• Nadi Bangi

Graduan Penerbangan Rungsing Hutang Terbeban

Oleh : Harith Ashyraf

Penyunting : Rafaeil Bahri

Sumber : Flightlogger


Bangi, 29 Dis – Sektor penerbangan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 terus merungsingkan graduan akademi penerbangan untuk menggapai cita – cita sebagai seorang juruterbang selepas mereka turut terbeban dengan hutang pinjaman yang mencecah hampir ratusan ribu ringgit bagi melengkapkan yuran pengajian.

Bukan sahaja hasrat untuk bergelar juruterbang terpaksa ditangguhkan, apa yang lebih membingungkan adalah mereka terpaksa melunaskan kontrak hutang pinjaman sehingga RM300,00 bagi kos pengajian selama dua tahun sebaik sahaja menamatkan latihan di akademi penerbangan masing - masing.

Menurut Berita Harian, Wakil Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia berkata pihak yang terjejas sekarang boleh memohon lanjutan moratorium kepada bank.

“Bagi graduan akademi penerbangan atau peminjam yang bermasalah dalam membuat pembayaran balik akibat terkesan dengan keadaan sekarang, anda boleh membuat penangguhan bayaran pinjaman kepada bank masing – masing untuk dipertimbangkan” , katanya.

Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia sebelum ini ada menyatakan kesediaan untuk memudahkan proses kelulusan bagi permohonan bantuan bayaran bersasar oleh peminjam yang bermula dari November lepas sehingga hujung Jun 2021 sekaligus dikira sebagai inisiatif yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2021.

Kadet juruterbang yang selesai menamatkan latihan di akademi penerbangan dikatakan terpaksa menaggung bayaran balik hutang sekitar RM2,500 sebulan dalam tempoh beberapa tahun untuk mengelakkan daripada disenarai hitam oleh pihak bank walaupun masih belum menjadi juruterbang mahupun tiada pekerjaan.

Menurut Presiden Persatuan Juruterbang Malaysia, Kapten Abdul Manan Mansor bagi mengulas isu ini, beliau menyarankan agar graduan dari akademi penerbangan dapat berunding dengan pihak bank mengenai bayaran balik pinjaman dan bijak melihat peluang serta memanfaatkan pertumbuhan dalam industri penerbangan kini.

“Mereka perlu melakukan rundingan dengan pihak bank masing – masing untuk mengelakkan daripada berlaku masalah lain di kemudian hari dan semestinya graduan harus mempertimbangkan kerja yang berkaitan dengannya seperti jurulatih di akademi mahupun menjadi juruterbang di sektor kargo sekaligus tidak meletakkan permulaan gaji yang tinggi sekiranya ditawarkan untuk bekerja di syarikat penerbangan” , ulas beliau menurut sumber Berita Harian.

Nadi Bangi sempat menemubual seorang graduan kadet juruterbang Izham Hilfi 24, yang mengatakan bahawa apa yang menjadi keutamaan di waktu sekarang adalah melunaskan komitmen yang ditanggungnya serta mendapatkan pekerjaan.

“Dengan baki hutang yang masih banyak, apa yang saya harapakan adalah cukuplah jika ditawarkan kerja walaupun permulaan gaji tidak begitu tinggi asalkan mampu melunaskan komitmen yang ada dan saya percaya begitu juga dengan rakan lain yang turut rungsing memikirkan nasib” , katanya.

Menurut seorang lagi graduan akademi penerbangan Sulhi Ahmad 25, rata – rata di kalangan rakannya kini terpaksa melakukan kerja lain sementara menunggu keputusan daripada syarikat penerbangan masing-masing walaupun terpaksa akur dengan situasi sekarang.

“Buat masa sekarang, kami harus melakukan kerja lain sambil peka dengan iklan – iklan pengambilan juruterbang daripada pelbagai syarikat penerbangan kerana hutang pengajian masih tetap perlu dibayar”.

Pihak industri penerbangan sendiri walau bagaimanapun, meramalkan sektor berkenaan akan memakan masa sekurang – kurangnya dua hingga tiga tahun lagi untuk benar – benar pulih, namun jaminan pekerjaan masih tidak dapat dijanjikan dalam tempoh itu.

433 views0 comments

Related Posts

See All