• Nadi Bangi

Guru Merungut Kerana Jadual Waktu Penggiliran

Penulis: Kanaga Suntari Sundra Sakaran

Penyunting: Muhammad Amirul Akmal


Sumber : Google

SUNGAI BULOH, 3 Dis – Susulan daripada pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membuka semula sekolah secara berperingkat, ia telah mendatangkan reaksi kurang senang daripada pihak guru berikutan jadual waktu penggiliran dengan kehadiran pelajar yang kurang memuaskan.


Kehadiran pelajar adalah secara penggiliran mengikut minggu iaitu 50 peratus pelajar dalam satu kelas akan hadir ke sekolah manakala sebahagian lagi pelajar hanya menjalankan pembelajaran di rumah.


Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak KPM, tujuan mereka merangka penjadualan ini adalah untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19 dalam kalangan pelajar dan juga guru. Setiap kelas dibahagikan kepada 2 kumpulan, iaitu kumpulan A dan B. Pembahagian pelajar adalah berdasarkan 50 peratus bilangan pelajar di dalam kelas.


Walau bagaimanapun, ada sesetengah tenaga pengajar kurang berpuas hati dengan kehadiran pelajar. Ini kerana guru-guru tidak berjaya melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara sepenuhnya kerana peratus kehadiran yang kurang memuaskan.


Menurut Mashita Rizuan guru 46, jadual waktu penggiliran yang ditetapkan oleh KPM ini dari segi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) tidak membebankan guru - guru. Namun begitu, apa yang menjadi beban apabila menjalankan penilaian berasaskan bilik darjah.


Hal ini berlaku disebabkan apabila mengikut penggiliran kumpulan A tidak semua pelajar akan datang ke sekolah dan begitu juga dengan kumpulan B. Dalam satu kelas mungkin seorang atau dua orang pelajar tidak hadir disebabkan oleh masalah kesihatan, kebenaran ibu bapa mereka, kuarantin dan masalah-masalah lain.


“Dalam isu ini guru akan menghadapi masalah untuk menilai pelajar itu sepenuhnya untuk meletakkan markah bagi pentaksiran bilik darjah. Contohnya untuk subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pelajar tingkatan 1 dan 2 tidak hadir ke sekolah, dan guru – guru pula tidak boleh memaksa mereka untuk hadir ke sekolah. Ini disebabkan oleh penggiliran dan juga masalah Covid yang kian meningkat. Guru-guru perlu mentaksir setiap pelajar dan memberi markah kepada penguasaan mereka.” Kata beliau lagi.


Menurut seorang lagi guru Jasmine Goh 36, menyatakan bahawa ada pelajar menggunakan peluang ini untuk tidak hadir ke sekolah. Pelajar - pelajar lain yang tidak minat belajar akan turut menggunakan alasan seperti demam, batuk dan selsema sebagai modus untuk mereka tidak hadir ke sekolah.


Rasvinder Singh, 48, yang juga merupakan seorang guru menyatakan bahawa pelajar yang bersikap malas, tidak suka datang ke sekolah untuk mengikut jadual waktu penggiliran. Segelintir ibu bapa juga tidak mampu menghantar anak mereka ke sekolah secara bergilir kerana perlu membayar yuran pengangkutan sekolah yang penuh walaupun seminggu atau dua minggu sahaja. Dengan keadaan ini, ibu bapa menanggung tanggungan perbelanjaan membayar yuran bas sekolah yang berlebihan.


Sesi penggal ke 3 akan bermula pada 3 januari 2020 dan pelajar - pelajar tingkatan 1 hingga 6 masih kekal dalam tingkatan yang sama dan belajar seperti biasa.


93 views1 comment

Related Posts

See All