top of page
  • Nurfaizatul Huda Ahmad

Gulai Daging Salai Buat Pengunjung ‘Tersandar’

Penulis : Nurfaizatul Huda Ahmad

Penyunting : Farzana Nafiz


Gulai Daging Salai adalah menu paling laris terjual di Restoran Lomak Salai Tampin

Sumber Foto: Faizatul Huda


TAMPIN, 1 Jan – Para penggemar masakan tradisi Negeri Sembilan terutamanya menu Gulai Masak Lemak Salai menjadikan cuti hujung minggu bersama keluarga sebagai peluang untuk ‘menyerbu’ Restoran Lomak Salai ‘Ala IKEA’ yang terletak di Bandar Tampin.


Restoran yang menawarkan pelbagai masakan tradisional Negeri Sembilan ini menjadi tarikan ramai penggemar makanan dari luar negeri ini kerana konsep kontemporari ‘ala IKEA’ yang ditampilkannya.


Sebelum restoran ini dibangunkan, kawasan ini adalah kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bandar Tampin yang menjadi persinggahan orang ramai yang mahu menuju ke arah selatan seperti Melaka dan Johor jika tidak menggunakan lebuh raya.


Oleh kerana lokasinya yang strategik, restoran yang baru dibuka selepas Hari Raya Aidilfitri 2022 ini segera mendapat perhatian warga maya kerana kemeriahan lauk-pauk serta kualiti masakannya yang asli.


Menurut seorang kerani akaun yang berasal dari bandar ini, Syuhadah Sharil, 33, kebanyakan pengunjung datang menjamu selera di restoran ini kerana ingin melihat dan merasai sendiri konsep unik yang digunakan oleh syarikat peralatan rumah terkemuka dunia, IKEA di dalam budaya tradisi orang Melayu.


“Saya memang berasal dari Tampin, namun bila melihat restoran ini dipenuhi dengan pengunjung yang datang dari luar Negeri Sembilan membuatkan saya bangga kerana di bandar ini terdapat sebuah restoran yang unik serta masakan tradisi kami digemari oleh rakyat Malaysia secara keseluruhannya.”


“Pengunjung yang datang ke sini sudah pasti memesan lauk Gulai Lomak Salai Daging kerana menu ini mendapat maklum balas yang baik di platform Tiktok dari orang ramai yang pernah merasai masakan ini di sini,” jelas beliau.


Restoran Lomak Salai menampilkan konsep kontemporari ‘ala IKEA’ menggunakan troli ketika memilih menu. Sumber Foto: Faizatul Huda


Seorang juruteknik dari Pasir Gudang, Harith Azwan, 23, beliau serta rakan-rakan telah datang kali kedua ke restoran ini kerana merindui masakan gulai salainya.


“Ini adalah kali kedua kami datang menjamu selera di sini kerana kami adalah peminat masakan tradisi Negeri Sembilan iaitu Gulai Daging Salai.”


“Kalau nak datang makan di kedai ini, saya memang sarankan para pengunjung untuk mencuba menu daging dan itik salai serta jangan lupa untuk memesan Air Kathira mereka, kalian pasti ‘tersandar’ dengan kelazatannya!” ujarnya.


Bagi seorang lagi pengunjung dari Johor, Muhammad Ammar, 37, beliau singgah dari Segamat ke Tampin hanya semata-mata kerana mahu mencari hidangan gulai daging salai yang lain dari yang lain.


“Tahun lalu saya pernah singgah di satu restoran gulai salai di kawasan Rembau, Negeri Sembilan namun bagi saya masakannya terlalu pedas dan ia tidak boleh dimakan oleh anak-anak saya yang masih kecil.”


“Tapi, Restoran Lomak Salai ini memang menghidangkan gulai masak lemak yang boleh dimakan oleh semua golongan termasuklah isteri serta anak-anak saya yang tidak biasa dengan masakan pedas dan rasa gulainya itu sangat asli dan unik, berbeza dari kedai yang pernah saya kunjungi sebelum ini,” kata beliau.


Selain menawarkan pelbagai menu menarik dari lauk sehinggalah pencuci mulut, restoran ini juga mempunyai tempat duduk yang luas dan selesa serta menyediakan kemudahan yang kondusif seperti tandas dan surau yang bersih untuk para pengunjungnya.


Restoran Lomak Salai ini beroperasi setiap hari kecuali Rabu bermula jam 11.00 pagi sehingga jam 5.00 petang.





11 views0 comments

Related Posts

See All
bottom of page