• Nadi Bangi

Guru Bahasa Inggeris Manfaatkan Aplikasi TikTok

Updated: Jun 18, 2021

Oleh: Natasha Mazlan

Penyunting: Hazwani Amiruddin

Sumber: Tiktok


BANGI, 9 Jun - Usaha seorang tutor Bahasa Inggeris, Aina Adnan yang kini popular di aplikasi TikTok yang memberi pendedahan awal dengan mengajar masyarakat mengenai ‘English Education’ perlu diberikan pujian kerana beliau bukan sahaja memberikan ilmu yang bermanfaat malah mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.


Aina Adnan, 30 merupakan seorang pelajar Kedoktoran Falsafah dalam bidang Fizik di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), merupakan seorang tutor sambilan di sebuah pusat tuisyen di Johor semakin dikenali ramai apabila beliau sering mengajar subjek Bahasa Inggeris di akaun TikTok miliknya. Beliau sangat meminati subjek Bahasa Inggeris sejak berumur 10 tahun lagi apabila ayahnya menyambung pelajaran di United Kingdom.


Pada mulanya bermula dengan hanya sekadar menggunakan TikTok sebagai hobi untuk membuat penyuntingan video pelajar-pelajar di pusat tuisyen. Namun kini, beliau tidak pernah menyangka bahawa hanya sekadar bermula dari menyunting, hasil kandungan beliau dapat ditonton oleh semua lapisan masyarakat Malaysia. Video-video yang diajar adalah seperti penggunaan tatabahasa dalam bahasa Inggeris, kosa kata Bahasa Inggeris dan banyak lagi.


Seperti yang kita maklum, Bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua yang digunakan oleh masyarakat Malaysia. Tidak dinafikan pada era ini, sebanyak 80% penguasaan Bahasa Inggeris yang digunakan dalam dunia pekerjaan termasuk dalam industri perkhidmatan. Meskipun, Bahasa Inggeris bukan bahasa rasmi bagi Malaysia akan tetapi tumpuan khusus harus diberikan dalam memperkasakan penggunaan Bahasa Inggeris bermula di peringkat sekolah atau Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Sememangnya, dengan memiliki kefasihan bertutur dalam Bahasa Inggeris dapat membantu seseorang individu untuk berkomunikasi dengan lebih baik dengan pelancong dan sebagainya. Apa yang menariknya, pembelajaran di aplikasi TikTok pada masa kini mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat generasi Z.


Ditanya mengenai perasaan beliau, beliau berasa sangat gembira dan teruja kerana dapat mengajar rakyat Malaysia menerusi aplikasi TikTok kerana masyarakat telah memandang video beliau sebagai satu video yang bermanfaat. Dengan itu, beliau konsisten untuk memuat naik video mengenai kemahiran berbahasa Inggeris di akaun TikTok miliknya. Selain daripada menjadi guru tutor di sebuah pusat tuisyen, Aina banyak melakukan kerja sambilan lain seperti mengadakan kelas tambahan pada setiap hari minggu dan menjadi ‘private tutor’ untuk pelajarnya. Selain itu, beliau turut melakukan perkhidmatan ‘gift review’ untuk kliennya. Selain daripada mengajar, Aina dapat menjana pendapatan yang lumayan untuk meneruskan kehidupan harian beliau.


Kesungguhan Aina Adnan dalam bidang ini tidak disangkal lagi apabila beliau dapat membuktikan beliau berjaya menjadi seorang guru tuisyen. Menurut beliau, “Pada masa kini saya hanya fokus dalam menyambung pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PHD) dan saya berharap agar saya dapat menjadi seorang pensyarah atau pengajar di universiti awam Malaysia”.


Harapan beliau adalah untuk terus menyampaikan ilmu kepada masyarakat agar dapat melahirkan masyarakat yang berilmu dan berwawasan serta melahirkan generasi yang menguasai bahasa Inggeris dengan cemerlang.

286 views0 comments

Related Posts

See All