminjam belia yang mempunyai pengetahuan kewangan yang terhad dan tidak begitu celik kewangan.


Menurut Pengurus Besar Bahagian Operasi AKPK, Nor Fazleen Zakaria apabila ditemu bual oleh Harian Metro TV berkata bahawa kebanyakan golongan belia terutamanya pada usia 20 hingga 30 tahun, masih ‘lembut’ dan leka dengan aktiviti perbelanjaan. Contohnya, sebaik saja tamat pengajian dan mula bekerja, senario membeli kenderaan menjadi perkara biasa.


“Ketika itu, mereka tidak ada masalah untuk membuat pinjaman kerana tiada komitmen lain dan membuat keputusan membeli kereta yang diidamkan dengan kadar bayaran bulanan agak tinggi.


“Pada masa yang sama, perbelanjaan menggunakan kad kredit tanpa kawalan juga sering berlaku kerana mereka yang baru bekerja ini, mudah mendapatkan kad berkenaan kerana komitmen kredit setiap bulan masih berada di tahap mampu diselesaikan,” katanya.


Menurut Sistem Insurans Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), peratus golongan belia yang muflis di negara ini dijangka akan meningkat kerana pandemik Covid-19 yang telah menyebabkan peratus kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 42 peratus bagi suku pertama tahun ini.


Nadi Bangi memetik komen pengguna Twitter @surayaror yang mempunyai sebuah blog kewangan peribadi berkata bahawa pelan beli sekarang dan bayar kemudian yang semakin popular dalam kalangan golongan belia merupakan taktik organisasi besar untuk memastikan golongan belia kerap membeli tanpa memikirkan bajet atau kedudukan kewangan mereka. Hal ini menyebabkan kebanyakan mereka berbelanja lebih daripada yang sepatutnya dan akhirnya muflis pada umur yang muda lagi.


Antara langkah yang boleh mengelakkan golongan muda daripada muflis ialah elak daripada mengikuti trend gaya hidup mewah. Sikap tidak mahu ketinggalan dengan trend gajet dan barang-barang yang menjadi kegilaan golongan belia di masa kini adalah penyumbang terbesar kepada kadar muflis untuk mereka.


Hal ini jelas dibuktikan dengan trend telefon pintar yang mahal mencecah ribuan ringgit, sanggup dibayar secara hutang. Selain itu, elakkan berhutang untuk majlis perkahwinan. Ini merupakan faktor yang popular di kalangan golongan belia yang baru hendak mendirikan rumah tangga. Sebahagian daripada mereka sanggup mengambil pinjaman hanya untuk membuat majlis perkahwinan ala-ala 'wedding of the year'.

83 views0 comments

Related Posts

See All