Nadi Bangi
Graduan Perlu Bersedia Menghadapi Realiti Pekerjaan
Oleh: Farhan Siddiq
Penyunting: Abdullah Zaid

Sumber: Pusat Pembangunan Karier UKM
BANGI, 7 April - Seminar Profesionalisme Kerjaya 2021: Persepsi, Jangkaan dan Realiti Dunia Pekerjaan yang dianjurkan UKM-Karier dengan kerjasama i-LEAD Kementerian Belia dan Sukan yang berlangsung pada 7 April di ZOOM & FB Live telah memberi peluang kepada golongan pelajar untuk bersedia menghadapi alam kerjaya.
"Pelajar perlu bersedia menghadapi realiti pekerjaan dengan menjadikan pusat pengajian sebagai tempat untuk membentuk corak pemikiran yang dinamik dalam menyahut cabaran",
kata Jian Je (Jurutera, Texas Instruments Malaysia, Penerima Anugerah Naib Canselor Majlis
Konvokesyen ke-48 UKM).
Beliau juga berkata bahawa realiti pekerjaan berbeza dengan realiti ketika pengajian tetapi perbezaan itu hanya berbeza dalam skop pekerjaan dan bukannya tujuan. Generasi pelajar pada masa ini perlu membuang mitos dimana bidang pengajian yang dipelajari akan menuju arah pada bidang pekerjaan yang sama.
"Graduan bersaing dalam tempoh 6 bulan selepas bergraduasi untuk mendapatkan pekerjaan dan melihat peluang di dalam industri", kata Dr Mohd Izwan (Timbalan Pengarah Pembangunan Kerjaya Pelajar UKM). Kita perlu ada kesedaran secepat yang mungkin dengan meningkatkan keyakinan diri, penyelesaian masalah, pembangunan kendiri dan kemahiran digital. Kemahiran digital pada masa ini sangat signifikan pada Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0)".
"Penyertaan aktiviti kokurikulum di universiti mampu menambah kemahiran dengan menjadi
usahawan dan menyertai Keperluan industri seperti analitikal, kreativiti dan inovasi dan pembuatan keputusan. Kerajaan telah memperuntukkan pelbagai dana kepada universiti dan sebagainya pada Covid-19 ini seperti PRIHATIN, PENJANA dan peruntukan program-program yang menggalakkan gerakan ekonomi serta gig ekonomi", tambah beliau.
"Isu 'mismatch' dan 'skill mismatch' sering berlaku dalam dunia pekerjaan sekarang. Situasi ini berlaku kerana situasi sekarang di mana graduan terdesak. Graduan telah cuba berbagai-bagai cara dengan bidang yang diminati tetapi gagal", kata Putri Nur Ameerah (Senior Brand Attraction Associate RHB Banking Group).
"Mereka juga menerima tawaran luar dari bidang mereka kerana terdesak kerana risau akan terlepas peluang pekerjaan sekiranya menolak tawaran sedia ada. Faktor lain, industri terbuka mengambil graduan yang tiada skill atau pengalaman dengan membuka peluang kepada graduan dalam temuduga untuk melihat sejauh mana potensi mereka".
"Graduan sukarela meneroka bidang baharu dalam pekerjaan. Terdapat graduan yang bekerja di luar bidang, meminati dengan bidang baru pekerjaan selepas mempelajari dan meneroka pekerjaan itu. Faktor-faktor ini akan mengembangkan pengalaman dan pengetahuan dalam graduan. Walau bagaimanapun, graduan yang tidak berminat dengan pekerjaan yang diterima akan berasa terdesak dan memberi kesan terhadap kerjaya dalam jangka masa panjang", tambah Putri.
"Pelajar perlu mempunyai objektif kerjaya ketika memasuki universiti supaya pemikiran lebih berfokus. Selain itu, universiti perlu menyemak program-program yang universiti dijalankan dan urusan kerjasama industri. Pelajar-pelajar perlu mempunyai soft skills dengan mendapatkan sijil-sijil seperti pengurusan perniagaan, Microsoft, dan keusahawanan untuk menambah nilai dalam diri pelajar", kata Dr Izwan.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, "Jumlah siswazah di Malaysia adalah 5.29 juta orang merangkumi 21.3 peratus daripada populasi umur bekerja pada 2019. Hampir 90 peratus daripada siswazah berada dalam tenaga buruh dengan kadar 83.5 peratus (4.4 juta orang). Walaupun majoriti siswazah adalah perempuan, kadar penyertaan tenaga buruh siswazah perempuan adalah lebih rendah (79.8%) berbanding lelaki yang merekodkan kadar 87.7 peratus".
Ahli panel seminar terdiri daripada wakil pelajar, Universiti dan Industri iaitu Dr Mohd Izwan (Timbalan Pengarah Pembangunan Kerjaya Pelajar UKM), Pn Putri Nur Ameerah (Senior Brand Attraction Associate RHB Banking Group) dan En. Jian Je (Jurutera, Texas Instruments Malaysia, Penerima Anugerah Naib Canselor Majlis Konvokesyen ke-48 UKM).